Oleh ALEXANDER MATHEOU

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC)


Peralihan kuasa yang dramatik di Afghanistan dan Myanmar pada 2021 meletakkan rantau Asia Pasifik di barisan hadapan perhatian tentang isu kemanusiaan. 

Sejak itu, krisis di Eropah, Afrika dan Timur Tengah telah mengalihkan tumpuan dari Asia Pasifik. 

Namun, mana-mana pekerja kemanusiaan yang bekerja di rantau ini akan menghadapi cabaran besar pada tahun 2024. Berikut ialah beberapa isu utama yang akan kami fokuskan dalam IFRC. 

Pertama, krisis yang kompleks dan berlarutan di rantau ini akan kekal menjadi keutamaan - Afghanistan, Myanmar, dan perpindahan di Bangladesh. 

Di Afghanistan, kami telah memasuki satu normal baharu dengan isolasi antarabangsa, rayuan kecemasan yang kekurangan dana, dan kemudahterancaman kronik. 

Sebagai tindak balas, kami tidak ingin bergelut untuk mengekalkan semua kerja kecemasan yang terdapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebaliknya kami akan menumpukan sokongan kami kepada beberapa perkhidmatan teras yang direka untuk dijalankan untuk jangka masa sederhana hingga panjang, termasuk tempat perlindungan dan latihan vokasional untuk golongan wanita miskin dan bantuan reintegrasi untuk ratusan ribuan orang yang pulang dari Pakistan. 

Kami akan bekerja keras untuk advokasi kepada penderma untuk menyokong visi yang lebih panjang ini berbanding bantuan kecemasan yang berkitaran pendek. 



Myanmar juga akan mengalami isolasi antarabangsa dan peningkatan keganasan dan perpindahan. 

Negara yang berpecah akan menyukarkan agensi berpusat di ibu negara seperti IFRC untuk membantu orang yang memerlukan – dan ini akan meningkatkan pergantungan kepada organisasi-organisasi tempatan di kawasan yang tidak dapat diakses. 

Bilangan kumpulan bersenjata dan kekurangan akses akan membimbangkan penderma. 

Dalam keadaan ini, kerja IFRC yang banyak diselaraskan melalui Palang Merah Myanmar tidak akan dapat mencapai skala yang diharapkan, tetapi kami akan menyumbang dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti cawangan-cawangan Palang Merah di kawasan berisiko tinggi dan dengan bertindak balas, di mana kami boleh, kepada isu kesihatan dan iklim yang memburukkan lagi kemudahterancaman dalam negara. 

Krisis yang berkaitan, iaitu isu perpindahan Rohingya merentasi sempadan di Bangladesh yang kini menjadi krisis berlarutan, juga akan menghadapi cabaran di mana perhatian umum dan pembiayaan telah berkurang. 

Ia akan menjadi semakin sukar untuk berbicara dengan kredibiliti tentang pulangan yang selamat dan bermaruah kerana keadaan keselamatan yang semakin teruk di Myanmar. 

Namun, selepas pilihan raya di Bangladesh, adalah mungkin untuk berbicara lebih terbuka tentang penetapan berterusan yang bermaruah, dan implikasi negatif terhadap kedua-dua Rohingya dan hos komuniti jika keselamatan dan keadaan hidup di kem terus merosot. 

IFRC akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi komitmennya terhadap air, sanitasi dan kebersihan (water, sanitation and higiene, WASH) dan perkhidmatan kesihatan di kem seperti tahun-tahun sebelumnya, tetapi pada tahun 2024, kami akan lebih menekankan kepada mata pencarian, latihan vokasional, dan sokongan kepada hos komuniti, berharap mendapat lebih banyak dialog terbuka tentang perpindahan yang berjangka panjang ini.



Di samping krisis-krisis yang kompleks ini, Asia Pasifik sudah pun berada di tengah-tengah kecemasan panjang risiko iklim. 

Tahun 2022 dan 2023 merupakan tahun rekod bagi IFRC dalam bertindak balas terhadap taufan, banjir, gelombang haba dan risiko kesihatan berkaitan iklim, seperti denggi dan filariasis. 

Secara purata, kami kini bertindak balas kepada dua kecemasan baharu setiap bulan. 

Pada tahun 2023, kami mempunyai 44 respons aktif di rantau ini. Trend ini dipercayai akan berterusan pada 2024. 

Dua faktor terutamanya, satu negatif dan satu positif, akan mengubah cara kami bertindak balas berbanding dekad sebelumnya. 

Pertama, perhatian dunia dan pembiayaan kemanusiaan terlalu sibuk dengan krisis lain sehingga sukar dimobilisasi walaupun untuk bencana iklim berskala besar di Asia Pasifik. 

Akibatnya, pergantungan akan tertumpu pada badan kebangsaan dan tempatan dan pada masa yang sama, rayuan kecemasan antarabangsa berkemungkinan tidak dapat pembiayaian yang secukupnya – satu trend yang telah kita lihat dalam bencana di Filipina, Bangladesh, Nepal dan Vanuatu. 

Kedua, kemajuan dalam kesiapsiagaan di kebanyakan kawasan rantau ini mengurangkan kehilangan nyawa semasa krisis iklim, satu trend yang positif, walaupun ia menyumbang kepada perhatian umum yang rendah terhadap rayuan kecemasan tersebut. 

IFRC akan menumpukan perhatian kepada dua strategi pelengkap sebagai tindak balas kepada trend-trend ini. 

Pertama, kami akan memberi tumpuan kepada kapasiti Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah untuk bertindak balas secara bebas yang mungkin. 

Kedua, kami akan menggunakan IFRC- Dana Kecemasan Tindak Balas Bencana (Disaster Response Emergency Fund, DREF) untuk menyuntik pembiayaan pantas ke dalam respons ini apabila ia diperlukan, mengelakkan keperluan untuk membuat rayuan kecemasan melainkan skala bencana memerlukannya. 

Sudah tentu, 2024 juga mungkin membawa krisis baharu. Peristiwa iklim mega, seperti banjir besar di Pakistan pada tahun 2022, sentiasa merupakan satu kemungkinan. 

Semua perhatian juga tertumpu kepada Korea Utara, kerana ketegangan yang semakin meningkat di Semenanjung (Korea), dan juga disebabkan oleh ketidakpastian berterusan sama ada kerajaan akan membenarkan pemulangan beberapa agensi antarabangsa yang beroperasi di sana. 

IFRC telah mengekalkan kehadiran kakitangan tempatan sepanjang tempoh kawalan pergerakan walaupun program telah terhenti. 

Kami komited untuk berinteraksi semula secepat mungkin, tetapi kami tidak mengetahui apa yang diperlukan dari segi tindak balas dan apa yang dibenarkan. 



Mungkin yang paling membimbangkan daripada semua yang tidak diketahui ialah bagaimana risiko akan berkembang di Laut China Selatan yang tegang. 

Magnitud risiko ini sangat besar dan sangat sensitif sehinggakan perancangan kontingensi adalah menggerunkan dan rumit. Namun kita mesti meletakkan fikiran kita kepada perancangan sedemikian pada tahun 2024. 

Dari segi positif, terdapat beberapa indikasi bahawa negara-negara Asia Pasifik akan mengambil lebih banyak tanggungjawab kewangan untuk tindakan kemanusiaan pelbagai hala di rantau ini pada 2024 - walaupun sumbangan tersebut hanya merupakan sebahagian kecil berbanding dengan sumbangan daripada penderma-penderma tradisional. Sekurang-kurangnya pada tahun 2023 kami melihat sumbangan murah hati dari Asia Pasifik untuk gempa bumi di Turki, Syria, Morocco, dan untuk Ukraine dan Gaza. 

Sumbangan dari China dan Korea kepada IFRC semakin meningkat. Buat kali pertama, Persidangan Serantau Asia Pasifik kami dibiayai sepenuhnya oleh persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di Asia Pasifik (termasuk Timur Tengah dan Afrika Utara, MENA). 

Demi kesejahteraan rantau ini dan daya maju sistem pelbagai hala yang lebih luas, ini adalah trend yang harus dibina pada 2024. Bukan sahaja dibina di atas asas yang kukuh di Asia Timur, tetapi di Asia Tenggara dan Asia Selatan juga. 



Akhirnya, perkembangan dalam kecemasan kompleks di rantau ini akan lebih bergantung kepada tindakan negara jiran berbanding dengan kuasa Barat yang jauh. 

Diplomasi kemanusiaan kredibel di ibu kota dan kedutaan negara-negara Asia Pasifik yang berpengaruh akan menjadi lebih penting pada tahun 2024 berbanding sebelum ini. 

Sebab itulah IFRC perlu bertimbang semula tentang di mana, bagaimana, dan sebab ia harus menyampaikan mesej. 

Ia tidak menumpu kepada keperluan untuk sokongan kewangan, tetapi lebih berakar umbi dalam analisis realistik mengenai kuasa dan pengaruh, dan lebih tertumpu pada cadangan konkrit untuk melindungi maruah orang dalam krisis. 


Alexander Matheou ialah Pengarah Serantau untuk Asia Pasifik Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies, IFRC). Tulisan ini adalah pandangan penulis.


11
9
0
20
0

Copy Link: