Malaysia, Turkiye tubuh Majlis Kerjasama Strategik Tingkat Tertinggi! Bincang pelaburan MAHB di ISGIA!
Published byMalaysia dan Turkiye sepakat bersetuju menubuhkan Majlis Kerjasama Strategik Tingkat Tertinggi yang akan dikelolakan sendiri oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara juga membincangkan soal keterlibatan pelaburan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).
"Saya dan Presiden (Turkiye) (Recep Tayyip) Erdoğan bersetuju menubuhkan Kerjasama Strategik Tingkat Tertinggi yang akan dikelolakan sendiri oleh kami berdua.
"Kami juga membincangkan soal keterlibatan pelaburan MAHB di ISGIA, yang mana Malaysia komited untuk terus bersinergi bersama Turkiye bagi meneruskan operasi di lapangan terbang tersebut," tegas Anwar dalam satu kenyataan pada 11 Februari 2025.
Terdahulu, Anwar dan Erdogan mengepalai delegasi negara masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala bagi membincangkan perkara yang menjadi kepentingan bersama.
Dalam pertemuan ini, kata Perdana Menteri, Malaysia dan Turkiye sepakat untuk menggandakan kerjasama strategik komprehensif meliputi bidang Pelaburan dan Perdagangan, Pertahanan, Kesihatan, Semikonduktor, Sains dan Tenaga, Pengurusan Bencana, Industri Halal, dan Kesalinghubungan (Pelancongan, Komunikasi Digital dan Pendidikan Tinggi)
Sehubungan itu, beliau menegaskan, penubuhan Kerjasama Strategik Tingkat Tertinggi itu bagi membolehkan kesemua urusan ini berjalan lancar.
Anwar berkata, selain itu, Malaysia dan Turkiye juga senada dalam soal Gaza yang mana ia memerlukan kerjasama semua pihak dalam melancarkan urusan pembangunan semula kawasan yang musnah selain memudahkan penghantaraan bantuan kemanusiaan.
Turut dibangkitkan semasa mesyuarat ini adalah terkait situasi yang berlaku di Timur Tengah khususnya Syria selain penderitaan etnik Rohingya, yang mana Malaysia dan Turkiye akan terus menggunakan kapasiti masing-masing dalam memastikan sokongan berterusan disalurkan kepada pihak terlibat.
"Besar harapan saya agar hubungan dua hala dan jalinan kerjasama erat Malaysia dan Turkiye akan kekal utuh dalam semangat persahabatan yang mampu membawa manfaat kepada kedua-dua negara," ujar Anwar.
Sementara itu, sewaktu sidang media bersama, Anwar turut menyatakan keyakinan terhadap potensi besar Malaysia dan Turkiye dalam melonjakkan perdagangan dan pelaburan melebihi AS$10 bilion dengan memperluas kerjasama dalam sektor semikonduktor, agro komoditi, elektronik, makanan dan minuman, serta pertahanan.