Angkara konflik, peperangan! Ramai ibu di Syria buang bayi sendiri! Kerana terdesak dan kemiskinan!

Published by
KitaReporters


MUNGKIN terdesak tetapi itulah realiti yang berlaku di Syria apabila seorang ibu muda terpaksa meninggalkan anak kandungnya seorang bayi perempuan berhampiran masjid di bandar utama Damsyik.

Lebih menyedihkan si ibu meninggalkan nota kecil yang sangat sayu bersama bungkusan anaknya, memetik laporan portal middleeastmonitor.com.

Bayi malang itu ditemui berhampiran Masjid Sinan Pasha di kawasan Bab Al-Jabiya tanpa peralatan lain namun ‘ditemani’ nota pengenalan diri dan penerangan daripada ibu kandungnya yang menyatakan dirinya terpaksa melakukan tindakan sedemikian.


Maryam ditinggalkan di sebuah masjid di bandar Damsyik selepas ibunya mendakwa tidak mampu untuk menjaga kerana terdesak dan faktor kemiskinan.


“Bayi perempuan ini  bernama Maryam, dia adalah anak yang saf tarafnya, bapanya meninggal dunia dan saya tidak mampu menjaganya sendiri kerana tidak mampu,” katanya dalam sekeping nota yang ditulis tangan. 

Penemuan bayi comel itu menjadi tular dalam media sosial dan netizen menyalahkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

Malah ada yang meminta Presiden Bashar bertanggungjawab dengan keadaan sehingga negara itu menjadi miskin dan berdepan krisis yang teruk. Selain mendakwa kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini.


Masjid Sinan Pasha di kawasan Bab Al-Jabiya merupakan lokasi penemuan Maryam bersama nota tulisan tangan yang dipercayai ibunya kandungnya.


Bagaimanapun penemuan bayi comel itu menyebabkan ramai yang menawarkan diri untuk menjadikan sebagai anak angkat.

Manakala  ada yang sudi menawarkan gaji bulanan kepada ibunya untuk menyara mereka berdua bagi membolehkan si kecil itu mendapat kehidupan yang lebih sempurna.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai keluarga telah meninggalkan bayi mereka di dalam kotak kadbod atau dibalut dengan selimut musim sejuk di kawasan yang dikuasai rejim, berikutan kemiskinan tegar dan ketidakupayaan mereka untuk menyediakan penjagaan yang diperlukan untuk anak-anaknya.


Bayi yang dibuang ditempatkan di rumah anak yatim 'Child Houses' di Idlib, Syria.  


Sementara itu, kumpulan 'Syrians for Truth and Justice', sebuah pertubuhan yang merekodkan pencabulan hak asasi manusia di negara itu menyatakan, hanya beberapa kes pembuangan kanak-kanak dilapor secara rasmi sebelum perang meletus pada 2011.

Namun, menurut laporan pertubuhan yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS) itu pada Mac 2023 lalu, antara awal 2021 dan akhir tahun lalu, lebih 100 kanak-kanak, 62 daripadanya perempuan, ditemui terbiar di seluruh negara, sambil menganggarkan angka sebenar mungkin lebih tinggi.

"Jumlahnya meningkat secara mendadak sejak permulaan konflik, ditambah pula kesan sosial dan ekonomi selepas perang," kata kumpulan itu. - KitaReporters

8
11
0
11
0

Copy Link: