.



Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti tempatan khususnya universiti awam (UA) diminta untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmaqdis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata adalah penting supaya pemain institusi pendidikan negara dapat menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin.

"Baitulmaqdis bukan sekadar sejarah, ia adalah amanah yang perlu kita pertahankan dan bangunkan demi masa depan ummah," tegas Anwar.




Terdahulu pada 24 Februari 2025, Anwar meraikan tetamu istimewa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, Imam dan khatib Masjidil Aqsa. 

"Kami sempat makan malam bersama di Seri Perdana sebelum menunaikan solat maghrib berjemaah dan menyertai Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, Putrajaya.

"Ketika berucap, saya menyatakan hasrat Malaysia dalam menyambut saranan Sheikh Dr Ekrima, untuk menyegerakan usaha pembangunan semula Gaza terutama menerusi wakaf. 

"Justeru, saya meminta KPT dan universiti tempatan untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmaqdis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin," jelas beliau.

Menurut Perdana Menteri, tragedi genosid sewaktu Palestin dibantai dalam keadaan umat Islam yang lesu, sehubungan itu, belia menyeru hadirin agar meniupkan roh perjuangan dan mengangkat martabat umat dalam pelbagai bidang serta meninggalkan masalah remeh-temeh yang memecahbelahkan umat.

"Saya turut ulangi teguran yang disampaikan tatkala berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam sewaktu Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain tempoh hari.

"Teguran itu terkait permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat," katanya lagi.



Dalam persaingan dunia yang sengit dan mencabar, Anwar berkata, umat Islam harus merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi, menguasai kecerdasan buatan (AI) dan digital, di samping menngimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan ihsan, seperti ditekankan dalam gagasan Madani.

Sementara itu, Sheikh Dr Ekrima sewaktu menyampaikan tausiah bertajuk “Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa di sisi Islam”, mengupas sejarah agung kota Al-Quds yang menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmuqaddis, turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin. 

Ketika itu, kota Al-Quds menjadi saksi tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda.

"Pada akhir majlis, saya zahirkan penghargaan kepada Syeikh Dr Ikrimah sebagai salah seorang tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuang kedudukan Masjid al-Aqsa," kata Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
14
0
15
0

Copy Link: