PRN Terengganu| Usaha tawan kerajaan negeri! BN pertaruh dua bekas MB, seorang Timbalan Menteri!
Published byBARISAN Nasional (BN) Terengganu mempertaruh dua bekas Menteri Besar dan seorang bekas Timbalan Menteri dalam usaha menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos 2023 ini.
Dua bekas Menteri Besar tersebut adalah Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang akan bertanding di kerusi DUN Kijal dan Seberang Takir.
Manakala Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Jailani Johari dicalon bagi kerusi DUN Ajil, Hulu Terengganu.
Ahmad Said
Ahmad dan Ahmad Razif masing-masing kekal mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.
Manakala Jailani bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu tidak dicalonkan pada PRU14.
Nama mereka diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada malam hari Jumaat 21 Julai 2023.
Pada PRU14 lalu, Ahmad yang juga Pengerusi UMNO negeri menang dengan majoriti 1,265 undi, manakala Ahmad Razif selalu Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus menang dengan majoriti 1,884 undi.
Ahmad Razif
BN mengumumkan 27 calon yang akan dipertaruh di Terengganu, manakala lima lagi kerusi menjadi pertaruhan Pakatan Harapan (PH).
Baki lima lagi kerusi iaitu di DUN Batu Burok, Tepoh, Ru Rendang, DUN Manir dan Wakaf Mempelam akan ditandingi calon dari Pakatan Harapan iaitu parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selain Ahmad dan Ahmad Razif, turut dikekalkan bertanding mempertahan kerusi adalah Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat; Bendahari UMNO negeri, Datuk Sabri Mohd Noor; serta Timbalan Setiausaha UMNO negeri, Bazlan Abd Rahman.
Rozi akan bertanding mempertahan kerusi DUN Telemong, Sabri (Langkap) dan Bazlan (Batu Rakit).
Tokoh lain yang turut dicalonkan termasuklah Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dicalonkan bagi DUN Pengkalan Berangan, manakala Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof bekas ADUN Jertih dipindahkan di DUN Kota Putera.
Pada PRU14 lalu, Pas memenangi 22 kerusi DUN di Terengganu,manakala 10 kerusi dimenangi Barisan Nasional. - KitaReporters
Jalaini Harun