Jangan putus asa! Terus berdoa untuk Palestin! Senjata terampuh umat Islam! Semoga Allah makbulkan!

Published by
KitaReporters


"Jika tidak boleh membantu dari segi harta benda dan mengangkat senjata bagi melawan aparteid Zionis Yahudi, sekurang-kurangnya marilah berdoa moga Allah mengabulkan niat kita untuk melihat peperangan Hamas-Israel yang berlangsung sejak 7 Oktober tahun lalu dapat dihentikan.

"Doa adalah senjata umat Islam dan Allah memberi jaminan Dia akan mengabulkan doa hamba-Nya tapi mestilah ikhlas dan bersungguh-sungguh demi melihat keamanan di Palestin.

"Ayuh, rakyat Malaysia, jangan putus asa berdoa untuk saudara kita di Palestin terutama di Gaza kerana mereka memerlukan munajat kita setiap hari selain sokongan moral dan semangat untuk terus bertahan serta berjuang melawan kekejaman Israel," kata pendakwah terkenal, Ustaz Nazmi Karim.

Beliau berkata demikian pada Forum Talk To Heart: Dengan Roh dan Darah Kami Pertahankan Al-Aqsa yang diadakan sempena Malam Cinta Gaza di Padang Kompleks Kejiranan, Presint 9, Putrajaya. 

Selain Ustaz Nazmi, forum itu turut menampilkan selebriti TV3, Fedtri Yahya dan PU Muhsin sebagai moderator.


Forum Heart to Heart: Dengan Roh dan Darah Kami Pertahankan Al-Aqsa menampilkan Ustaz Nazmi Karim (kiri), PU Muhsin (tengah) dan Fedtri Yahya.


Malam Cinta Gaza dianjurkan oleh Rescue Ummah Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penduduk Presint 9, Yayasan Strategi Lestari, Selayang Care, Geng Surau Putrajaya, Surau An-Najah, Usrah Medic. Turut hadir, bekas personaliti TV Al-Hijrah, Finaz Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri. 

Ustaz Nazmi berkata, Gaza adalah bumi yang diberkati kerana di sini jasad moyang Nabi Muhammad SAW, Hasyim bin Abdul Manaf dikebumikan selain tempat kelahiran Muhammad bin Idris, juga dikenali sebagai Imam Syafii, ahli fiqah Islam yang terkemuka dalam sejarah Islam dan pengasas mazhab Syafii. 

Empat nabi juga dilahirkan di Palestin, antaranya Nabi Ibrahim, Nabi Daud, Nabi Yunus dan Nabi Isa. 

Justeru, bumi Palestin termasuk Gaza sentiasa dalam rahmat Allah apatah lagi Masjid Al-Aqsa, rumah Allah yang ketiga paling suci dalam Islam terletak di bumi berkenaan. 

"Masjid al-Aqsa dan sekitarnya termasuk tanah, air, udara, batu, tanaman dan buah-buahan mempunyai keberkatan sebagaimana yang dinaskan oleh al-Quran. Masjid al-Aqsa adalah tempat yang disinggahi nabi ketika peristiwa Israk dan Mikraj, di samping pernah menjadi kiblat pertama umat Islam. 

"Menunaikan solat di Masjid al-Aqsa mendapat ganjaran 500 kali ganda malah Palestin adalah bumi para anbiya' dan di sini juga Allah menurunkan wahyu kerana ramai nabi dan rasul termasuk Nabi Ibrahim, Nabi Ishaq, Nabi Ya'qub, Nabi Yusuf, Nabi Lut, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa," katanya lagi.


Ustaz Nazmi Karim


Ustaz Nazmi berkata, Israel boleh melakukan apa sahaja kekejaman tapi terbukti selepas tiga bulan peperangan, mereka masih gagal menembusi Gaza keseluruhannya walaupun memiliki teknologi persenjataan paling canggih di dunia dan di belakang mereka ada sekutu Amerika Syarikat. 

"Selepas tiga bulan, negara haram Zionis masih menerima serangan daripada pejuang Hamas dan kematian tentera Israel dilaporkan setiap hari malah ada yang cedera parah selain ramai yang trauma dan menjadi gila kerana terlalu tertekan ketika bertempur di Gaza. 

"Israel memang tiada pilihan lain selain menghentikan peperangan. Jika diteruskan lebih lama, negara aparteid Zionis itu akan mengalami masalah ekonomi lebih besar apatah lagi kos peperangan setakat ini sudah mencapai angka bilion dolar Amerika tapi disebabkan malu, mereka terus membunuh penduduk Palestin yang tidak berdosa. 

"Insya-Allah, kemenangan akan memihak kepada pejuang Hamas kerana sejarah membuktikan dalam Perang Badar, tentera Islam yang berjumlah 313 orang berhadapan dengan tentera musuh berjumlah 1,000 orang tapi disebabkan yakin dan ikhlas, Allah memberi kemenangan kepada mereka. 

"Pejuang Hamas hanya mempunyai dua matlamat, kemenangan atau syahid. Justeru, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahan bumi Gaza yang diberkati selain Masjid Al-Aqsa," katanya lagi.   


Sebahagian orang ramai yang hadir di Malam Cinta Gaza bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.


Dalam perkembangan yang sama, Ustaz Nazmi memuji Afrika Selatan kerana berani mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antrabangsa (ICJ) di The Hague atas dakwaan rejim Zionis mendalangi tindakan pembunuhan beramai-ramai dan melakukan jenayah peperangan di Gaza. 

"Walaupun bukan negara Islam, Afrika Selatan berani membawa kes itu ke ICJ. Bagaimana dengan negara-negara Islam, apa yang mereka lakukan ketika Palestin terutamanya bumi Gaza dibom setiap hari dan pembunuhan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa?

"Pada hari pertama Gaza diserang, tiada negara Islam membantu dan pejuang Hamas dalam keadaan serba kekurangan terpaksa menghadapi kekuatan musuh yang lebih besar. Tapi, disebabkan perjuangan mereka ikhlas dan yakin dengan Allah, mereka mampu melawan sehingga Israel mengakui kekuatan Hamas yang luar biasa," katanya.


Fedtri Yahya


Sementara itu, Fedtri Yahya kagum dengan semangat wartawan Palestin yang sanggup mempertaruhkan kudrat, keringat malah nyawa sendiri untuk berada di barisan hadapan bagi menyampaikan berita muktahir dan telus mengenai apa yang berlaku di Gaza. 

Beliau berkata, mereka adalah pejuang sejati kerana komitmen yang besar bagi menyampaikan maklumat kepada pembaca di seluruh dunia situasi peperangan Hamas-Israel dan menangkis berita propaganda yang cuba disampaikan media proapartied Zionis yang kebanyakan palsu. 

"Laporan dari Pejabat Media Gaza melaporkan lebih 100 petugas media di Semenanjung Gaza terbunuh sejak peperangan meletus 7 Oktober tahun lalu (2023) dan Israel didakwa sengaja membunuh wartawan di Gaza untuk menutup naratif Palestin, menyembunyikan kebenaran dan menghalang berita serta maklumat daripada tersebar ke peringkat antarabangsa.

"Terkini, saya membaca berita seorang wartawan TV Al-Quds terbunuh dalam serangan di Kem Pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah pengamal media yang terbunuh kepada 106 orang," katanya.

Katanya lagi, selain wartawan, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) turut mendapat tamparan hebat daripada kemampuan pejuang Hamas menyampaikan berita di medan peperangan, secara "live" kepada media Al-Jazeera walaupun mereka dikatakan berada dalam terowong. 

"Umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia beruntung mendapat berita sebenar dari Gaza melalui wartawan dan pejuang Hamas yang berani mati, justeru sebarlah info ini kepada orang masyarakat supaya lebih ramai dapat tahu kekejaman Israel di Gaza. 

"Bagaimanapun, saya kecewa ada juga masyarakat Melayu di negara ini alpa dan tidak peka dengan perkembangan di Gaza malah saya sedih apabila mendapat tahu kelompok ini tidak tahu langsung peperangan Hamas-Israel, mereka seperti tidak mahu ambil peduli. 

"Insya-Allah, saya akan terus memberi maklumat kepada masyarakat apa yang berlaku di Gaza, moga masyarakat lebih peka dan terus memberi sokongan kepada warga Palestin sampai bila-bila, bukan sekadar marah ketika berlaku peperangan sahaja," kata Fedtri lagi. - KitaReporters


Finaz Yunus

 

__________________________________________________

14
6
0
20
0

Copy Link: