KASIHNYA SI IBU TUNGGAL: BERKORBAN APA SAJA
Published byDALAM kehidupan seseorang tidak semestinya menempuh perjalanan yang indah dan menyeronokkan, sebaliknya adakala terpaksa melalui rintangan, mahupun halangan tak terduga. Bagaikan lumrah destinasi perjalanan penuh gelombang yang telah ditakdirkan. Ada susah senang yang terpaksa dikecapi : KItaReporters.com
Nor AzIyan bersama empat orang anaknya dan seorang anak yang diasuh di kediaman beliau di Seksyen 7 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Bagi naluri seseorang wanita yang berstatus ibu bertanggungjawab, dia tidak akan membiarkan anak-anak di bawah jagaannya terbiar begitu sahaja tanpa berbuat sesuatu supaya kehidupan mereka penuh keceriaan, sekali pun tidak semewah anak-anak golongan berada.
Bagaimanapun demi anak, ibu-ibu sama ada yang masih berkeluarga mahupun sudah menjadi ibu tunggal sanggup bersusah payah, berkorban jiwa raga, tabah menempuh rintangan dan kesusahan dalam menjalani kehidupan harian.
Malahan segala ciri-ciri itu dijadikan sebagai motivasi galakkan untuk terus berusaha menempuh kehidupan mendatang.
Bagi seorang ibu tunggal, Nor Aziyan Abu Samah, 30, menjadikan ciri-ciri tabah menempuh kesusahan, sanggup berkorban jiwa dan berusaha tanpa jemu sebagai sebahagian daripada kehidupan harian dalam usaha membahagiakan empat orang anak-anaknya yang dalam proses membesar.
Sebagai ibu tunggal, Nor Aziyan terpaksa melakukan pengorbanan semata-mata untuk membahagiakan kehidupan anak-anak yang masih memerlukan belaian kasih sayang.
Beliau terpaksa berkorban menghabiskan masa dengan melakukan kerja-kerja yang boleh mendatangkan faedah dan menjadi sumber kewangan untuk membolehkan anak-anak dapat menikmati kegembiraan mengikut cara kehidupan keluarga bersesuaian dengan kemampuan yang ada.
Keempat-empat orang anaknya, Dania Alila, 11; Dania Aliya, 10; Darwis Aiman, 9; dan Putera Zul Aiman, 2, masih memerlukan belaian serta pengorbanan daripada beliau.
Kecuali yang bongsu ,tiga orang anak-anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Desaminium (SKTD), yang hanya terletak tiga kilometer daripada kediaman beliau.
Mereka dihantar ke sekolah dengan menaiki motosikal .
Dalam pertemuan pada Rabu (1/1/2020) lalu di rumah sewanya di Seksyen 7 Lestari Perdana (LP7), Bandar Putra Permai, beliau memberitahu terpaksa kena sentiasa tabah dan berkorban membuat pelbagai kerja untuk menyara kehidupannya dan anak-anak.
Dania Alila, anak sulung Nor Aziyan yang mengalami ekzima yang berpunca daripada alahan .
Katanya, sebagai ibu tunggal beliau terpaksa menjadi ibu dan ayah kepada anak-anaknya, maka kenalah bertekad serta bersemangat jitu membuat kerja-kerja yang termampu lagi sesuai untuk membiayai perbelanjaan seharian.
Pada pertemuan itu, sebuah badan NGO, Sahabat Jariah, yang aktif menyalurkan bantuan kepada golongan kurang mampu, menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada Nor Aziyan melalui wakil Sahabat Jariah, Mohd. Sanusi.
Mohd Sanusi juga pada pertemuan tersebut telah mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai kehidupan Nor Aziyan dan anak-anaknya sekeluarga.
Buat masa ini, untuk menampung perbelanjaan kehidupan harian sekeluarga, Nor Aziyan bekerja sebagai pengasuh kepada empat orang kanak-kanak, anak jiran dan kenalan dengan jumlah pendapatan sekitar RM800 sebulan.
Sekalipun hidup dalam keadaan kekurangan, tetapi keluarga Nor Aziyan tetap bahagia dan ceria.
Dalam usaha untuk menambah sumber pendapatan hariannya, dia juga menjual kerepek peria secara sambilan, itu pun jika ada tempahan.
Dalam menceritakan keadaan hidupnya menjadi ibu tunggal setelah suaminya, Sudirman meninggal dunia dan selang beberapa tahun berkahwin dengan lelaki warga asing tetapi bercerai kemudiannya, Nor Aziyan terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga dengan melakukan apa sahaja kerja-kerja yang sesuai dan termampu.
Ibu muda berasal daripada Kampung Purun, Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, sebelum ini turut membuat kerja-kerja mengambil upah membersih rumah, di sekitar kawasan Lestari Perdana dan yang berhampiran.
Kerja-kerja tersebut dijalankan bila ada permintaan daripada orang ramai.
Bagaimanapun beliau berhenti sementara membuat kerja berkenaan kerana menjaga dan menguruskan bapanya yang sakit disebabkan uzur.
Tetapi kemungkinan akan meneruskan aktiviti tersebut kerana bapanya, Abu Samah sudah kembali ke rumah sendiri di kampung di Kuala Pilah.
Wakil NGO Sahabat Jariah, Mohd Sanusi (kanan) mendengar penjelasan daripada Nor Aziyan semasa kunjungan beliau dan menyampaikan bantuan barangan keperluan harian.
Sekarang ini, pihak Pusat Zakat Selangor telah membiayai bayaran sewa rumah yang didudukinya sebanyak RM600 sebulan dan memberi bantuan sara hidup RM500 sebagai perbelanjaan harian.
Semua anaknya yang bersekolah memperolehi bantuan persekolahan, di samping memerima sumbangan melalui Program Kembali Ke Sekolah dan bantuan-bantuan lain anjuran badan-badan dalam komuniti Seksyen 7 Lestari Perdana.
Tiga daripada empat orang kanak-kanak yang diasuh oleh Nor Aziyan.
Sementara itu, anak sulungnya Dania Allila pula menghidap penyakit ekzema yang berpunca daripada masalah alahan dan dia tidak boleh kena panas serta berpeluh yang boleh menyebabkan kulit badannya menjadi gatal-gatal.
Usaha yang dijalankan untuk menghilangkan keadaan tersebut hanyalah menggunakan sabun hilang gatal-gatal yang dibeli di kedai-kedai tertentu dengan hanya dapat diatasi bagi jangka masa singkat.
Kepada orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu bolehlah menghubungi Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari melalui Ketua Unit Biro Agama dan Kebajikan, Nor Paizah Muhammad Ullah melalui talian 018-9198179 atau kepada Nor Aziyan melalui nombor telefon 019-3667037.
Berbaktilah untuk membantu keluarga yang memerlukan. Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. - KitaReporter.com
Mohd Sanusi menjelaskan peranan NGO, Sahabat Jariah dalam kunjungan ke kediaman Nor Aziyan Abu Samah.