.



Tanpa lengah, Malaysia menggerakkan usaha bagi membina sekolah, hospital dan masjid di Gaza dengan sokongan syarikat-syarikat awam dan swasta serta seluruh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan pemulihan dan pembangunan semula Gaza Kerajaan Malaysia Madani ini turut mendapat kesepakatan daripada kerajaan Jepun.

"Pengumuman gencatan senjata di Gaza selepas pembantaian kejam yang meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal, harus disambut dengan perancangan pemulihan Gaza.

"Justeru, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, sebuah hospital, dan sebuh masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh penduduk Palestin," kata Perdana Menteri.



Menurut beliau, usaha besar-besaran ini akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat Malaysia.

"Alhamdulillah, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun juga telah berjaya mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza.

"Usaha ini dibuat menerusi inisiatif Persidangan Kerjasama Negara-negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan. 

"Moga kewujudan dana khas ini akan mencapai misi dan matlamat yang kita rancang," jelas Anwar.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menitipkan doa dan harapan agar Allah SWT terus memberi perlindungan buat Gaza dan Palestin serta memberkati setiap usaha dan pengorbanan Malaysia dalam memberikan harapan baharu buat rakyat Palestin. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
13
0
10
0

Copy Link: