Langkawi transit migran Myanmar! Bersembunyi di rumah pengapongan! Kemudian diseludup ke tanah besar!
Published byFISOL SALLEH menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas ketika serbuan kes pemerdagangan manusia pada sidang akhbar di IPK Kedah pada 10 September 2023.
LANGKAWI yang bergelar Pulau Mutiara Kedah kini menjadi lokasi pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar untuk menyeludup masuk ke negara ini bagi mencari pekerjaan dalam sektor peladangan dan pembinaan.
Perkara itu didedahkan oleh polis Kedah setelah modus operandi PATI menggunakan jalan laut di perairan Langkawi berkenaan untuk masuk ke sini selain lorong-lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand.
Menurut risikan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah, PATI berkenaan akan menaiki bot dari Satun, Thailand menuju ke perairan negara sebelum mendarat di pesisir pantai Langkawi.
PATI Myanmar yang diberkas di rumah pengapongan yang menjadi rumah transit sebelum diseludup ke lokasi pekerjaan di sektor peladangan dan pembinaan.
“Lokasi pendaratan ialah di Tanjung Rhu, Taman Nilam dan Ayer Itam, Langkawi sebelum mereka dibawa bersembunyi di rumah pengapongan di Kuah. Seterusnya apabila keadaan selamat PATI ini akan menaiki feri ke tanah besar.
“Setiap PATI yang ingin masuk ke Malaysia ini akan dikenakan bayaran dari RM5,000 hingga RM7,000 setiap kepala oleh ejen sindiket penyeludupan migran itu,” kata sumber berkenaan.
Menurut sumber berkenaan, migran dari Myanmar tersebut sanggup melakukan apa sahaja untuk bekerja di Malaysia ekoran kemakmuran negara ini terutama apabila ekonomi semakin rancak selepas pandemik Covid-19.
“PATI berkenaan ditawarkan dua pilihan sama ada ke Pulau Krismas atau Malaysia tetapi mereka memilih negara ini kerana khabar indah-indah daripada keluarga atau kenalan mereka yang sudah lama bekerja di sini.
“PATI ini datang daripada pelbagai lapisan dan mereka sanggup berbuat apa sahaja. Di kampung halaman untuk mendapatkan wang sebagai bayaran kepada ejen ada yang sanggup mengadai tanah atau berhutang.
“Kebanyakan mereka mempunyai keluarga yang sudah lama bekerja di Malaysia dan tertarik dengan cerita-cerita kehidupan mereka di sini yang aman damai,” kata sumber itu lagi.
KENDERAAN yang digunakan untuk mengangkut PATI
Kegiatan sindiket itu terbongkar ekoran penahanan PATI berkenaan oleh anggota penguat kuasa termasuk polis ketika mereka menggunakan feri untuk ke tanah besar.
Dalam serbuan terbaharu oleh polis Kedah turut memberkas sembilan PATI dari Myanmar dan tiga lelaki senegara disyaki sebagai ejen yang menyeludup mereka ke negara ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dalam satu sidang akhbar di Alor Kedah, pada Ahad, 10 September 2023 memaklumkan polis berjaya menumpas lima sindiket pemerdagangan manusia dalam operasi sepanjang Ogos dan September 2023 ini sekali gus menahan 47 migran dan 12 ahli sindiket berkenaan dalam operasi di Kubang Pasu dan Langkawi.
Katanya, aktiviti penyeludupan itu sangat membimbangkan dan modus operandi PATI ini adalah menggunakan jalan laut di Langkawi dan jalan darat di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam.
“Ahli sindiket berkenaan di negara ini dipercayai mempunyai hubungan dan kerjasama dengan ejen sindiket di Yangon, Myanmar,” katanya.
Tambah beliau, kesemua migran ini berusia antara 15 hingga 50 tahun yang ditahankan bersama ahli sindiket pemerdagangan tersebut berusia di antara 30 hingga 40 tahun.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26 A Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6 (1) (C ) Akta Imigresen 1959/63. Kejayaan ini adalah salah satu daripada usaha polis Kedah untuk menumpaskan kegiatan penyeludupan di sempadan,” katanya.
Katanya lagi, pihak polis turut menyeru orang ramai termasuk penduduk tempatan membantu menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan migran bagi menangani limpahan PATI di Malaysia. - KitaReporters
GAMBAR HIASAN... PATI yang mendarat di pesisir gantai Langkawi akan menggunakan perkhidmatan feri untuk ke tanah besar.