PRK TANJUNG PIAI: MCA MUNGKIN BERI LALUAN KEPADA UMNO?

Published by
KitaReporters
"MCA sentiasa berlapang dada sama seperti MIC di PRK Cameron Highlands."

Ahmad Zahid berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor di Johor Bahru, pada 5 Okt 2019.


Jelas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu memberi gambaran bahawa parti terbesar Melayu berkenaan amat mengharapkan supaya MCA memberi laluan kepadanya untuk mendepani calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan bulan depan ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr. Mohamed Farid Md. Rafik, 42, pada 21 September lalu.

Walaupun belum ada kata putus mengenai perkara itu, namun beliau mengharapkan MCA sentiasa berbesar hati dan berlapang dada kerana pengundi Melayu di kawasan Parlimen berkenaan mahukan perubahan.

"Ya, kerusi tradisi adalah kerusi MCA. Kita tahu bahawa 56.9 peratus atau hampir 57 peratus daripada pengundi Tanjung Piai adalah orang Melayu.

"UMNO dan orang Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan. Namun, MCA juga mahu mengekalkan tradisinya. Tidak ada sesuatu yang mustahil, jika MCA dapat berbesar hati, MCA dapat berlapang dada kan," katanya semasa merasmikan Konvensyen UMNO Johor di Johor Bahru hari ini (5 Okt 2019).

Turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Tanjung Piai, manakala Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan sebagai Pengarah Operasi.

Ahmad Zahid dan Mohamad bergambar bergambar bersama-sama dengan para perwakilan Konvensyen UMNO Johor di Johor Bahru.


PRK Parlimen Tanjung Piai yang merupakan PRK ke-9 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14  (PRU14) diadakan berikutan kematian Dr. Mohamed Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Mohamed Farid yang merupakan seorang pakar bius dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas). 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK tersebut pada 2 November dan hari pengundian 16 November depan. 

Semalam Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, parti itu akan mempertahankan kerusi tersebut namun nama calonnya akan diumumkan kemudian selepas dibincangkan oleh picuk pimpinqn tertinggi Pakatan Harapan (PH).

0
0
0
0
0

Copy Link: