SMART Malaysia tiba di Turkiye! Lakukan SAR di Gaziantep dan Adana! Tabung Bencana KLN dilancarkan!
Published byBAGI mereka yang tidak tahu, sebenarnya Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar untuk misi bantuan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye, mempunyai pengalaman dan kepakaran tersendiri.
Justeru, tidak hairanlah daripada 70 itu mereka telah dipecahkan kepada beberapa unit pasukan kecil berdasarkan objektif dan keperluan yang berbeza.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, setakat ini pasukan pertama itu telah ditugaskan dan ditempatkan di pelbagai lokasi di Gaziantep dan Adana.
Ia bagi memastikan setiap daripada mereka dapat memberi bantuan sewajarnya termasuk antaranya menyelamatkan mangsa yang terselamat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usaha-usaha SAR
Dalam pada itu, pasukan SMART kedua juga telah bertolak pada 6 Februari 2023 ke Turkiye yang melibatkan 70 anggota SAR yang terlatih antaranya 20 anggota Pasukan Smart dan 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Ketua Pengarah NADMA (Datuk Khairul Shahril Idrus) telah menetapkan agar Komander SMART, NADMA bertindak sebagai Komander Operasi bagi kedua-dua Pasukan MAS-01 (pasukan pertama) dan MAS-10 (pasukan kedua)." katanya.
Gempa bumi besar dengan magnitud 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, telah meragut beribu nyawa di kedua-dua negara.
Malah difahamkan kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Sementara itu, demi rasa sifat kemanusiaan dan tolerasi antara masyarkat sejagat, Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berharap dan mengalu-alukan penglibatan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat dalam misi penyaluran bantuan ke Turkiye dan Syria.
Kementerian Luar Negeri berkata, semua pihak NGO yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan kedua-dua negara itu diminta untuk berdaftar dengan NADMA.
Ia boleh dilakukan melalui emel [email protected] bagi tujuan penyelerasan.
"Bagi pihak yang ingin menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye, maklumat butiran delegasi serta senarai bantuan dan peralatan yang ingin dibawa masuk juga perlu dimaklumkan melalui e-mel itu.
"Tabung Bencana Gempa Bumi di Turkiye dan Syria” di bawah seliaan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) turut akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi memberikan sumbangan kepada mangsa bencana berkenaan." katanya. - KitaReporters