TOLONG KAMI!! JANTUNG TERBALIK, BERLUBANG
Published by"AISY rasa hendak menangis, terima kasih ibu beli apa yang Aisy suka," kata Ahmad Aisy Akmal Ahmad Azaihahril, 7, yang membuatkan Noraniza Doll Bahrin, 31, tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata di kediamannya di Kampung Lebu, Bentong, Pahang. : KitaReporters.com
Datuk Jasvir Singh Ram Singh (dua dari kanan) menyampaikan bantuan wang tunai kepada Ahmad Aisy Akmal Ahmad Azaihahril pada 15 Februari 2020 bagi membolehkan kanak-kanak itu yang akan menjalani pembedahan pada April ini.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata demikian selepas ibunya memaklumkan dia akan menjalani pembedahan besar pada April ini bagi menyembuhkan sakit jantung kronik yang dideritainya.
Ahmad Aisy Akmal Ahmad Azaihahril, 7, dijadual dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi prosedur pembedahan besar susulan sakit jantung kronik yang dideritainya sejak lahir.
Pembedahan itu akan menyaksikan bahagian pembedahan pada dada dibuka dalam tempoh dua hari yang tentunya menimbulkan kebimbangan kedua-dua ibu bapanya iaitu Ahmad Azaihahril Abu Hasan, 35, dan Noraniza.
Kesan parut pembedahan pada bahagian dada Ahmad Aisy Akmal yang menjalani beberapa siri pembedahan sebelum ini.
Ahmad Aisy Akmal yang belajar di Sekolah Kebangsaan Lebu bukan sahaja mengalami satu masalah jantung tetapi tiga masalah jantung iaitu saluran injap sempit, jantung berlubang dan jantung terbalik.
Noraniza berkata, Ahmad Aisy Akmal pada mulanya dikesan mengalami masalah jantung sejak lahir selepas mengalami masalah pernafasan sebelum dilakukan beberapa siri pembedahan termasuk pada bahagian kanan badan dan pada bahagian dada.
Lakaran yang diberikan oleh pakar perubatan menerangkan keadaan struktur jantung Ahmad Aisy Akmal yang terbalik dan berlubang.
"Selain saluran injap sempit, dia juga dikesan mengalami jantung berlubang dan jantung terbalik. Namun doktor mengatakan kesan daripada jantung terbalik itu kebiasaannya lebih teruk, tetapi berkurangan apabila terdapat lubang pada jantung.
"Bagaimanapun dia kini selalu berada dalam keadaan lemah dan cepat penat selain mengalami bengkak dan pucat pada jari kaki dan tangan, selain sering mengalami pendarahan hidung," katanya selepas menerima kunjungan Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh di Kampung Lebu di Bentong pada Sabtu, 15 Februari 2020.
Sempena kunjungan itu Jasvir Singh yang juga Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu (JCMB) turut menyampaikan bantuan wang tunai bagi bayaran pendahuluan untuk pembedahan.
Noraniza Doll Bahrin menunjukkan kesan parut pembedahan pada belakang Ahmad Aisy Akmal.
Dalam pada itu, Noraniza berkata, meskipun bimbang dengan pembedahan yang akan dilakukan dia menaruh harapan agar anaknya akan sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.
Katanya, sumbangan wang tunai diterima daripada Jasvir Singh yang merupakan individu tunggal tampil membantunya itu amat bermakna, sekali gus memecah kebuntuannya mendapatkan wang untuk pembedahan.
Ahmad Aisy Akmal dirawat di hospital sejak lahir akibat masalah jantung
Noraniza memberitahu dengan mengharapkan pendapatan suaminya yang hanya bergantung kepada upah membaiki kereta yang tidak menentu adalah sukar bagi mereka mendapatkan wang pendahuluan.
"Pendapatan suami saya tidak menentu dan saya juga melakukan pelbagai pekerjaan, namun adalah sukar kami untuk mendapatkan sejumlah duit apatah lagi kami juga terpaksa membayar sewa rumah serta perbelanjaan dua lagi anak.
"Jadi saya amat terharu dan berterima kasih kepada Datuk Jasvir Singh yang datang sendiri ke rumah saya dan menyampaikan bantuan yang dapat memecah kebuntuan selama ini. Hanya Allah sahaja dapat membalas," katanya.
Ahmad Aisy Akmal dirawat di hospital sejak lahir akibat masalah jantung
Sementara itu, Jasvir Singh berkata, beliau mengetahui keadaan Ahmad Aisy Akmal semasa menghadiri program merentas desa Sekolah Kebangsaan Lebu baru-baru ini.
"Saya berasa simpati dengan keadaan adik Aisy dan kesusahan dialami keluarga mereka, jadi saya tidak teragak-agak untuk membantu bagi membolehkan adik Aisy menjalani pembedahan.
"Saya berdoa agar adik Aisy akan kembali sembuh dan segala urusan mereka dipermudahkan dari semasa ke semasa,"ujarnya.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Noraniza Doll Bahrin - 7628709391 atau menghubungi talian 0179880680.
#KitaReporters