[VIDEO] BANTU SAYA!! 2 ADIK OKU, TAK SEKOLAH
Published byBUKAN tempat tinggal tetapi tempat longgokan sampah. Begitulah keadaan sebuah rumah yang dihuni seorang ibu bersama empat anaknya di Flat Taman Damai Taha di Mentakab, Pahang. : KitaReporters.com
Keadaaan dalam sebuah bilik di rumah yang dihuni seorang ibu dan empat anak di Flat Taman Damai Taha di Mentakab, Pahang.
Keadaan bahagian hadapan rumah yang bersepah dengan pintu kayu serta pintu besi rumah tertanggal akibat tiada penyelenggaraan.
Rumah flat tingkat bawah itu dipenuhi pelbagai barang seperti kain dan barang buangan sehinggakan bertimbun dan tidak menampakkan lantai.
Malah rumah berkenaan yang tidak mempunyai talian elektrik sentiasa gelap dan amat berbahaya kerana boleh menjadi tempat persembunyian binatang berbisa seperti ulat.
Akibat keadaan rumahnya itu menyebabkan anak sulung keluarga itu, V. Vaisnavi, 18, yang mengalami masalah kegatalan pada badan bertekad membawa adik beradiknya menyewa rumah lain dengan bantuan jiran.
Namun empat beradik ini bagai hilang arah apabila rumah baharu yang didiami mereka bukan sahaja tidak mempunyai kelengkapan malahan tidak mempunyai bekalan air selain deposit sewa rumah yang masih belum dijelaskan.
V. Vaisnavi, 18, bekerja mencuci pinggan di sebuah kedai makan bagi menampung perbelanjaan harian adik beradiknya.
Vaisnavi berkata, dia membawa adiknya berpindah kerana keadaan rumah yang begitu teruk dan kotor dipenuhi pelbagai barangan terbuang yang dikutip ibunya.
"Saya tidak tahu lagi apa hendak buat kerana saya pun sudah mengalami sakit kulit dan saya kesiankan adik-adik saya.
"Saya pernah cuba mengemas rumah, tetapi emak saya marah dan halau saya.
"saya berterima kasih kepada jiran-jiran kerana membantu saya mendapatkan rumah sewa dan membayar sewa permulaan agar kami dapat hidup dengan selesa," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya pada masa ini dia hanya bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran dengan pendapatan yang tidak seberapa bagi menanggung perbelanjaan harian adik beradiknya.
Tambahnya, pada masa ini juga dia menghadapi masalah apabila bekalan air di rumah baharu itu masih belum disambung sehingga memaksanya meminta air di rumah jiran.
Vaisnavi memberitahu pada masa ini, adiknya hanya mendapat bantuan persekolahan dan dua orang adiknya yang mempunyai kad Orang Kurang Upaya masih belum mendapat bantuan khas untuk OKU.
Jelasnya lagi, pada masa ini, hanya seorang adiknya yang berusia 12 tahun bersekolah, manakala dua lagi tidak pergi ke sekolah kerana pelbagai masalah termasuklah kewangan.
Seorang wanita berada di ruang tamu rumahnya yang gelap kerana tiada elektrik dan dipenuhi sampah serta barang buangan, yang boleh membahayakan penghuni.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Taman Flat Damai Taha, P. Manogaram berkata, pada masa ini, ibu mereka bagaikan tidak mempedulikan anak-anak mereka.
Katanya, walaupun kadangkala menghantar anaknya ke sekolah, tetapi ibu kepada empat beradik itu tidak mempedulikan ke mana anaknya pergi sama ada balik atau tidak.
"Saya tengok anaknya semua saya kesian, tak sekolah, makan tak cukup, kita tolonglah mana yang mampu, mereka sekarang ini pun masih belum bayar deposit rumah," katanya.
Kome Cakna Temerloh yang menziarahi keluarga berkenaan menyampaikan bantuan makanan dan barangan keperluan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kome Cakna Temerloh, Siti Aisyah Ismail yang melawat dan menyampaikan bantuan makanan kepada empat beradik berkenaan berkata, akan cuba membantu dan mencari mana-mana pihak yang sedia membantu.
Ujarnya, pihaknya juga akan merujuk kepada pejabat Parlimen Temerloh bagi mendapatkan bantuan yang diperlukan oleh empat beradik berkenaan.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Vaisnavi melalui talian 014-2938134 atau menghulurkan sumbangan kepada akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) V. Vashnavi iaitu 0640041100014542. - KitaReporters.com