ADE IRAWAN MENINGGAL 12 HARI SELEPAS RIA
Published byPELAKON veteran dari Indonesia, Ade Irawan meninggal dunia jam 2.22 petang pada Jumaat, 17 Januari 2020 di Hospital Fatmawati, Jakarta Selatan dalam usia 84 tahun. : KitaReporters.com
Ade Irawan bersama tiga anak yang terbabit dalam bidang lakonan, Allaryarham Ria Irawan (kiri), Shinta Shafitri Dewi dan Dewi Irawan. - Foto Instagram Ade Irawan
Dia mengalami sakit jantung sejak sekian lama, namun kematiannya ini adalah akibat sesak nafas, kata anak keduanya, Adhi Bambang Irawan.
Tragisnya, kematian Ade Irawan hanya 12 hari selepas kepergian anaknya, pelakon Ria Irawan (Chandra Ariati Dewi Irawan), 50. yang meninggal akibat kanser pada Isnin, 6 Januari 2020.
Ade Irawan meninggal kerana sesak nafas dan sudah lama mengalami sakit jantung. - Foto Instagram MerryGoeslow
Jenazah Ade Irawan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum, Tanah Kusir, Jakarta Selatan pada Sabtu 18 Januari 2020 iaitu tempat anaknya Ria dan suaminya Bambang Irawan dikebumikan.
Ade atau nama sebenarnya Arzia Bahar yang lahir pada 6 April 1935 di Padang, Sumatera Barat merupakan antara bintang filem popular Indonesia dan memulakan karier filem pada 1964 melalui filem 'Di Ambang Fadjar' terbitan Agora Film iaitu syarikat filem milik beliau dan suami Bambang Irawan yang juga bintang filem.
Selesai menyiapkan filem 'Fajar Menyinsing', Agora Film gulung tikar pada 1975 dan Bambang jatuh sakit dan meninggal dunia pada 1979 pada usia 47 tahun.
Kali terakhir Ade berlakon ialah pada tahun 2016 melalui filem 'Dreams'.
Selain berlakon Ade turut menjadi penulis skrip sekurang-kurangnya untuk 10 filem.
Bermula 1964 hingga 2016, Ade berlakon dalam 113 filem, iaitu satu jumlah yang membanggakan bagi seorang bintang filem. - KitaReporters.com