Syarahan umum bertajuk Membina Keluarga Dunia Meraih Keamanan Sejagat

oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

pada 26 Jun 2023 di Universitas Pertahanan (Unhan) Republik Indonesia, Jakarta, Indonesia


Yang dihormati Laksamana Madya TNI Prof. Dr. Ir. Amarulla Octavian, Rektor Universitas Pertahanan (Unhan) Republik Indonesia, dan Pengurusan Tertinggi Unhan

Syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya kita dapat berkumpul dalam majlis pada pagi ini.

Pertamanya, terima kasih kepada Prof. Dr. Ir. Amarulla Octavian dan Universiti Pertahanan Indonesia kerana sudi menjemput saya untuk berkongsi pandangan dan pengalaman untuk bersama-sama membina keamanan di dunia.

Hari ini dunia berubah dalam putaran yang pantas dan ganas. Dalam masa kita semua masih bergelut untuk pulih dari Pandemik COVID-19, kita juga terpaksa berhadapan dengan krisis geopolitik yang menyebabkan ekonomi menjadi tidak menentu.

Trilogi krisis - kesihatan, ekonomi dan geopolitik menyebabkan kehidupan kita berubah secara total, anak-anak kecil menjadi yatim piatu, ada yang menjadi muflis, dan ada yang berjaya mengambil peluang untuk membetulkan semula – reset – kehidupan mereka, melalui ledakan teknologi digital pasca pandemik. Namun kita semua mengimpikan sebuah dunia yang damai tanpa perang biarpun sukar untuk dicapai.



Kini Dunia Tanpa Sempadan dan dikenali juga sebagai Era Globalisasi. Di mana Dunia Tanpa Sempadan dikaitkan dengan dua perkara pokok. Pertama iaitu ruang-lingkup sesebuah negara terbuka membenarkan kemasukan, pencerobohan segala jenis berita dan segala bentuk perhubungan. Ruang tersebut dikenali sebagai Ruang Siber, di mana William Gibson yang mencipta istilah Ruang Siber dalam karyanya berjudul Neuromancer, pada tahun 1984.

Dalam Era Globalisasi ini, kita berdepan dengan konsep Dunia Tanpa Sempadan, di mana kita tidak perlu mendapatkan kebenaran atau keizinan bagi mengetahui semua perkara di sesebuah negara. Teknologi digital memandu warga dunia dalam beraktiviti hal-hal maklumat di seluruh dunia. Ia berfungsi sebagai medan rangkaian maklumat yang meliputi semua dimensi kehidupan warga dunia. 

Globalisasi bermula pada tahun 1820 sehingga tamat perang dunia pertama dan berevolusi sehingga pada tahun 2019, World Economic Forum telah mengisytiharkan dunia kini berada pada tahap Globalisasi 4.0 yang berteraskan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).

Kedua, Dunia Tanpa Sempadan juga turut mempengaruhi aktiviti penghidupan serta ekonomi warga dunia, yang dahulunya terdapat sekatan, akhirnya terbuka luas. Manusia lebih bebas untuk ke mana-mana saja biarpun ada sekata-sekatan dasar yang dibuat oleh pemerintah sesebuah negara.



Menyedari terdapatnya Dunia Tanpa Sempadan, serta persaingan dalam perebutan rezeki di Malaysia, maka saya telah memikirkan untuk memperkuat rasa cinta sesama warganegara. Supaya mereka dapat berfikir, beraktiviti dan bertindak sebagai satu keluarga. Supaya rasa kekitaan mengatasi rasa keakuan. Tegasnya, merasakan satu keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia.

Sebagai Perdana Menteri Kesembilan Malaysia, saya tumpahkan pemikiran tersebut ke dalam acuan falsafah, yang saya namakan Keluarga Malaysia. 

Tiga teras utama dalam Keluarga Malaysia iaitu: Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran turut menerapkan 20 pengkayaan nilai untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

Antara pengkayaan nilai di bawah tiga teras ini adalah seperti berikut :

•       Menyemai budaya integriti dalam keluarga

•       Menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga

•       Menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga

•       Menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

Bersandarkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini, negara akan dipacu untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi, seterusnya menjamin kesejahteraan setiap penduduk di negara bertuah ini.

Melalui Falsafah Keluarga Malaysia, saya telah berusaha untuk merapatkan blok pembangkang dengan Kerajaan dalam menghasilkan usaha yang menyumbang kebaikan kepada negara. 

Antaranya, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) atau lebih dikenali dengan confidence-and-supply agreement (CSA) di beberapa negara lain. Banyak keputusan yang dibuat dipersetujui sebulat suara seperti Belanjawan 2022, Rancangan Malaysia ke-12, Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian MA 63 dan Undang-Undang Anti Lompat Parti. Ia terhasil daripada pemikiran Keluarga Malaysia.



Saya juga mencadangkan supaya dilahirkan Keluarga ASEAN, semasa Sidang Kemuncak ASEAN secara maya pada 26 Oktober 2021. Bagi saya, negara-negara ASEAN boleh menjalinkan perhubungan yang begitu rapat sekali. Sehingga tidak timbul langsung perasaan curiga serta syak wasangka, maka banyak hal-hal kebaikan yang boleh diraih.

Kemesraan itu boleh mengubah perbelanjaan negara yang tidak produktif kepada perkara sebaliknya. Sebagai contoh, hampir seluruh negara ASEAN membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar kepada bajet pertahanan. Sedangkan kita tahu, bahawa perbelanjaan untuk senjata bukanlah produktif. Jadi untuk apa perbelanjaan berbilion-bilion dolar ini?

Sekiranya, kita negara-negara ASEAN dapat melahirkan kepercayaan sejati antara negara anggota, maka bajet tersebut tidak diperlukan. Mungkin ia boleh digunakan untuk pelajaran percuma kepada para pelajar atau kesihatan percuma untuk rakyat.

Soalnya, mengapa kita berterusan membenarkan amalan tersebut? Siapa yang untung dari sikap kita itu? Jawapannya, tentu sekali kapitalis senjata.

Mengapa kekal begini? Jawapannya ialah kita anggota ASEAN masih gagal melahirkan Keluarga ASEAN sejati. Maka benih-benih curiga, merimbun menghantui para pemimpin ASEAN.

Dari aspek ekonomi, negara-negara ASEAN adalah saling lengkap melengkapi umpama sebuah negara bukannya bersaing sesama sendiri. Umpamanya, rantau ini adalah pengeluar utama getah dan kelapa sawit utama dunia tetapi harga komoditi ini ditetapkan oleh orang lain, malah kita berhadapan dengan pelbagai sekatan dari negara-negara luar rantau.

Begitu juga dengan pertikaian Laut China Selatan. Biarpun tidak semua negara yang terlibat namun kita perlu bersuara sebagai sebuah keluarga besar ASEAN, sama-sama untuk mendepaninya kerana ia melibatkan isu serantau.

Walapun kita ditekan oleh kuasa besar dan tidak mempunyai kuasa ketenteraan tetapi jika kita bersatu sebagai sebuah keluarga besar ASEAN, orang luar akan menghormati kita. Ibarat sebatang lidah mudah dipatahkan, jika diikat segenggam sukar untuk dipatahkan.

Berpegang teguh dengan prinsip asasnya yang mengutamakan kepaksian ASEAN dalam menghadapi cabaran lalu dan masa depan. Prinsip asas seperti saling bekerjasama dan menghormati kedaulatan negara serta semangat membimbing negara anggota ke arah keamanan dan kemakmuran serantau menjadi resipi kejayaan di rantau ini.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada kepimpinan ASEAN untuk memandu seluruh warganya dari semua peringkat, semua genre supaya berusaha melahirkan Keluarga ASEAN sejati. Mungkinkah, kerana pengaruh bipolar di rantau Pasifik menjadikan masalah untuk melahirkan Keluarga ASEAN? 



Semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 pada 23 September 2022 di New York, saya menyarankan supaya semua negara anggota PBB, berusaha melahirkan sebuah Keluarga Dunia. Mengapa tidak dilakukan kerana sekarang sudah menjadi Dunia Tanpa Sempadan.

Masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan. Kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya. Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

Sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

Warga dunia sudah bebas pergi ke mana-mana negara yang mereka idamkan. Mereka juga boleh mendapatkan pekerjaan dan beraktiviti ekonomi. Perdagangan antara negara hampir bebas dilaksanakan. Aktiviti ekonomi antara negara kapitalis dan sosialis berjalan seolah-olah bebas tanpa sekatan. Jadi mengapa tidak, PBB dan seluruh anggotanya berusaha untuk menjadikan dunia sebagai satu keluarga besar yang sempurna. Menjadi Keluarga Dunia sejati. Menjadi Keluarga Dunia yang aman damai.

Mengapa perkara ini tidak terjadi? Dari pengamatan atau pemerhatian saya sangat jelas. Ia berpunca dari permainan kapitalis senjata dan petrol dolar. Kedua-dua kapitalis inilah yang mempengaruhi pihak berkuasa negara kuasa besar. Akhirnya membawa kepada pertembungan blok ideologi politik.

Kita dapat melihat bagaimana pengaruh petrol dolar terhadap Amerika Syarikat. Saddam Husein, Presiden Iraq dituduh menyimpan dalam jumlah yang besar Senjata Pemusnah. Bush Junior, menggunakan PBB dan NATO untuk meyakinkan dunia terhadap fitnah yang dilemparkan ke atas Saddam Husein. Seluruh media digunakan untuk mengeliru serta mempengaruhi pemimpin-peminpin dunia yang kononnya Saddam memiliki senjata tersebut. Selepas Saddam digulingkan dan minyak telah dikuasai oleh syarikat-syarikat barat, maka terbukti selepas itu Iraq tidak memiliki senjata pemusnah.

Kini konflik berlaku antara Ukraine-Rusia telah melebihi setahun. Tidak nampak tanda-tanda akan berakhir. Ukraine mendapat dokongan NATO dan negara Barat, manakala Rusia mendapat sokongan China. Banyak harta yang musnah, terutama Ukraine dan banyak nyawa yang terkorban di kedua-dua pihak.

Minyak dari Rusia disekat memasuki negara Eropah. Jadi minyak dari Amerika Syarikat seperti ExxonMobil, Castrol, Chevron Corporation, ConocoPhillips dan lain-lain, mendapat peluang dari kekosongan yang ditinggalkan oleh Rusia. Menurut Bloomberg, pengeluaran minyak Amerika Syarikat melebihi 12 juta tong sehari sejak 12 bulan lalu, merupakan pengeluaran tertinggi dalam masa 50 tahun. Syarikat ExxonMobil mengaut keuntungan ratusan bilion, begitu juga dengan syarikat minyak yang lain, mengaut puluhan dan ratus billion.

Konflik Ukraine-Rusia turut memberi keuntungan yang lumayan kepada pengeluar dan pembekal senjata di Barat. Pengeluar senjata di Amerika seperti Lockheed-Martin Corporation dan Raytheon Technologies merupakan dua syarikat gergasi membekalkan persenjataan.

Syarikat-syarikat ini, melalui Amerika Syarikat membekalkan ribuan dron, peluru berpandu dan senjata lain ke Ukraine. Syarikat-syarikat persenjataan ini mengautkan keuntungan berbilion-bilion ringgit di atas kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa serta kehancuran negara.



Saya melihat kedua-dua faktor ini, menjadi halangan untuk melahirkan sebuah dunia yang aman lagi sejahtera. Tegasnya, kapitalisme senjata dan minyak ini akan berbuat apa saja, demi mencari keuntungan di atas kemusnahan dunia serta kehilangan nyawa manusia.

Keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global. Oleh itu, setiap negara wajar melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa. Menurut Clements (2017), ‘keamanan sejagat’ mempunyai perbezaan maksud dengan ‘keamanan sedunia’ atau yang sering disebut sebagai ‘keamanan global.’

‘Keamanan sedunia’ lebih banyak menekankan aspek keselamatan yang dikaitkan dengan aspek ketenteraan sehingga kebanyakan negara terlibat dalam banyak peperangan yang mengorbankan ribuan nyawa orang awam, malah berjuta-juta menjadi pelarian akibat kemusnahan tempat tinggal dan hidup dalam ketakutan.

Dalam bahasa yang mudah bahawa ‘keamanan sejagat’ yang dimaksudkan adalah keamanan yang diperolehi secara alamiah, di mana bukan terhasil dari perang.

Saya menolak konsep ‘keamanan sedunia’ yang menggunakan kekuatan senjata atau memenangi perangan untuk membentuk keamanan. Perang tidak dapat diselesaikan dengan perang untuk mencapai perdamaian.

Justeru, saya mengajak para hadirin berdoa sambil berusaha, agar seluruh kepimpinan dunia melalui PBB, berikhtiar mencari jalan supaya segala bentuk konflik atau peperangan dapat diatasi. Jangan kerana kapitalis senjata dan minyak ini memusnahkan penghidupan umat manusia di dunia ini.

Dalam ucapan saya di UNGA juga, antara lain saya menyebut “Malaysia kekal optimistik. Saya menyeru negara-negara anggota untuk melaksanakan peranan masing-masing dalam mengatasi cabaran yang kita hadapi. Namun kita harus melakukannya bersama-sama seperti sebuah keluarga besar - Keluarga Dunia.

Kita mahukan keamanan sejati. Manusia memerlukan persekitaran yang sempurna. Kita mahu hidup di dunia ini sebagai suatu keluarga besar.

Kita mahu membina Keluarga ASEAN. Kita mahu Membina Keluarga Dunia. 

Mari kita membina Keluarga Dunia meraih keamanan sejagat. Bersama kita mulakan dari sekarang.


15
18
0
8
0

Copy Link: