KEPUTUSAN kerajaan untuk memberi potongan tol 50% dari kadar biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 disambut baik oleh rakyat.

Rata-rata rakyat terutama mereka yang akan memulakan perjalanan ke destinasi masing-masing pada Isnin, 27 Januari 2025 dan 28 Januari 2025 berasa lega dengan pengumuman itu dan menganggapnya sebagai hadiah Tahun Baharu Cina.

Seorang bekas pegawai bank, Mat Reffien Setaman menganggap keputusan itu merupakan satu bonus kepada rakyat Malaysia serta membuktikan kerajaan Madani sentiasa meraikan kepelbagaian kaum dan perayaan di negara ini.

“Bagi saya, isu tol bukanlah isu yang besar kerana saya yakin setiap orang yang mahu balik kampung untuk atau menggunakan kesempatan untuk bercuti sempena perayaan sudah bersedia untuk membayar tol walaupun tidak ada potongan.

“Ada potongan atau tidak, mereka akan tetap akan menggunakan lebuh raya pada setiap kali perayaan. Buktinya, bila cuti sekolah, lebuh raya tetap sesak terutama pada hujung minggu walaupun tidak ada potongan tol.


MAT REFFIEN (barisan belakang dua dari kiri) dan meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga isterinya, Nor Aida Abdullah (duduk dua dari kanan) pada setiap kali perayaaan itu. 


“Macam saya sendiri yang setiap Tahun Baharu Cina akan balik ke kampung isteri di Kuantan, Pahang, untuk meraikan bersama keluarganya, saya tidak pernah menikmati potongan tol kerana lazimnya kami hanya akan balik seminggu selepas hari perayaan bagi mengelak kesesakan jalan raya,” katanya.

Reffien yang menghawini Nor Aida Abdullah, seorang mualaf, berkata memang menjadi tradisi keluarganya meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga isterinya walaupun berbeza agama.

“Hubungan isteri dengan keluarganya tidak putus walaupun berbeza fahaman agama. Setiap tahun kami balik ke Kuantan untuk meraikan Tahun Baharu Cina walaupun perlu membayar tol penuh. Ia bukan satu isu besar kepada saya.

“Tapi, bila kerajaan memberi potongan tol, kita patut berterima kasih kerana ini membuktikan kerajaan memang prihatin dan bertimbang rasa. Bagi saya, ini lebih kepada satu bonus kepada rakyat sempena sambutan Tahun Baharu Cina,” ujar Reffien.


RICKY CHER anggap potongan tol beri manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.


Sementara itu, seorang peniaga, Ricky Cher turut mengalu-alukan keputusan kerajaan memberi potongan tol. Bagi beliau, walaupun nampak kecil namun tetap memberi faedah kepada rakyat.

“Ada orang cakap 50% sikit, patut kerajaan beri tol free tapi bagi saya lebih baik ada daripada tak ada langsung. Sebelum ini ramai tak puas hati bila kerajaan cakap tak nak kasi tol free tapi akhirnya bagi 50% diskaun, okey la tu.

“Sebagai rakyat kita kena berterima kasih. Saya sendiri tak dapat menikmati potongan itu kerana hanya akan balik ke kampung saya di Labis, Johor dan kampung isteri di Ipoh, Perak seminggu selepas raya pertama kerana tetap buka kedai sepanjang perayaan.

“Tapi saya tak kisah. Kerajaan bagi atau tidak, saya tetap sambut raya. Bila Kerajaan bagi diskaun, bagus untuk rakyat Malaysia. Saya rasa bukan orang Cina saja dapat faedah tapi orang Melayu, India dan lain-lain sama menikmatinya,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.


BAHRUL HAFIZ anggap tol percuma sudah jadi tradisi setiap kali perayaan.


Bagi Bahrul Hafiz Abu Bakar pula, pemberian tol percuma menjelang setiap kali perayaan seolah-olah sudah jadi satu tradisi di Malaysia. Justeru, apabila timbul desas-desus kerajaaan tidak akan memberinya pada perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, ia kelihatan janggal.

“Rakyat sudah biasa, setiap kali ada perayaan pasti ada tol percuma. Kalau tak ada tol percuma seolah-olah tidak lengkap perayaan itu. Jadi, bila ada kenyataan bahawa tak ada tol percuma pada kali ini, ramai yang nampaknya marah.

“Alhamduluillah, kerajaan nampaknya sedar akan reaksi ini dan memberikan 50% potongan. Walaupun Kerajaan perlu menanggung kos yang agak besar untuk membayar pampasan, anggaplah ini sebagai hadiah untuk rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025,” kata peniaga kedai makan itu yang akan menggunakan kesempatan cuti panjang untuk balik ke kampung halamannya di Kuala Selangor.


DATO Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerjaraya. - Kredit foto FB Rasmi Menteri Kerjaraya.


Terdahulu, Kerajaan Madani dalam Mesyuarat Kabinet hari ini (24 Januari 2025) telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025. 

Menteri Kerjaraya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, implikasi kewangan yang ditanggung oleh Kerajaan Madani bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08juta.

Katanya, pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023. 

"Sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024," jelas beliau dalam satu kenyataan.

"Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini (24 Januari 2025) bersetuju memberikan diskaun tol 50% sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan," jelas beliau dalam kenyataan tersebut.

Keputusan memberikan diskaun 50% dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua). - KitaReporters

13
16
0
11
0

Copy Link: