Oleh DR ZULKIFLI HASAN

Timbalan Menteri JPM
Malaysia Madani, gagasan pembangunan yang berteraskan kemanusiaan, keberlanjutan, dan keadilan, kini melangkah gagah di pentas antarabangsa. Lembaran tahun 2025 dibuka dengan menyaksikan titik positif dalam perjuangan rakyat Palestin mempertahan kedaulatan tanah air daripada kekejaman Zionis Israel.
Gencatan senjata yang akhirnya dicapai antara pejuang Hamas dan kerajaan Israel membawa sinar harapan baharu. Peperangan yang berlarutan lebih 450 hari itu telah menyaksikan paparan-paparan yang memilukan hati di mana bom dan peluru Zionis tanpa belas kasihan menghujani Gaza dan Tebing Barat yang turut menyasarkan kanak-kanak, wanita, warga emas, dan golongan kurang upaya tanpa mengenal sempadan kemanusiaan.
Namun, yang lebih menyayat hati ialah kebisuan dunia melihat kekejaman ini terus berlaku. 

Di tengah keheningan itu, Malaysia berdiri teguh membawa suara kemanusiaan. Perdana Menteri Malaysia dengan lantang membawa aspirasi rakyat, menggemakan isu kemanusiaan rakyat Palestin di pentas dunia. Dengan penuh keberanian, beliau mengkritik hipokrasi Barat yang memilih untuk memejamkan mata terhadap kezaliman yang dilakukan oleh pihak Israel.



Malaysia dan Perjuangan Palestin

Malaysia terus menjadi pembela tegar terhadap hak-hak rakyat Palestin. Inisiatif kerajaan Malaysia yang konsisten, termasuk bantuan kemanusiaan, diplomasi antarabangsa, dan sokongan politik kepada rakyat Palestin, telah mengukuhkan imej negara di mata dunia. 

Antara peranan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu perjuangan rakyat Palestin ialah sekatan terhadap kapal-kapal yang berdaftar di Israel untuk berlabuh di pelabuhan-pelabuhan di Malaysia.

Malaysia juga memanfaatkan platform-platform antarabangsa seperti PBB, OIC dan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia untuk membawa isu Palestin. Gerakan secara diplomasi dengan negara-negara dunia untuk membantu rakyat Palestin seperti kerjasama bersama kerajaan Mesir untuk menghantar bantuan ke Gaza. 

Baru-baru ini, Malaysia bersama-sama Belize, Bolivia, Chile, Colombia, Honduras, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan membincangkan cara menangani ancaman terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mempertahan hak rakyat Palestin di Hague, Belanda termasuk tindakan undang-undang untuk mengusir Israel keluar dari PBB.

Kerjasama Malaysia-Jepun Bangunkan Gaza: Inspirasi Dunia
Menurut Global Innovation Index 2024, Jepun menduduki tangga ke-12 daripada 51 buah negara dunia dan tempat kedua di Asia dalam kumpulan ekonomi berpendapatan tinggi. 

Oleh itu, langkah Malaysia untuk mengeratkan hubungan dengan Jepun sebagai gergasi ekonomi dunia merupakan satu langkah yang strategik dan menguntungkan negara. Melalui perkongsian ekonomi, pertahanan dan keselamatan, sains, teknologi, inovasi, persekitaran dan pertukaran budaya, Malaysia mampu mendapat keuntungan dari pelbagai sudut.

Malaysia akan bekerjasama dengan Jepun di bawah kerangka Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD). Dijangkakan Mesyuarat Menteri CEAPAD Keempat (CEAPAD IV) akan diadakan di Malaysia tahun ini. 

Fokus CEAPAD IV akan merangkumi program pembangunan dan pembinaan dan ini termasuk pembinaan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan menyeluruh serta pembangunan semula infrastruktur penting di Palestin. Inisiatif Malaysia-Jepun Pembinaan Semula Gaza sememangnya sangat strategik membina naratif kemanusiaan melangkaui dimensi agama dan bangsa. 

Masih ada juga pihak yang mempersoal usaha murni Malaysia ini. Sesungguhnya Malaysia tidak akan miskin dengan membantu orang lain malahan akan digantikan dengan perkara yang lebih baik oleh Allah SWT. Malaysia akan lebih makmur sejahtera dan barakah apabila kita membantu orang lain. 
Allah SWT berfirman:
Maksudnya: "Katakanlah (Nabi Muhammad), "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkannya." Sesuatu apa pun yang kamu infakkan pasti Dia akan menggantinya. Dialah sebaik-baik pemberi rezeki." (Surah Saba': 39).


Dakwah Bil Hikmah Melalui Al-Quran

“Anda boleh bakar al-Quran, Malaysia akan cetak satu juta naskhah al-Quran!” Demikianlah penegasan oleh PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyumbangkan naskhah al-Quran terbitan Nasyrul Quran dengan terjemahan Bahasa Inggeris kepada pihak masjid East London Mosque pada Januari 2025 lalu. 
Berikutan dengan beberapa insiden pembakaran al-Quran di sekitar Eropah, Malaysia telah mengambil langkah yang lebih berhikmah dan bersifat dakwah dengan mencetak dan menyebarkan al-Quran ke serata dunia serta menterjemah ke dalam pelbagai bahasa. 

Usaha ini bukan sahaja memperluaskan pemahaman tentang keindahan Islam sebagai agama yang damai dan harmoni, tetapi juga mendekatkan manusia kepada nilai-nilai manusiawi yang terkandung dalam Al-Quran.

Ekonomi Islam: Malaysia di Barisan Hadapan

Dari sudut ekonomi dan kewangan, Malaysia terus unggul sebagai pemimpin global dalam ekonomi Islam. Sistem kewangan Islam yang berlandaskan prinsip syariah yang diamalkan di Malaysia telah diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia. Kejayaan ini didorong oleh inovasi produk kewangan Islam seperti sukuk dan takaful, yang menjadi rujukan di banyak negara. 

Hal ini diakui oleh Global Islamic Economy Indicator yang menempatkan Malaysia di kedudukan pertama selama 12 tahun berturut-turut sebagai negara yang mempunyai ekosistem terbaik untuk perkembangan ekonomi dan kewangan Islam. 

Pengurusan Wakaf, Zakat, Umrah, Haji dan Halal: Model Terbaik

Malaysia juga mempelopori pengurusan wakaf, zakat, umrah, dan haji dan halal yang cemerlang melalui agensi-agensi yang berdaya saing seperti JAKIM, JAWHAR, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, kementerian-kementerian di peringkat persekutuan dan Tabung Haji. 

Pendekatan moden seperti penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengurusan meningkatkan lagi kadar efisiensi pengurusan kewangan bagi harta-harta awam. Ini memastikan kebajikan masyarakat terpelihara, serta memberikan impak yang besar kepada pembangunan ekonomi umat Islam.
Tabung Haji khususnya, telah sekian lama mengharumkan nama negara sebagai contoh pengurusan haji yang dikagumi negara-negara Islam yang lain. Bahkan telah diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia menerusi Anugerah Labbaitum oleh Kerajaan Arab Saudi. 

Kemampuan Malaysia untuk terus membantu para pendeposit haji melalui sumbangan dan bantuan haji disifatkan sebagai ‘Entity of its kind’ atau entiti yang berada di kelasnya tersendiri oleh Professor Kabir Hassan dari University of New Orleans, Amerika Syarikat. 

Industri halal Malaysia juga diiktiraf terbaik di dunia. Sistem Pengurusan Halal Malaysia dan Sijil halal Malaysia menjadi rujukan dunia. 

Dengan pelbagai inisiatif yang diusahakan kerajaan, Malaysia terus menjadi destinasi utama syarikat-syarikat di seluruh dunia untuk mendapatkan pensijilan halal. Malahan Malaysia dinobatkan sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik OIC dalam Indeks Pelancong Pasaran Muslim Global (GMTI). 

GMTI menjangkakan jumlah pelancong Muslim bakal mencecah 230 juta orang menjelang tahun 2028. Malaysia mesti mengambil peluang ini sebaiknya seiring dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.



Kepengerusian ASEAN 2025

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mendapat peluang untuk menerajui suara kolektif rantau ini terutama dalam mendepani cabaran seperti isu perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharu (RE), transformasi digital dan pembangunan mampan, selain memainkan peranan yang signifikan dalam memperjuangkan isu kemanusiaan serantau, termasuk krisis kemanusiaan di Myanmar. 

PM sendiri menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN bersempena Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2025 di Davos, Switzerland.

Di bawah kepimpinan PM Malaysia akan terus menegaskan kepentingan pendekatan diplomatik yang inklusif dan penyelesaian yang berteraskan keadilan. Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan bahawa demi kemakmuran serantau, khasnya dalam menghadapi sebuah ‘post-normal world’ yang menyaksikan pertarungan sengit antara Amerika Syarikat dan China di pentas global, warga ASEAN wajib bersatu padu. 

Ketokohan PM dan keyakinan terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mendapat pengiktirafan ramai dan antaranya akhbar the Straits Times bertarikh 4 Januari 2025 telah menyenaraikan 10 Pemimpin Dunia yang perlu diperhatikan dan berpengaruh dan antaranya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Islam Terus Subur dan Mekar di Bumi Malaysia

Kesimpulannya, kerajaan pimpinan PMX pada ketika ini berjaya membuktikan bahawa gagasan Malaysia Madani bukan sekadar slogan kosong mahupun teori di atas kertas semata-mata, malah ia merupakan gagasan, idea dan kerangka yang mampu dilaksanakan dalam misi mencapai kemajuan dari pelbagai aspek kemanusiaan dan kebendaan. Perkara yang lebih membanggakan adalah nilai-nilai sejagat dalam Islam itu sendiri menjadi paksi dan batu asas perubahan ini. 

Dengan segala peluang yang diambil oleh Malaysia, insya-Allah dengan penuh keyakinan, Islam akan terus subur dan mekar di negara ini. Dengan kerjasama negara-negara ASEAN diterajui Malaysia, rantau ini juga bakal lebih makmur dengan bertunjangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan seiring dengan aspirasi rahmat untuk sekalian alam. 
Dengan komitmen terhadap kemanusiaan, diplomasi, dan pembangunan berasaskan nilai peradaban dan ketamadunan, didoakan agar Malaysia terus menonjol sebagai contoh negara Islam yang progresif dan akan terus mendunia menjadi duta negara Islam di peringkat global.
Malaysia Madani Terus Mendunia!


Senator Dr. Zulkifli Hasan adalah Timbalan Menteri (Hal-Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Tulisan ini adalah pandangan penulis.


8
7
0
4
0

Copy Link: