Majelis Adat Budaya Melayu Indonesia (MABMI) berhasrat untuk mengadakan kerjasama lebih erat dengan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) bagi mengukuhkan lagi kedudukan budaya bangsa Melayu.

MABMI menyampaikan hajat untuk menjalin kerjasama itu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail yang merupakan pengasas dan penaung SAABM dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, pada 1 Oktober 2024.

Ketua Umum Pengurus Besar MABMI, Prof Dr OK Saidin SH berkata, pihaknya memandang tinggi usaha yang digerakkan oleh Ismail Sabri sejak pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia sehingga hari ini. 



"Kami melihat beliau sebagai seorang pejuang bahasa Melayu. 

“Telah banyak usaha yang dilaksanakan oleh beliau, seperti penggunaan Bahasa Melayu sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-77 pada 24 September 2022. 

"Perkara tersebutadalah satu sejarah yang membanggakan buat orang Melayu,” katanya. 

OK Saidin mengetuai delegasi MABMI untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Ismail Sabri bagi menyatakan hasrat dan jemputan mereka. 

MABMI adalah sebuah lembaga sosiokultural bagi menghimpunkan masyarakat Melayu Indonesia, yang bermatlamat memelihara dan mengembangkan adat serta kebudayaan Melayu bagi masyarakat pendukungnya.



Dalam pertemuan ini, Ismail Sabri turut menghargai usaha MABMI yang ditubuhkan sejak tahun 1971 di Sumatera Utara. 

Menurut Ismail Sabri, MABMI telah memainkan peranan yang sangat penting dalam melestarikan budaya Melayu terutama di Medan, Indonesia. 

“Usaha mereka ini tidak tertumpu kepada memperkasa budaya Melayu sahaja, malah merentasi aspek ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Ismail Sabri turut berkongsi aspirasi yang sama dengan MABMI seperti usaha pemerkasaan bahasa Melayu yang kian terpinggir dalam masyarakat hari ini. 

Dalam pertemuan pada malam 1 Oktober 2024 itu, delegasi MABMI terdiri daripada Prof DR OK Saidin SH, Ketua Umum Pengurus Besar; Asro Kamal Rokan, Ketua Pengurus Besar; Datuk Adil Fredy Haberham, Ketua Pengurus Besar; Azrin Naim, Ketua Pengurus Besar; dan Faris Saleh Bashel, Pengurus Besar. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
13
0
17
0

Copy Link: