.


Kami menyokong penuh keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang mengumumkan kerajaan negeri tidak mengadakan sambutan tahun baharu 2025 secara mewah dan membazir.

Keputusan ini diambil kerana menghormati nasib mereka yang dilanda bencana banjir di dalam negara yang melibatkan ratusan premis kediaman dan perniagaan terjejas, ribuan terpaksa dipindahkan dan kerugian ratusan ribu ditanggung oleh mangsa.

Ia juga sebagai mengingati kesengsaraan warga Palestin yang mengalami keganasan berbarik Zionis Israel. 

Sehingga hari ini, lebih 45,000 orang terbunuh dalam jenayah genosid Israel di Gaza, termasuk 18,000 kanak-kanak, 17,000 wanita serta lebih 120,000 tercedera tanpa mendapat rawatan mencukupi. 

Gaza hampir hancur semuanya dengan lebih 300,000 kediaman, 32 hospital, 500 sekolah, 4 Universiti, 1,000 masjid, semua infrastruktur air dan elektrik musnah. 

Manakala hampir 2 juta orang berdepan dengan kebuluran akibat terputus bekalan makanan dan minuman.



Kami amat menyokong keputusan Aminuddin memandangkan sifat ihsan perlu dizahirkan dalam keadaan seluruh dunia yang kini kritikal. 

Ratusan juta penduduk dunia yang menjadi mangsa akibat konflik, peperangan, bencana alam dan kejatuhan ekonomi.

Akibatnya jutaan rakyat menjadi pelarian, berdepan dengan kemiskinan, kebuluran, kehilangan tempat tinggal, dinafi hak manusia dan terputus keperluan asas kehidupan.

Sambutan tahun baharu lazimnya dilakukan secara meriah, termasuk persembahan hiburan dan bunga api yang membazir dan melupakan mereka yang menderita.

Sewajarnya sambutan 2025 diubah kepada majlis yang mengingatkan masyarakat mengenai keadaan dunia yang perlu kembali kepada kemanusiaan dan keamanan

Rakyat perlu dididik dengan keinsafan yang tinggi mengenai nilai kesyukuran dan belas kasihan dan saling menyokong untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan bantuan dan pembelaan.



Kami menyarankan acara "countdown" (hitung detik) 2025  ditukar kepada pelancaran acara bertemakan "2025 Tahun Kemanusiaan dan Keamanan".

Sebuah ikrar nasional mengenai azam masyarakat di seluruh negara melafazkan keazaman mengusahakan penghayatan nilai kemanusiaan dan keamanan perlu diadakan.

Suara Malaysia yang mengangkat keperihatinan kepada isu kemanusiaan dan keamanan dunia perlu diketengahkan. 

Malaysia harus memimpin suara kemanusiaan yang lantang untuk menentang ketidakadilan dan kezaliman ke atas mereka yang lemah. 

Sistem dunia yang kelihatan rosak dan hipokrit mesti dihentikan dan anjakan besar order dunia dengan merombak institusi dunia yang lebih berkesan untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaaan mesti diusahakan.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


13
9
0
17
0

Copy Link: