JADI EJEN JUALAN SELEPAS MELELEH MAKAN JERUK

Published by
KitaReporters
SUDAH menjadi kebiasan bagi sesiapa sahaja khususnya wanita menggemari pelbagai jenis produk jeruk tidak kira yang dihasilkan daripada buah-buahan dan sayuran tempatan mahupun luar negara. : KitaReporters.com

Dari kanan: Nor Fazlin, Nor Fazrihan, Nor Farhani dan Safariah merupakan adik-beradik ejen penjual jeruk dan sambal keluaran syarikat The Famous Jerux Liur Leleh House terletak di Gombak, Selangor bersama produk jualan


BAGI empat adik beradik yang berasal dari Lenggong, Perak ini tidak terkecuali dengan keadaan tersebut di mana pada peringkat awal mereka hanya gemar makan jeruk, terutama yang dihasilkan daripada buah-buahan tempatan termasuklah mangga, jambu,kedondong dan sebagainya.

Bagaimanapun bertolak daripada itu ditambah dengan minat dalam bidang perniagan, secara tidak langsung mendorong mereka menjadi ejen jualan jeruk keluaran sebuah syarikat bumiputera yang dikenali sebagai The Famous Jerux Liur Leleh House terletak di Gombak, Selangor.

Keempat-empat adik beradik ini terdiri daripada Nor Fazrihan Hanafiah, 30; Nor Farhani Hanafiah, 28; Nor Fazlin Hanafiah, 26; dan Safariah Hanafiah, 23, merupakan antara ejen jualan jeruk syarikat berkenaan yang aktif di sekitar Seri Kembangan, Selangor yang ditemui pada Rabu (18/12/2019) lalu di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai.

Keempat-empat adik beradik dari Lenggong, Perak ini yang merupakan ejen jualan jeruk dan sambal keluaran syarikat bumiputera memperagakan produk jualan mereka.


Dua daripada mereka, Nor Fazrihan dan Nor Farhani yang kini sudah bekerja menjalankan perniagaan jeruk ini secara separuh masa sama ada pada cuti hujung minggu atau cuti umum, manakala Nor Fazlin dan Safariah menjalankanya sepenuh masa.

Mereka memulakan perniagaan menjual jeruk ini pada awal September 2019 lalu di sekitar kawasan Seri Kembangan,Putrajaya, Taman Puncak Jalil dan tempat-tempat berhampiran.

Selain menjalankan aktiviti jualan di tapak-tapak pesta atau karnival tertentu, mereka juga tidak ketinggalan berniaga di Kompleks Kerajaan di Putrajaya selain membuka outlet di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai.

Sambutan orang ramai terhadap produk-produk jeruk jualan adik beradik ini agak baik dan menggalakkan terutama bila ada acara atau majlis tertentu.

Pelbagai jenis jeruk yang dijual oleh empat adik beradik dihasilkan syarikat bumiputera di Gombak, Selangor.


Kerana minat berniaga keempat empat adik beradik ini sanggup berhijrah meninggalkan kampung halaman di Lengong, Perak dan tinggal bersama di Seri Kembangan, Selangor semata-mata menjalankan perniagan jeruk yang kini sudah mula mendapat perhatian ramai.

Ibu kepada empat beradik ini, Zahariah Zakaria merupakan antara dorongan yang menjadi pengerak utama untuk mereka menjalankan perniagan jeruk berkenan.

"Kami tertarik dan terdorong memulakan perniagaan menjual jeruk ini bila ibu menjadi ejen jualan pada awal tahun ini. Aktiviti tersebut ibu jalankan di kampung halaman," kata Nor Fazlin.

Sambal Kicx keluaran syarikat bumiputera yang menjadi antara jualan empat adik beradik disekitar Seri Kembangan,Putrajaya,Puncak Jalil,Serdang dan kawasan berhampiran.


Katanya, beliau adik beradik secara tidak langsung  berminat menjalankan perniagaan tersebut bila melihat ibu melakukan aktiviti berkenaan dan mula merancang menjalankan operasi di Seri Kembangan kerana kakak yang sudah bekerja tinggal di sana.

Malahan perniagaan yang diceburi dianggap mudah di mana bahan-bahan jualan disediakan oleh pihak syarikat pengeluar produk, cuma mereka hanya perlu mengambilnya di ibu pejabat yang terletak di Gombak.

Untuk peringkat permulaan menjalankan perniagaan jeruk dan sambal mereka mengeluarkan peruntukan sebanyak RM2,000 sebagai modal pusingan dan sehingga ini, mampu memberi pulangan yang baik.

Purata setiap bulan adik beradik ini mampu menjual lebih 500 balang jeruk-jeruk dan sambal, bergantung kepada kekerapan jualan yang dijalankan.

Inspirasi ibu merupakan dorongan bagi empat beradik ini (dari kiri) Safariah, Nor Farhani,  Nor Fazrihan dan Nor Fazlin untuk terlibat sama dalam dunia perniagaan. 


Mengenai perancangan masa depan, beliau yang merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik termasuk seorang lelaki memberitahu, mereka dalam proses berusaha menjadi stokies jualan jeruk dan produk-produk lain keluaran syarikat berkenaan.

"Kami juga merancang membuka outlet terutama di kawasan Lestari Perdana sebagai usaha memberi khidmat jualan kepada orang ramai dengan lebih mudah dan berkesan," katanya.

Malahan menurutnya, jika diizinkan pada tahun depan, mereka akan mendaftarkan perniagaan yang dijalankan bagi kemudahan urusan pemasaran yang lebih baik dan berkesan.

Antara gegantung yang digunakan bagi menarik orang ramai membeli jualan jeruk asam boi dan Sambal Kicx sama ada di karnival atau pesta yang disertai.


Jeruk asam boi keluaran The Famous Jerux Liur Leleh House tidak mengunakan bahan pengawet dan cuka, manakala antara buah-buahan yang dijadikan "jerux" ialah jeruk mangga, jambu, kedondong, epal dan campuran berbagai jenis buah. Untuk satu balang jeruk berkenaan berat isi padu ialah 500 gram.

Di samping mengunakan bahan asam boi dan limau nipis,  jeruk buah-buahan campuran ada juga disediakan sambal cili bagi jeruk mangga, jambu, kedondong dan epal, bagaimanapun ia hanya dicampur bila waktu hendak dimakan.

Selain itu, syarikat itu juga mengeluarkan produk Sambal Kicx merupakan campuran cili padi dan kicap. Berat isi padu produk 375 gram setiap satu botol.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan jeruk dan sambal keluaran syarikat berkenaan terutama yang berada di sekitar Seri Kembangan, Putrajaya, Puncak Jalil, Puchong dan Serdang dan kawasan berhampiran boleh membuat tempahan dengan menghubungi Nor Fazlin Hanafiah melalui talian 013-538 7860. - KitaReporters.com

Produk keluaran syarikat The Famous Jerux Liur Leleh House terletak di Gombak, Selangor yang menjadi pilihan empat beradik sebagai punca pendapatan mereka iaitu jeruk asam boi dan Sambal Kicx.

14
1
0
0
1

Copy Link: