Dua aktivitis Muslim Care tunggu masa masuk ke Gaza! Misi hantar ubat-ubatan, barangan keperluan!
Published byBerdoa semoga perjalanan misi bantuan Muslim Care Malaysia ke Gaza selamat dan berjaya disampaikan kepada rakyat Palestin.
DUA
aktivis kemanusiaan Malaysia yang berada di Kaherah, Mesir kini menunggu masa
yang sesuai dan selamat untuk masuk ke Gaza melalui sempadan Mesir bagi
menghantar bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin yang menderita akibat
serangan bertali arus rejim aparteid Israel sejak minggu lalu.
Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein berlepas ke Kaherah, Mesir melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Oktober 2023 lalu.
Tuan Asri yang dihubungi dari Kuala Lumpur, berkata misi mereka untuk memastikan bantuan kecemasan terutama ubat-ubatan dan barangan lain termasuk makanan kepada rakyat Palestin berjaya sampai kepada kelompok sasaran dalam masa terdekat.
Beliau
berkata, setakat ini belum pasti bila mereka dapat masuk ke Gaza kerana pintu
sempadan Mesir-Palestin di Rafah masih ditutup dan keadaan belum mengizinkan untuk bergerak
ke sana..
"Payah nak cakap bila dapat masuk kerana semuanya bergantung kepada keadaan keselamatan dan keputusan pihak berkuasa Mesir untuk membuka pintu sempadan.
"Tapi, yang penting, kami sudah bertemu orang hubungan yang akan membantu kami membeli ubat-ubatan dan peralatan lain selain masuk ke Gaza untuk menghantar bantuan kecemasan," katanya.
Dua aktivis Muslim Care Malaysia yang dihantar ke Gaza, Tuan Asri Tuan Hussein (kiri) dan Ahmad Safuan Ujar.
Sementara
itu, Safuan berkata di Kaherah pihaknya akan bekerjasama dengan sebuah gerakan
kemanusiaan antarabangsa, "Miles of Smiles" yang berpejabat di London
dan diketuai seorang rakyat Palestin yang tinggal di sana, Dr Essam Mustafe.
"MCM sudah beberapa kali bekerjasama dengan Dr Essam yang memfokuskan penyampaian bantuan berkaitan perubatan kepada rakyat Palestin.
"Untuk penghantaran bantuan fasa ketiga ini MCM menyalurkan dana sebanyak RM412,000 khusus untuk bantuan perubatan, termasuk untuk pembelian sebuah ambulans," katanya.
Ahmad Safuan Ujar
Beliau berkata, segala bantuan akan digerakkan ke Gaza secepat mungkin apabila pintu sempadan Mesir-Gaza di Rafah dibuka dan keadaan mengizinkan.
"Untuk makluman, bagi dana kepada rakyat Palestin dan Syria, MCM menyalurkan 100 peratus sumbangan yang kami terima, tanpa mengambil sedikit pun kos pengurusan. Ini sudah menjadi amalan kami sejak sekian lama," katanya.
Ahmad Safuan melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, agensi kerajaan dan swasta serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi kepercayaan dan sudi menjalinkan kerjasama dengan MCM untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Tuan Asri di pusat pengumpulan peralatan perubatan untuk dihantar ke Gaza di Madina City, Kaherah, Mesir bersama gabungan NGO Miles of Smiles.
Beliau berkata, antara NGO yang berkolaborasi dengan MCM untuk sumbangan fasa ketiga ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Iman Care, Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dan Pertubuhan Khidmat Umah (PKU) yang dipimpin pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Anuar Ayub.
Ahmad Safuan berkata, setakat ini MCM sudah menyalurkan dana sebanyak RM787,000 untuk membantu rakyat Palestin dalam perang terkini dengan Israel yang mula tercetus pada 7 Oktober 2023 lalu dan sudah meragut ribuan nyawa.
"Fasa pertama membabitkan dana segera sebanyak RM100,000 dihantar pada hari ketiga perang kepada Pengerusi MCM Palestin, Ahmad Abu Ayesh di Gaza sebelum bantuan kedua sebanyak RM275,000 yang menyusul kira-kira semingga kemudian," katanya.
Tiada apa-apa lagi yang tinggal bagi penduduk di Gaza selepas pesawat aparteid Israel mengebom penempatan mereka setiap hari.
Beliau
mengakui, usaha menghantar bantuan kecemasan itu bukan perkara mudah tapi
apalah sangat ujian yang mereka hadapi berbanding penderitaan yang dihadapi
rakyat Palestin di Gaza.
"Tanah Palestin tanah umat Islam. Ini perjuangan kita bersama. Ini benteng kita umat Islam. Ayuh kita bersatu hati berdiri teguh demi rakyat Palestin dan Al-Aqsa," katanya.
Orang ramai yang berhajat menderma kepada tabung kecemasan Palestin bolehlah berbuat demikian melalui laman web berikut: www.muslimcaremalaysiasociety.com - KitaReporters