Benarkah? Kenaikan tarif elektrik tak jejas 85% rakyat? Lihat kesan harga diesel naik! - Ismail Sabri
Published byUcapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada 13 Februari 2025 (Khamis) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia
Terlebih dahulu, saya menjunjung kasih ke atas Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas.
2. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik Merafak Sembah Setinggi-tinggi Ucapan Tahniah kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah atas setahun tempoh pemerintahan sejak 31 Januari 2024.
3. Patik mendoakan agar Allah SWT memberikan kesihatan terbaik kepada Tuanku serta pemerintahan Tuanku akan terus dipelihara dan menjadi asas kepada kemakmuran negara.
GAZA DAN PERANG EKONOMI DUNIA
4. Dunia pada tahun 2025 menyaksikan satu lagi episod kontroversi yang dibawa oleh Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang kembali berkuasa.
5. Kali ini, beliau bercadang untuk membeli Gaza dan mengusir penduduk Gaza ke Mesir dan Jordan sebagai "penyelesaian muktamad" kepada konflik di Timur Tengah. Mesir dan Jordan telah memberi respons yang tegas menolak cadangan yang tidak masuk akal ini.
6. Penyelesaian muktamad hanya satu iaitu mengembalikan semula hak penduduk Palestin di Gaza untuk hidup aman dan bebas dalam sebuah negara yang merdeka. Dunia harus mengecam cadangan yang tidak berperikemanusiaan ini dan tidak membenarkan ianya berlaku.
7. Justeru, seluruh negara Islam dan dunia perlu bersatu. Isu Palestin bukan isu agama tetapi isu kemanusiaan. Saya menyeru supaya Malaysia mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan isu ini, meskipun terdapat negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
8. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kerana cadangan ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan global tetapi juga mengancam kestabilan geopolitik antarabangsa.
9. Kegilaan Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu harus dihentikan dengan segera. Tindakan mereka ini sudah melanggar batas kemanusiaan dan undang undang antarabangsa.
10. Pada masa sama, saya turut bersetuju dengan cadangan beberapa rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain supaya satu usul khas dibentangkan di Dewan yang mulia ini, khusus untuk membincangkan tentang kegilaan Trump dan kezaliman yang masih tiada noktah buat saudara kita di Gaza.
11. Selain itu, kehadiran semula Trump mencetuskan pelbagai tanda tanya kepada dunia. Dasar-dasar baharu Amerika Syarikat, khususnya pelaksanaan dasar perdagangan pelindungan yang agresif, dengan mengenakan tarif yang tinggi terhadap produk import akan turut memberikan kesan kepada Malaysia.
12. Perang ekonomi antara Amerika Syarikat dan China yang pastinya akan memberi gangguan kepada rantaian bekalan global dan perdagangan antarabangsa. Ia secara langsung memberikan impak kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada sistem ekonomi terbuka.
13. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar pertumbuhan KDNK menurun kepada 3.8 peratus pada tahun ini berbanding 4.5 peratus pada 2024.
14. Saya ingin bertanya apakah tindakan yang akan diambil oleh Malaysia bagi mengimbangi perang ekonomi antara dua kuasa besar ini kerana kedua-duanya adalah rakan dagang utama negara?
15. Pada masa yang sama, pertembungan dua kuasa ini juga melibatkan soal keselamatan di rantau Asia Tenggara khususnya melibatkan Laut China Selatan. Jadi, apakah tindakan yang bakal diambil oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bagi menentukan hala tuju soal keselamatan di rantau ini?
EKONOMI MERUDUM
16. Dalam keghairahan menempa nama dan menarik pelaburan bernilai tinggi di persada antarabangsa, Kerajaan juga harus menumpukan kepada permasalahan di dalam negara.
17. Isu kos sara hidup yang meningkat belum selesai. Kuasa beli semakin menurun. Kini terdapat keresahan dalam kalangan rakyat terhadap nilai Ringgit. Walaupun suasana negara terutama ekonomi berada pada tahap sebelum pandemik, begitu pun nilai Ringgit sangat tidak stabil.
18. Nilai Ringgit jatuh pada titik terendah dalam tempoh 26 tahun iaitu RM4.78 berbanding satu dolar Amerika Syarikat pada 14 Februari 2024 dan kini masih berkisar sekitar RM4.50.
19. Ini menimbulkan persoalan terhadap jumlah sebenar pelaburan yang benar-benar dibawa masuk ke negara ini khususnya hasil daripada lawatan Perdana Menteri ke luar negara.
20. Jadi, berapakah nilai pelaburan sebenar yang telah direalisasikan sejak Kerajaan Madani dibentuk pada 24 November 2022?
21. Malah sehingga hari ini dalam tempoh tidak sampai dua bulan pertama 2025 sebanyak RM3.5 bilion dana asing bersih sudah ditarik keluar berbanding RM4.2 bilion yang ditarik keluar pada tahun 2024 dan sebanyak RM2.4 bilion ditarik keluar pada tahun 2023.
22. Sektor pembuatan ini adalah tulang belakang ekonomi negara dan jika trend ini berterusan, ia mampu menjejaskan prestasi ekonomi Malaysia untuk tempoh jangka panjang jika tidak diatasi dengan segera.
23. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh S&P Global baru-baru ini, mereka menyatakan firma pembuatan kini lebih cenderung menurunkan harga jualan untuk eksport masing-masing yang menjadi sebahagian daripada usaha bagi merangsang jualan.
KENAIKAN TARIF ELEKTRIK
24. Kerajaan telah menyatakan bahawa 85 peratus isi rumah tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik pada pertengahan tahun ini.
25. Kerajaan juga menyatakan bahawa kenaikan ini hanya melibatkan kira-kira 15 peratus golongan maha kaya dan industri.
26. Namun saya ingin tegaskan lumrahnya, kenaikan tarif elektrik ini akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna yang juga terdiri daripada 85 peratus isi rumah tersebut.
27. Secara ringkasnya, sejak tahun 2015 sehingga 2022, kadar kenaikan tarif asas adalah kecil, lonjakan sekitar 3.7 peratus, iaitu 38.53 sen/kWh kepada 39.95 sen/kWh.
28. Namun, tarif asas bagi tahun ini sehingga 2027 dinaikkan secara mendadak, kenaikan sebanyak 14.18 peratus, daripada 39.95 sen/kWh kepada 45.62 sen/kWh.
29. Malah, seperti yang dinyatakan oleh S&P sebelum ini, bagaimana pengusaha akan dapat bertahan kerana mereka terpaksa menurunkan harga produk eksport untuk kekal bersaing dalam perang ekonomi dan dengan kenaikan tarif ini, mereka terpaksa menanggung beban yang lebih tinggi.
30. Apakah perancangan Kerajaan untuk mendepani kos sara hidup yang akan terus meningkat?
31. Apabila diesel naik, pengusaha salur kepada pengguna. Kesan tidak langsung, kos barangan meningkat. Sekarang rakyat terbeban dengan kos sara hidup dan harga barang bertambah.
KEMISKINAN
32. Dasar-dasar seperti pengurangan subsidi dan gangguan perdagangan akibat ketegangan geopolitik cenderung memberi kesan yang lebih besar kepada golongan miskin, menjadikan usaha menamatkan kemiskinan sebagai satu isu yang kompleks.
33. Sebagai contoh kenaikan tarif elektrik (walaupun untuk industri) dan pelaksanaan subsidi bersasar petrol pada pertengahan tahun ini (2025) akan memberikan kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah, menjadikan mereka terperangkap dalam kitaran kerentanan.
34. Jadi saya ingin tahu dengan jelas apakah mekanisme Kerajaan untuk menyasarkan subsidi petrol dan apakah ada subsidi-subsidi lain yang akan turut disasarkan?
35. Dalam masa yang sama, Menteri Ekonomi dalam Dewan Rakyat pada 5 Februari (2025) lepas menyatakan Kerajaan telah berjaya menoktahkan miskin tegar dengan signifikan terutama di Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih sekiranya benar.
36. Namun, adakah negeri-negeri ini masih kekal sifar miskin tegar meskipun dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi? Adakah ini bermakna penduduk di tiga negeri tersebut tidak ada yang menerima zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat?
37. Berdasarkan statistik JKM, sehingga Ogos 2024, terdapat 543,086 penerima bantuan kebajikan di seluruh Malaysia dengan peruntukan yang dibelanjakan adalah RM1.73 bilion.
38. Sehingga Ogos 2024 juga, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) masih mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM22 juta kepada asnaf miskin dan fakir sebanyak RM18 juta.
39. Gambaran ini jelas tidak selari seperti yang dinyatakan oleh Kerajaan kerana bantuan zakat kepada golongan miskin tegar masih diagihkan di Negeri Sembilan.
40. Selain itu, dalam jawapan Menteri Ekonomi itu juga turut dinyatakan bahawa terdapat seramai 507 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kuala Lumpur miskin tegar.
41. Bagaimana tiba-tiba angka miskin tegar di Kuala Lumpur begitu tinggi sedangkan sebelum ini dalam ucapan YAB Perdana Menteri di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina pada 15 Februari 2024 bahawa Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status sifar miskin tegar?
42. Justeru, apakah kaedah yang digunakan untuk mengeluarkan golongan ini daripada kelompok miskin tegar?
43. Kerajaan memerlukan pendekatan jangka panjang bagi menoktahkan miskin tegar agar mereka tidak kembali ke kumpulan itu.
44. Jika tiada perancangan yang teliti, golongan miskin tegar dan miskin akan bertambah seterusnya akan membebankan Kerajaan.
Sekian, saya mohon menyokong. Terima kasih.