Saya bimbang dengan budaya fitnah, hasutan! Saya mahu rakyat waspada dengan jenayah siber! - Agong
Published byYang di-Pertuan Agong menyuarakan kebimbangan baginda berhubungan budaya fitnah dan hasutan dalam talian atau online dan dalam media sosial, yang dilihat terus berleluasa.
"Saya merasa bimbang, dengan budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial, yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah belah.
Oleh itu, Kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini, dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul dan dipercayai," titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Sidang Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin, 3 Februari 2025.
Agong juga menyuarakan kebimbangan baginda berkaitan peningkatan jumlah jenayah sider khususnya penipuan secara dalam talian.
"Suka saya ingatkan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati, agar tidak menjadi mangsa jenayah siber, seperti penipuan kewangan dalam talian atau “scammer” dan pencurian identiti," tegas Tuanku.
Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen bahawa Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem negara Malaysia.
Inilah, titah baginda, gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal, dan medan semak dan imbang atau “check and balance” ke atas pentadbiran negara.
"Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah.
"Tetapi ia adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
"Ahli-ahli yang berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara, dan bukannya agen perpecahan rakyat," tegas Sultan Ibrahim.
Justeru itu, Tuanku mahu dihentikan tindakan bermain politik atas setiap isu, dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja.
"Saya perhatikan, dalam persidangan dewan pada tahun lalu (2024), ahli-ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua.
"Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama.
"Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut, kerana saya percaya, setiap ahli sedar dan tahu, bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing.
"Saya juga menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik, kerana ia telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara," kata Yang di-Pertuan Agong lagi. - KitaReporters