[VIDEO] BABY PAUS 'SESAT' DI TELUK SENANGIN
Published byKEMUNCULAN ikan paus di perairan Batu Malang di Teluk Senangin dekat Lumut, Perak menggemparkan nelayan tempatan apabila spesis marin itu dilihat berlegar-legar di kawasan tersebut sejak Sabtu (30/11/2019) lalu. : KitaReporters.com
Rakaman video ikan paus yang berenang di perairan Batu Malang di Teluk Senangin, Lumut, Perak yang sempat dirakamkan oleh nelayan darat.
Ikan paus dipercayai dari spesis Humpback Whale atau nama saintifiknya Megaptera Novaeangluae itu dikatakan bebas berenang di kawasan tersebut dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menyerang.
Rakaman aksi ikan paus tersebut yang dirakam nelayan tempatan dan dimuat naik dalam media sosial mendapat maklum balas daripada warganet yang rata-rata simpati apabila mengetahui kemungkinan haiwan tersebut terpisah daripada ibunya.
Pengikut Facebook, Suzanne Baker menerusi komennya dalam laman sosial itu berharap agar mamalia tersebut selamat, sekali gus dapat bertemu ibunya semula.
"Kesiannya, moga tidak tercedera dan selamat kembali ke pangkuan ibunya," katanya.
Pengikut yang dikenali sebagai Umi Zainurrina turut melahirkan simpati apabila mendapati ikan paus itu terpisah daripada ibunya dan mahu kedua-dua mamalia itu kembali bertemu.
"Kesiannya, harap-harap jumpa balik dengan ibunya," katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, ikan paus yang dianggarkan berusia kurang setahun itu dipercayai masuk ke perairan negara setelah terpisah daripada ibunya.
Katanya, ikan paus daripada spesis tersebut biasanya ditemui di Lautan Pasifik dan penemuan mamalia itu pertama kali dijumpai di perairan semenanjung Malaysia.
"Ikan paus yang dijumpai ini dipercayai masih bayi lagi dan dianggarkan berusia kurang daripada setahun. Berdasarkan rakaman video tersebut, spesis marin itu bersaiz panjang antara lima ke lapan meter.
"Kita percaya, ikan paus itu terpisah daripada ibunya. Mamalia ini biasanya bergerak berkumpulan dan hidup secara nomad.
Menurut Mohd. Tamimi, pemantauan secara berkala dilakukan oleh Pasukan Bertindak Kedamparan Spesis Marin Terancam ke atas pergerakan ikan paus berkenaan, sekali gus bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, pihaknya yakin ikan paus itu mampu bertahan di perairan negara ini sekiranya tidak mempunyai sebarang kecederaan luaran.
"Sehingga hari ini, ikan paus tersebut masih berlegar-legar di kawasan Pulau Pangkor dan Teluk Senangin," katanya ketika ditemui di Pejabat Pangkalan Utama, Cawangan Perlindungan Sumber, Kompleks Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, Perak pada Isnin (2/12/2019).
"Ikan paus itu dijumpai di perairan dengan kedalaman antara tujuh ke 10 meter. Paras tersebut adalah tidak sesuai untuk spesis marin ini kerana ia patut berada di lautan dalam.
"Lagipun, kawasan mamalia itu berlegar-legar adalah di sekitar lokasi nelayan darat menangkap ikan dan memasang pukat. Dikhuatiri ikan paus itu akan tersangkut, sekali gus tercedera," katanya.
Tambah beliau, pihaknya telah memaklumkan mengenai kehadiran mamalia itu kepada nelayan setempat dan meminta mereka agar tidak mendekati ikan paus berkenaan.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada nelayan, ikan paus itu bergerak bebas dan tidak mendekati mahupun menyerang mereka," katanya. - KitaReporters.com