Malaysia alu-alukan gencatan senjata! Tapi mesti jadi batu loncatan! Tubuh negara Palestin! - Anwar
Published byKredit foto: AP pictures
Malaysia mengalu-alukan pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza, namun gencatan senjata ini mesti berfungsi sebagai batu loncatan ke arah menubuhkan sebuah negara Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengalu-alukan pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza, yang dijadualkan berkuat kuasa pada hari Ahad, 19 Januari 2025.
"Langkah kritikal ini memberikan kelegaan yang sangat diperlukan bagi penduduk Gaza, yang telah menanggung penderitaan yang amat besar," katanya.
Namun beliau mengingatkan, gencatan senjata ini mesti berfungsi sebagai batu loncatan ke arah matlamat yang telah lama tertangguh iaitu untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan merdeka.
"Keamanan yang adil dan berkekalan bergantung kepada menangani punca-punca utama konflik ini," tegas Perdana Menteri.
Anwar mengakui usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) dalam memediasi perjanjian ini.
"Saya juga memuji Presiden dipilih AS, Donald Trump, atas peranannya dalam merealisasikan rundingan ini.
"Komuniti antarabangsa mesti memastikan bahawa ia dikekalkan, membuka jalan untuk perbincangan mengenai fasa-fasa seterusnya yang akan membawa kepada ketenangan yang berterusan dan pembinaan semula Gaza."
Perdana Menteri juga berkata, beliau akan menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, untuk mempercepat pelan pembinaan semula Palestin yang telah dipersetujui semasa lawatannya baru-baru ini ke Malaysia.
Kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan di Asia Timur akan menjadi penting dalam memastikan pembinaan semula Gaza berjalan dengan cepat dan berkesan, tambah beliau.
Pada masa yang sama, Anwar menegaskan, adalah penting untuk mengakui bahawa kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin dan pengusiran lebih dua juta orang tidak boleh dan tidak harus dilupakan.
"Keadilan dan tanggungjawab terhadap tindakan yang diambil semasa konflik ini kekal kritikal.
"Gencatan senjata ini mesti berfungsi sebagai batu loncatan ke arah matlamat yang telah lama tertangguh untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan merdeka," jelas beliau.
Sementara itu, Wisma Putra, dalam satu kenyataan memberitahu, Malaysia menyifatkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan serta mereka yang ditahan sewenang-wenangnya dicapai pada 15 Januari 2025 sebagai perkembangan yang amat dialu-alukan.
"lni adalah langkah pertama yang penting untuk menamatkan konflik selama 15 bulan yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan Gaza.
"Gencatan senjata tersebut akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu, yang amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih berada di Gaza, terutama ketika musim sejuk yang sangat mencabar ini," menurut kenyataan itu.
Malaysia memuji Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat (AS) serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian ini.
Wisma Putra berkata, usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat.
"Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin. Malaysia melihat peluang bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu bagi mencari penyelesaian kekal kepada salah satu konflik yang paling lama berlarutan di dunia.
"Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, dan mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Timur Tengah," menurut kenyataan itu lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media