Sekurang-kurangnya tujuh orang rakyat Palestin dilaporkan syahid dalam serangan udara yang dilancarkan rejim Zionis di Kem Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza pada Khamis,14 Mac 2024  ketika petugas mengagihkan bantuan makanan yang dihantar oleh misi Op Ihsan, tajaan Malaysia. 

Menurut Pengerusi Sekretariat Induk Op Ihsan Jismi Johari pihaknya mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu ketika rakyat Palestin sedang mendapatkan keperluan makanan demi kelangsungan hidup.
"Menurut pegawai kesihatan Palestin, kejadian berlaku ketika petugas dalam persiapan untuk memulakan proses pengagihan barangan asas makanan termasuk pek makanan yang dihantar oleh Ops Ihsan.'
"Bagaimanapun, tentera Israel dilihat enggan bertanggungjawab terhadap serangan itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat, 15 Mac 2024.

Melalui rakaman video yang dihantar oleh Sekretariat Op Ihsan, kelihatan sebuah treler yang memuatkan bantuan makanan terkandas di satu lokasi dengan di sekelilingnya terdapat runtuhan bangunan dipercayai akibat serangan udara tentera Israel.
Jismi berkata konflik Gaza selama lima bulan menyebabkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk di kawasan itu kehilangan tempat tinggal dan mereka terpaksa berebut ketika pengagihan bantuan akibat kelaparan melampau.
"Sekretariat Induk Ops Ihsan juga menggesa dunia untuk terus mendesak rejim Zionis Israel untuk menghentikan apa yang dipanggil pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan penarikan balik tentera Israel dari Gaza dengan kadar segera," katanya lagi.


Laporan sebelum ini menyebut pasukan bantuan kemanusiaan di bawah Ops Ihsan tajaan Malaysia berusaha menghantar sebanyak 100,000 pek makanan ke Gaza ekoran keadaan semakin genting di kawasan konflik itu susulan serangan berterusan Israel.
Makanan tersebut dibungkus di gudang di bawah operasi Ops Ihsan di Jalan Hob Haseib, Tereet Ismailiyah, Kaherah. Sebelum itu mereka berjaya membawa masuk kira-kira 2,000 pek makanan kepada penduduk Palestin di Gaza. 
Gudang itu dikelolakan oleh Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dengan dibiayai oleh Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) Wisma Putra selain rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.


Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan menyebut pada 14 Mac 2024, satu serangan udara yang tidak bertanggungjawab telah dilakukan oleh rejim Israel ke atas kem Al-Nuseirat di Semenanjung Gaza. 

Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan ini yang menyebabkan lapan (8) rakyat

Palestin terkorban dan mencederakan lebih dari 20 orang yang merupakan petugas yang sedang dalam persiapan untuk mengagihkan bekalan makanan yang amat diperlukan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan untuk Rakyat Palestin (AAKRP) dan diuruskan oleh Ops Ihsan (gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan - NGO
Malaysia).
Tindakan keganasan oleh Israel terhadap orang awam yang tidak bersalah ini jelas mengabaikan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. 

Serangan terhadap penduduk Palestin ini juga merupakan satu pencabulan besar terhadap hak asasi mereka untuk

hidup dengan aman, selamat dan tenteram.
Mereka yang berada di kem tersebut adalah rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bukan ancaman kepada rejim Israel, tetapi hanya menjalankan tanggungjawab kemanusiaan mereka terhadap sesama penduduk Palestin.
Bagi memastikan keselamatan rakyat Palestin, masyarakat antarabangsa digesa untuk campur tangan dengan segera dan tegas, dan meminta rejim Israel supaya bertanggungjawab atas ketidakpedulian mereka secara terang-terangan terhadap nyawa manusia. 

Keadilan mesti ditegakkan dan langkah-langkah diambil untuk mengelakkan insiden sama berulang lagi. 

Solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin mesti diperluaskan bagi memastikan usaha mereka untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan hak mereka dapat direalisasikan.

Malaysia berpegang teguh dengan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. - KitaReporters/Kenyataan Media

8
16
0
15
0

Copy Link: