Selepas keluhan demi keluhan daripada petani mengenai harga lantai pembelian padi yang agak rendah, akhirnya Kerajaan Madani mengambil beberapa langkah untuk mengatasi perkara ini dengan cara menyelaraskan harga kepada RM1,500 satu tan berbanding RM1,300 satu tan sebelum ini. 

Perkara itu sudah pasti mampu memberi kelegaan buat pesawah di seluruh Malaysia bagi memastikan harga itu berpatutan dengan keadaan semasa dan secara tidak langsung, krisis beras boleh diatasi dengan lebih baik. 



Menurut Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, usaha itu membuktikan kerajaan komited dan mendengar setiap permasalahan rakyat serta cuba mencari jalan yang terbaik untuk semua pihak.

"Kerajaan  mengambil langkah serius untuk menyelesaikan masalah setiap pesawah dengan cara selaraskan harga pembelian padi kepada RM1500. Malah langkah itu juga penting bagi menangani isu beras putih tempatan (BPT) yang sering  'hilang' di pasaran.

"Isu kehilangan beras putih tempatan kerana harga beras putih import (BPI) naik. Dalam kenyataan saya sebelum ini ada sebut, harga beras putih import  bergantung kepada pasaran dunia. 

"Pada saya, pengumuman dibuat oleh menteri (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu) berhubung isu kehilangan beras putih tempatan sudah selesai. Tapi, ada satu lagi perkara iaitu harga beras putih import kerana harga beras putih import masih tidak disentuh.

"Harga beras import bergantung kepada pasaran dunia. Sekarang harga beras import sudah turun. Jadi, kita akan tunggu pengumuman Bernas (Padiberas Nasional Bhd) berhubung harga baru beras import," katanya dalam sidang media di Puchong pada 14 Februari 2025.



Pada 13 Februari 2025 lalu, Mohamad memaklumkan kerajaan Madani bersetuju untuk selaraskan harga lantai pembelian padi RM1,500 satu tan berkuat kuasa pada 16 Februari 2025. 

Malah, beliau memaklumkan kerajaan turut mengekalkan harga beras putih tempatan (BPT) pada kadar RM2.60 satu kilogram (kg) agar beras di pasaran terus berada di tahap mencukupi. 

Perkara itu secara tidak langsung melibatkan peruntukan kira-kira RM150 juta bagi tempoh enam bulan bagi penyerapan sebahagian kos pengeluaran bagi memastikan keberadaan bekalan BPT sebanyak kira-kira 24 juta kampit 10kg di pasaran.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya turut memaklumkan penghargaan kepada Bernas yang telah bersama-sama dengan Kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela.

Sebelum ini, Bernas telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.

"Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta  untuk menyokong usaha Kerajaan membela nasib pesawah miskin.

"Insya-Allah, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,"katanya. - KitaReporters

12
20
0
6
0

Copy Link: