ALLAHU! IBU POSITIF NCOV TAPI BAYINYA NEGATIF

Published by
KitaReporters
Menerima kehadiran cahaya mata pasti ditunggu oleh pasangan, lagi seronok jika yang dinanti itu adalah anak sulung. Namun kehadiran kali ini sangat membimbangkan kerana kedatangan ‘orang baru’ itu berlaku ketika dunia dilanda masalah kesihatan yang serius akibat koronavirus. : KitaReporters.com

Kredit foto https://www.dailymail.co.uk/


Lebih malang, ibu yang sarat itu sebelum ini disahkan positif koronavirus.

Namun dengan kuasa-Nya, wanita berkenaan selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.05 kilogram di sebuah hospital di Harbin di wilayah timur laut Heilongjiang, pada 30 Januari 2020.

Memetik laporan Chinadaily.com, selepas kelahiran, ibu dan bayi dikuarantin selama tiga hari bagi memastikan dua beranak itu selamat dan stabil.

Perkara itu diumumkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Harbin dan mengesahkan bayi perempuan dan ibunya kini berada dalam keadaan sihat.

Hebat bayi itu.. hadirnya tika semua dalam ketakutan!

Terdahulu, ibu muda itu yang sarat mengandung 38 minggu diberikan konsultasi oleh sekumpulan pakar obstetrik, pernafasan dan neonatologi hospital berkenaan.

Malah, pasukan doktor yang merawat memutuskan untuk melakukan pembedahan segera kepadanya bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Lebih menakjubkan, keputusan ujian sebanyak dua kali ke atas bayi terbabit mendapati dia negatif jangkitan koronavirus tersebut.

Malah bayi pertama yang lahir ketika wabak koronavirus sedang ‘menggegarkan’ seluruh republik itu turut diberikan skor 10 pada skala Apgar (merujuk kepada tahap kesihatan bayi) sejurus kelahirannya.

Difahamkan, skor tujuh dan ke atas biasanya adalah normal bagi seorang bayi yang baru lahir.

Semoga bayi berkenaan sihat dan membesar menjadi manusia berguna! - KitaReporter.com

Kredit foto https://www.straitstimes.com/ ( CHINA DAILY/ASIA NEWS NETWORK) 

 

4
9
13
0
0

Copy Link: