Kalimat Presiden MAPIM: 2024 disambut penuh perasaan kecewa dan marah! Tapi ada sekelumit harapan?
Published byOleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden MAPIM
Dunia berada dalam persimpangan yang kronik ketika kemanusiaan menjadi mangsa kepada kerakusan dan pelenyapan nilai keadilan dan kesaksamaan antara manusia.
Natijahnya sangat mengerikan jika kuasa besar sedia melancarkan perang proksi dengan penggunaan senjata pembunuh tercanggih di dunia.
Tahun 2023 berakhir dengan Gaza menjadi medan pembunuhan massa yang tidak terbayang. Yang pasti masyarakat antarabangsa menunjukkan kegagalan yang amat jelas.
Dunia menjadi saksi kepada pembantaian ke atas kanak-kanak dan wanita di Gaza setiap detik tanpa berbuat apa-apa selain hanya kata-kata . Setiap hari menyaksikan nyawa hilang tanpa pembelaan. Genosid berlaku terang-terangan dan pelakunya terlepas dari sebarang hukuman.
Hegemoni kuasa besar jelas mahu mencatur dunia mengikut selera yang dimahukan. Dunia terbelah kepada dua pesaing besar yang tidak mahu mengalah. Perang dingin kembali di persada dunia tetapi kali ini ia bakal meledak kepada perang proksi.
Bencana alam yang kerap dan semakin intensi . Pemanasan bumi, banjir yang memusnahkan , taufan dan gempa bumi yang menghancurkan telah menatijah ratusan juta manusia berdepan nasib yang tidak menentu .
Sementara ekonomi yang mencengkam golongan bawahan telah merumitkan kehidupan dan kelangsungan hidup. Kemiskinan tetap menjadi wajah dunia kepada sebahagian besar penduduk yang tidak dapat diselesai dengan tuntas.
Apakah isu utama yang perlu ditangani. Sudah pasti yang diperlukan ialah tumpu kepada memperbaiki pengurusan negara. Rakyat mahu melihat negara menuju kepada pengukuhan ekonomi. Politik keharmonian tercabar dan negara masih bergelut dengan politik perkauman dan kesempitan berfikir.
Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.