RAKYAT TERASA KEPRIHATINAN KELUARGA DIRAJA
Published byBAGAIKAN "payung negara" terserlah keprihatinan Yang Dipertuan Agong dan anakanda baginda yang
juga Pemangku Raja Pahang apabila turun dari kenderaan rasmi masing-masing
bagi bantu mangsa kemalangan, meskipun kedua-dua baginda di lokasi yang berbeza. : KitaReporters.com
Demikian yang berlaku pada Rabu, 29 Januari 2020 apabila Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi bercemar duli turun dari kenderaan rasmi baginda bagi memeriksa keadaan mangsa kemalangan berhampiran plaza tol Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) kira-kira pukul 9 pagi.
Melalui perkongsian dalam laman sosial Instagram Istana Negara,
Al-Sultan Abdullah sedang dalam perjalanan ke Majlis Menghadap Pra Kabinet bersama Perdana
Menteri.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula sanggup meredah hujan lebat mencemar duli turun dari kenderaan baginda semata-mata untuk membantu mangsa kemalangan di Kilometer 103.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang, Temerloh.
Kemalangan jam 2 petang itu membabitkan dua mangsa berbangsa
Cina ketika baginda dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Istana Negara,
Kuala Lumpur.
Pemangku Raja Pahang turun dari kenderaan baginda untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat.
Sambil memegang payung, baginda sempat bertanya khabar kepada kedua-dua mangsa sebelum melihat sendiri kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu.
Dalam kejadian tersebut, kelihatan sebuah kenderaan berwarna hitam terbalik, namun mangsa kemalangan yang dipercayai dari Sungai Lembing, Kuantan, Pahang itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan yang serius.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga bertitah menasihati semua untuk memandu dengan berhati-hati terutama ketika hujan lebat bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Selepas berpuas hati dengan keadaan mangsa, Pemangku Raja Pahang meneruskan perjalanan ke Ibu Negara.
Seluruh rakyat negara ini cukup terharu melihat perkongsian gambar dan video baginda berdua yang mengutamakan rakyat dalam segenap hal sehingga mengetepikan soal keselamatan sendiri.
Ibarat kata pepatah, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Itulah yang dirasai segenap rakyat apabila berdepan atau menghadap kedua-dua baginda tuanku.
Bagi rakyat negeri Pahang juga, situasi itu mengingatkan
mereka akan keperibadian Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan
Abu Bakar Ri’ayatuddin Mu’adzam Shah.
Sementara itu, hari ini juga genap setahun Pemangku Raja Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang.
Istiadat pemasyhuran baginda diadakan serentak tahun lalu di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang bersama pemasyuran paduka bonda baginda iaitu Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang. - KitaReporters.com
Dirgahayu Tuanku... Keprihatinan tuanku menjadi "payung" bagi rakyat berteduh.