WALAUPUN suhu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kian membahang, namun pertandingan yang berlaku boleh dianggap hanya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).


Ini kerana calon dan parti PH serta BN yang kelihatan bersungguh-sungguh berkempen untuk memenangi kerusi parlimen berkenaan. 

Setakat ini, banyak pihak berpendapat peluang kedua-dua parti adalah 50-50 walaupun sebelum hari penamaan calon ada yang meramalkan BN mampu merampas semula kerusi itu sekiranya meletakkan calon UMNO.

Jika dilihat, PH dan BN ada kelebihan dan kelemahan masing-masing dan kini giat berusaha memenangi hati kira-kira 53,000 pengundi Tanjung Piai. 

Di pihak PH, jentera mereka dilihat agak 'pincang' kerana dikhabarkan tidak mendapat sokongan padu daripada PKR. 

Namun, keputusan pucuk pimpinan BN  terus memberikan peluang kepada MCA dilihat sedikit 'menjejaskan' usaha itu hanya kerana ingin menjaga 'keharmonian' dalam BN serta memancarkan aspirasi Muafakat Nasional yang termeterai dengan Pas, baru-baru ini.


Ada yang mengatakan puncanya adalah isu peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih samar dan dianggap penuh muslihat.

Ada benarnya juga andaian itu jika dilihat semasa hari penamaan calon Sabtu lalu apabila tiada pemimpin PKR yang pro-Anwar bersama-sama hadir memberi sokongan kepada calon PH darI Bersatu.

Yang kelihatan hanya Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari yang pro kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang dianggap orang Mahathir.


Faktor calon, Karmaine Sardini yang sudah lanjut usia turut sediikit sebanyak merencatkan sokongan kerana rakyat di Tanjung Piai mahukan wakil rakyat yang lebih 'muda' dan segar seperti Allahyarham Datuk Mohd. Fatid Md. Rafik.

Namun, Karmaine mempunyai latar belakang agama yang baik kerana pernah menjadi imam di Taman Perling, Johor Bahru serta perwatakannya yang lembut mampu 'menyeimbangkan' kekurangan yang ada.


Di pihak BN, jenteranya juga perlu lebih bekerja kerja terutama untuk menjelaskan kepada orang Melayu kenapa calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dipilih sedangkan pada peringkat akar umbi mahukan calon UMNO bertanding.

Andai berjaya memberikan penjelasan yang baik, mugkin hati dan sokongan kepada Datuk Seri Wee Jeck Seng mampu diterjemahkan dalam bentuk undi.

Sokongan dan undi daripada kaum Cina juga masiH samar walaupun berdasarkan tinjauan menunjukkan peningkatan ekoran kerajaan PH dilihat masih gagal menangani kelembapan ekonomi sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Sekiranya gagal menambat hati orang Melayu yang terdiri daripada 57 peratus dan Cina 42 peratus pengundi, maka peluang BN untuk merampas semula kerusi tersebut pasti sukar.

Yang dikhuatirkan, tindakan dan undi protes dilakukan. Dan jika itu yang berlalu, calon Gerakan, S. Wendy dan Berjasa, Datuk Dr. Badhrulhisham Abd Aziz mungkin mendapat faedahnya.

Kehadiran calon Gerakan dan Berjasa boleh mencuri sedikit undi, namun dua calon Bebas, Dr. Ang Chuan Look dan Faridah Aryani Abd. Ghaffar dilihat hanya sekadar untuk 'memeriahkan' PRK Tanjung Piai.

Kesimpulannya, bolehlah dianggap PRK Tanjung Piai pada 16 November ini hanya pertembungan antara seteru utama, iaitu PH melawan BN. 

0
0
0
0
0

Copy Link: