Hari Kemanusiaan Sedunia! Serangan maut ke atas pekerja bantuan kini berada pada tahap paling tinggi!
Published byIslamic Relief memberi amaran sempena Hari Kemanusiaan Sedunia (19 Ogos) bahawa serangan maut terhadap pekerja bantuan kini berada pada tahap paling tinggi dan terus berlaku tanpa sebarang tindakan undang-undang.
Hari Kemanusiaan Sedunia diperkenal semasa Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2009 untuk mengiktiraf pekerja kemanusiaan yang terkorban di seluruh dunia.
Ia diraikan pada 19 Ogos setiap tahun untuk memperingati serangan pengeboman di ibu pejabat PBB di Baghdad pada tahun 2003, yang mengorbankan 22 nyawa.
Data terkini yang diterbitkan minggu ini menunjukkan bahawa serangan maut ke atas pekerja bantuan telah meningkat sebanyak 400% dalam tempoh 20 tahun.
Pada tahun 2023 sahaja, seramai 280 pekerja bantuan terbunuh berbanding hanya 56 orang pada tahun 2004. Setakat ini pada tahun 2024, sekurang-kurangnya 176 orang lagi pekerja bantuan telah terkorban.
Serangan Israel ke atas Gaza menyumbang lebih separuh daripada jumlah kematian, dengan sekurang-kurangnya 286 pekerja bantuan yang hampir semuanya warga Palestin, terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Pengeboman tanpa henti oleh Israel telah menjadikan Gaza sebagai tempat paling berbahaya di dunia untuk menyampaikan bantuan, di mana hospital, ambulans, sekolah, tempat perlindungan, konvoi bantuan, pejabat dan infrastruktur awam lain menjadi sasaran serangan dan dimusnahkan.
Pekerja bantuan turut menjadi sasaran di negara-negara lain seperti Sudan dan Sudan Selatan, yang termasuk antara lokasi berbahaya untuk mengagihkan bantuan.
Sejak perang meletus di Sudan pada April 2023, sekurang-kurangnya 37 pekerja bantuan telah terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi kakitangan telah diserang dan lebih 120 pejabat serta gudang bantuan kemanusiaan telah dirompak oleh kumpulan bersenjata.
Tahun demi tahun, bilangan orang yang memerlukan bantuan kemanusiaan di seluruh dunia semakin meningkat.
Justeru, serangan berterusan ke atas pekerja bantuan ini memberi kesan yang sangat buruk terhadap golongan memerlukan tersebut.
Serangan terhadap pekerja bantuan, premis, serta aset mereka telah melanggar undang-undang antarabangsa. Namun, semakin jelas bahawa undang-undang ini tidak diendahkan dan penyerang tidak dikenakan sebarang tindakan.
Islamic Relief menyeru negara anggota PBB untuk meningkatkan usaha bagi melindungi petugas kemanusiaan, aset, dan premis seperti yang digesa dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2730 yang diluluskan pada Mei tahun ini (2024), serta memastikan pelaku serangan dihukum atas sebarang pelanggaran.
Langkah lebih serius juga perlu diambil untuk melindungi pekerja bantuan tempatan.
Walaupun serangan ke atas pekerja bantuan antarabangsa seperti pembunuhan kakitangan World Central Kitchen di Gaza pada bulan April (2024) mendapat perhatian media dan kecaman global, kebanyakan pekerja bantuan yang dibunuh dan diserang juga adalah kakitangan tempatan yang kurang mendapat perhatian dunia.
Seorang pekerja bantuan Islamic Relief di Gaza berkongsi, “Pada bila-bila masa saja kami boleh menjadi mangsa seterusnya.
"Setiap hari kami pergi bekerja meninggalkan anak-anak dan keluarga, serta mempertaruh nyawa untuk membantu orang lain agar mereka terus hidup.
"Kami cuba sedaya upaya untuk membantu, walaupun keadaan sekeliling kami hampir lumpuh. Setiap hari mungkin menjadi hari terakhir bagi kami." - KitaReporters/Kenyataan Media