TK 'ABANG BOMBA'! SIAP SIAGA HADAPI BENCANA

Published by
KitaReporters
BUNYI siren kecemasan kenderaan bomba, polis, ambulans serta beberapa agensi lain yang berada di perkarangan sebuah kilang di Jalan Changkat Jong di Teluk Intan mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk setempat. : KitaReporters.com

Anggota bomba yang terlibat dalam Latihan Pengurusan Bencana (DMEX219) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Jalan Changkat Jong di Teluk Intan, pada Selasa (26/11/2019) lalu. - Foto Ihsan JBPM Perak


Masing-masing tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi apabila melihat api marak dari kilang tersebut yang turut disusuli bunyi letupan dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu.

Lebih mencemaskan lagi apabila berlaku kemalangan membabitkan dua buah kenderaan yang mana sebuah kereta telah terhumban ke dalam parit di hadapan pintu masuk premis berkenaan.

Situasi cemas itu cukup menarik minat orang ramai serta pengguna jalan raya apabila mereka mula menghampiri tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran jelas serta merakam 'babak menarik' itu untuk dimuat naik di laman sosial.

Bagaimanapun, situasi yang tular dan difikirkan kejadian sebenar itu rupa-rupanya adalah sebahagian daripada Latihan Pengurusan Bencana (DMEX219) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Lebih 100 anggota bomba terlibat dalam  Latihan Pengurusan Bencana (DMEX219). - IHSAN JPBM PERAK


Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, latihan yang membabitkan 100 pegawai dan anggota itu bertujuan menguji kesiapsiagaan pasukan bomba dan agensi lain dalam berdepan kemalangan luar jangka.

Malah katanya, latihan seumpama itu juga dapat membantu pasukannya dalam menilai keupayaan koordinasi di setiap unit sebagai persediaan menghadapi kejadian sebenar.

"Bagi latihan pengurusan bencana kali ini, kita menyediakan dua senario insiden iaitu kebakaran sebuah kilang cat melibatkan 20 mangsa terperangkap serta kemalangan dua buah kenderaan di hadapan pintu masuk kilang.

"Kemalangan yang menyebabkan sebuah dari kenderaan tercampak ke dalam parit itu telah menghalang pergerakan kenderaan pasukan bomba untuk masuk ke kawasan bangunan bagi memadam kebakaran," katanya ketika ditemui di lokasi latihan DMEX2019 di Teluk Intan, Perak pada Selasa (26/11/2019) lalu .

Menurut Mohamad Yunus, dalam senario tersebut, pihaknya akan melihat keupayaan anggota bomba untuk membuat operasi menyelamat bagi kemalangan jalan raya dan mangsa yang terperangkap di dalam air.

Pada masa sama juga katanya, keupayaan anggota akan dinilai dalam usaha menyelamatkan mangsa terperangkap di dalam kilang tersebut yang mana terdapat bahan-bahan berbahaya yang memerlukan kehadiran pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).

"Kita juga menyediakan senario runtuhan bangunan yang menyebabkan mangsa terperangkap dan ia memerlukan unit elit atau Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) digerakkan bagi mengeluarkan mangsa.

"Bagaimanapun, pasukan Hazmat akan memainkan peranan terlebih dahulu untuk memastikan kawasan itu benar-benar selamat sebelum Storm diarahkan masuk untuk membawa mangsa keluar," katanya.

Mohamad Yunus (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar (tiga dari kanan) ketika meninjau latihan simulasi DMEX219. - IHSAN JBPM PERAK


Mohamad Yunus berkata, latihan mencabar dalam skala yang besar akan dilakukan dengan lebih kerap lagi bagi memberi gambaran tepat mengenai pengurusan logistik seperti kesediaan peralatan, tahap keberkesanan komunikasi dan kolobrasi perancangan strategik yang diatur bersama jabatan-jabatan lain.

"Di Perak setakat ini, tiada kes-kes kebakaran kilang yang besar namun kita perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Tambah beliau, latihan yang disertai unit kebakaran, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Hazmat, Storm dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu disifatkan sebagai berjaya dan mencapai matlamat. -KitaReporters.com

2
0
0
0
0

Copy Link: