Sokong bawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan imigresen! 1,030 kanak-kanak di 20 depot! - MAPIM

Published by
KitaReporters

Kredit foto: Malaysiakini


Mapim menyokong pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sedang menangani isu kanak-kanak di depot tahanan.

Mengikut Menteri KDN, Dato ' Seri Saifuddin Nasution, data akan dikumpul mengenai jumlah, umur dan keberadaan kanak-kanak di depot tahanan seluruh negara. 

MAPIM berpendapat dengan data yang terkini dan menilai semula peraturan imigresen, isu kanak-kanak di depot tahanan akan dapat diatasi segera.

Usaha kerajaan untuk membawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan imigresen adalah wajar dan selaras dengan undang-undang antarabangsa. 

Kami sangat prihatin terhadap nasib 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.

Mengikut data KDN, daripada jumlah berkenaan, 351 kanak-kanak mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga.

Kami berpendapat akses kesihatan dan pendidikan untuk kanak-kanak adalah antara isu utama yang perlu diberi perhatian.

Adalah penting sementara dalam tahanan dan sebelum dikeluarkan dari depot, kanak-kanak tersebut tidak terlepas daripada peluang mendapat pendidikan asas. 

Lima Depot Tahanan Imigresyen yang mengadakan kelas untuk mereka sangat dialu-alukan dan jika boleh, pihak berkuasa melihat bagaimana libat urus NGO dapat membantu. 


Kredit foto: Airtimes.my


MAPIM berpandapat sudah sampai masanya dirangka suatu kaedah alternatif kepada penahanan pendatang asing (migran) di depot tahanan imigresen. 

Di dunia sekarang jutaan wanita dan kanak-kanak diletak dalam tahanan disebabkan status migran mereka.

Pakar dunia menyarankan agar secara sistematik perlu dirangka cara lain untuk menamatkan penahanan migran terutama dalam keadaan pemulihan ekonomi pasca-Covid-19.

Sangat penting nasib  migran, pemohon suaka, pelarian dan individu tanpa kewarganegaraan diberi perhatian. Tidak wajar kerana status mereka sebagai migran, mereka dinafikan banyak hak asasi manusia.

Sewajarnya kaedah penyelesaian memberi penempatan bukan tahanan  (non-custodial accommodation solutions) santunan berasaskan komuniti (community-based care) dilaksanakan kerana sekarang banyak negara telah berjanji di bawah "Global Compact for Safe, Orderly and Regular Migration."

Individu tidak boleh dilayan sebagai penjenayah hanya kerana melintas sempadan secara tidak sah atau kerana dokumen yang tidak lengkap.


Kredit foto: Borneo Network


Penahanan beramai-ramai (mass detention) tidak sepatutnya dianggap langkah biasa di bawah pengawalan imigresen. 

Sejak 1990-an banyak negara mengguna kaedah penahanan imigresen walaupun peraturan penahanan secara arbitrari tidak boleh berubah di bawah undang-undang antarabangsa yang lazim (international customary law).

Perlu dingatkan bahawa prnahanan di bawah hukum hak manusia antarabangsa tidak boleh dilaksanakan secara diskriminatif dan langkah penahanan seharusnya menjadi pilihan terakhir.

Penahanan kanak-kanak atas alasan individu atau berkait dengan status ibu bapa yang migran, tidak sama sekali dikawal di bawah prinsip pengecualian dan tidak menyebelahi kepentingan kanak-kanak yang ditahan. 

Oleh itu ia adalah bertentangan degan undang-undang hak manusia antarabangsa  

MAPIM mengusulkan supaya peraturan penahanan imigresen ke atas kanak-kanak dan migran yang lain segera dihapuskan.

Langkah alternatif perlu dirangka  yang boleh melindungi maruah, kemanusiaan, kesihatan dan kesejahteraan insan. 

Sementara itu, ia akan juga mengurangkan bebanan perbelanjaan kerajaan untuk menyelengara fasilti pusat tahanan.

Kesan mental, tekanan dan trauma kepada individu migran kanak-kanak adalah risiko yang terpaksa ditanggung akibat tahanan di depot inigresyen. 

Dalam sistem keadilan jenayah, seperti jaminan , tahanan di rumah, atau mengehadkan pergerakan termasuk pengawasan elektronik dan lapor diri kepada pihak autoriti secara berkala tidak seharusnya diguna dalam konteks imigresen. 


Mohd Azmi Abdul Hamid 

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


12
15
0
16
0

Copy Link: