BEBERAPA warga asing ditangkap dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Cyberjaya, Sepang, baru-baru ini. - Kredit foto: JIM


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 122 warga Indonesia di dua buah perkampungan berasingan di negara ini yang dibina secara haram oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada operasi yang dilancarkan dalam tempoh dua minggu sejak 1 Februari 2023 lalu. 

Mereka ditangkap dalam dua Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada 1 Februari 2023 dan 15 Februari 2023 lalu membabitkan dua perkampungan haram warga itu di Nilai Spring, Seremban, Negeri Sembilan dan Cyberjaya, Sepang, Selangor.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gejala PATI

PERKAMPUNGAN haram yang dibina oleh warga Indonesia di Nilai Spring, Seremban, Negeri Sembilan. - Kredit foto: JIM 


Serentak dengan itu, JIM telah memusnahkan perkampungan warga Indonesia di Nilai Spring bagi mengelakkan mereka kembali lagi di penempatan itu.

Perkampungan haram PATI itu yang dibangunkan di kawasan hutan dan bukit itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk sekolah, warung, surau dan beberapa unit generator sejak beberapa tahun lalu.

Sekolah yang dibina di dalam hutan itu memiliki kemudahan sekolah yang mengikut sukatan pendidikan Indonesia.


Kredit foto: JIM


Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata pada 15 Februari 2023 lalu, pihaknya dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan melibatkan 321 anggota telah juga menyerbu perkampungan haram PATI di Cyberjaya, Sepang.

Beliau berkata, dalam operasi tersebut yang dijalankan pada pukul 12.01 tengah malam itu, seramai 55 PATI warga Indonesia berusia 16 tahun hingga 70 tahun termasuk 26 lelaki dan 29 wanita berjaya ditangkap.

Menurutnya, pada operasi itu juga terdapat kira-kira 40 warga asing itu tanpa dokumen dipercayai berjaya melarikan diri ke dalam hutan dan belukar berhampiran perkampungan mereka. 


Kredit foto: JIM


``Kita percaya PATI terbabit masuk Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebagai pekerja pembinaan dan pencuci bangunan sejak 2016 dan tidak pernah kembali ke negara asalnya.

``Ketika serbuan dilakukan di perkampungan yang ada warung dan kedai runcit itu, kebanyakan PATI bersembunyi di dalam reban ayam dan bawah rumah mereka,’’ katanya.

Perkampungan yang turut disediakan sebuah surau itu terletak kira-kira empat kilometer dari jalan utama dan rumah mereka diperbuat dari bahan simen, kayu dan papan lapis.


Kredit foto : JIM


Sebelum itu, operasi yang sama pada 1 Februari 2023 lalu, JIM Negeri Sembilan telah menahan 67 warga Indonesia di sebuah penempatan haram di Nilai Spring, Nilai.

Ia termasuk mereka berumur dua bulan hingga 72 tahun terdiri 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.


SENJATA tajam yang ditemui dalam operasi di Nilai Spring, Seremban pada 1 Februari 2023. - Kredit foto: JIM 


Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kenneth Tan Ai Kiang dipetik berkata, mereka dipercayai tinggal di perkampungan tersebut sejak lebih dua tahun lalu bagi mengelak mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, semasa serbuan itu terdapat beberapa PATI cuba meloloskan diri mereka malah ada dalam kalangan mereka bertindak agresif bagi mengelak mereka ditangkap tetapi tindakan warga asing itu dapat dipatahkan oleh petugas pasukan operasi.



Pasukan operasi terpaksa berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer di dalam hutan sebelum sampai ke penempatan haram warga Indonesia itu.

``Perkampungan itu didapati memiliki sebuah sekolah mengikut silibus pendidikan di negara jiran serta terdapat beberapa unit generator sebagai punca bekalan elektrik,’’ katanya.

Turut dijumpai di perkampungan itu ialah beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang. 


Kredit foto : JIM


Pengarah JIM Negeri Sembilan itu berkata, antara kesalahan mereka ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan-kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, semua tahanan itu ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. - KitaReporters


Kredit foto : JIM

10
11
0
11
0

Copy Link: