Kami menggesa sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung untuk memperuntuk sedikit masa bagi mempertimbang usul khas berhubung isu Palestin terkini.

Kami berpandangan bahawa isu-isu di Gaza dan Lubnan (Lebanon) serta operasi ketenteraan Zionis Israel yang semakin ganas seharusnya mendapat bantahan dan kritikan hebat daripada Dewan Rakyat.  

Keadaan yang semakin memuncak kini berkemungkinan mencetuskan perang serantau yang sangat berbahaya.

Israel kini menunjukkan keangkuhan sambil meningkatkan keganasan yang mengakibatkan kehilangan puluhan ribu nyawa, kecederaan dan kebuluran dan kemusnahan besar-besaran di Gaza, Tebing Barat dan di Lubnan.



Walaupun kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat jelas dan tegas dalam isu Palestin, namun suara Dewan Rakyat yang mempunyai 222 Ahli Parlimen perlu diangkat dan dirakamkan sebagai suara rakyat Malaysia menentang kekejaman Israel, yang disokong oleh Amerika Syarikat.

Adalah penting bagi Dewan Rakyat, sebagai institusi tertinggi di negara ini, merekodkan kesungguhan Malaysia untuk menuntut akauntabiliti Israel dan berkeras untuk menamatkan peperangan dengan segera.



Keganasan Israel sama sekali tidak boleh diterima kerana rejim Zionis telah melanggar semua undang-undang antarabangsa dan semua resolusi PBB.  

Malah, pencabulan hak asasi manusia di Palestin serta jenayah pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang adalah terlalu mengerikan, mengakibatkan 42,700 orang terbunuh, lebih separuh adalah kanak-kanak dan wanita.  

Lebih kejam apabila pekerja media, kesihatan dan PBB, agensinya, UNRWA, turut menjadi sasaran Israel.



Kami mengesyorkan agar sidang Dewan Rakyat membincangkan dan meluluskan usul berikut:

  • 1. Mengutuk jenayah genosid Israel di Gaza dan bertegas bahawa Israel mesti bertanggungjawab.
  • 2. Mengutuk Israel kerana membunuh ratusan pekerja kemanusiaan, media dan kesihatan PBB.
  • 3. Menuntut PBB menggunakan semua mandat yang ada untuk memastikan gencatan senjata kekal segera dikuatkuasakan.
  • 4. Menuntut PBB bertindak melalui campur tangan pengaman untuk menghentikan keganasan Israel dan melindungi penduduk Gaza dan Lubnan.
  • 5. Menuntut agar bantuan kemanusiaan dihantar segera tanpa sebarang halangan ke Gaza.
  • 6. Menuntut Amerika Syarikat menghentikan keterlibatannya dan sokongan tanpa syarat terhadap Israel dan menamatkan pembekalan senjata kepada Israel yang digunakan untuk melancarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
  • 7. Menuntut supaya Israel menamatkan pendudukan di Palestin seperti yang diputuskan oleh mahkamah dunia, ICJ. Pandangan mahkamah yang memberi tempoh 12 bulan mulai September 2024, untuk Israel berundur dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur perlu dikuatkuasakan.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)



10
13
0
5
0

Copy Link: