Kami mengumumkan hitung detik (count down) bermula 1 Disember 2024 menjelang sambutan tahun baharu 2025 yang bertujuan mengembleng tenaga seluruh rakyat Malaysia bagi menjadikan tahun 2025 ini sebagai Tahun untuk Kemanusiaan dan Keamanan Dunia (2025 - Year for World Humanity and Peace).

Mengambil perhatian serius terhadap perlakuan ganas Israel yang berterusan melakukan jenayah genosid di Gaza dan Lebanon, tahun 2023 dan 2024 adalah detik hitam dalam sejarah kemanusiaan dan keamanan dunia dekad ini. Kami menegaskan masyarakat dunia perlu bertindak menghentikan keganasan Israel yang tidak boleh ditoleransi lagi. 

Israel jelas sudah terkeluar dari senarai negara bertamadun yang membatalkan kelayakannya sebagai anggota PBB.

Malangnya badan dunia gagal bertindak terhadap Israel yang mengguna senjata yang dibekal oleh kuasa Barat, khususnya AS dan UK, sehingga melakukan jenayah kejam dengan perlindungan penuh (impunity) dari negara Barat tanpa boleh dihukum.

Hipokrasi kuasa Barat, terutama AS dan UK, jelas menghalang sebarang tindakan terhadap Israel yang melanggar semua undang-undang antarabangsa dan semua resolusi PBB.

Dari Oktober 2023 hingga ke penghujung Disember 2024, tindakan barbarik Israel ke atas Gaza, Tebing Barat dan Jerusalem di Palestin dan kini terhadap Lebanon, menyaksikan kemanusiaan tidak langsung dipedulikan. 

Lebih parah, kemanusiaan dicabuli dengan menjadikan kebuluran sebagai senjata penaklukan.

Kehadiran Israel pada hakikatnya adalah ancaman terbesar kepada kemanusiaan dan keamanan dunia. 



Kewujudan Israel tidak lagi boleh diterima kerana ia bukan sebuah negara yang sah, malah adalah sebuah entiti kolonial Barat untuk mendominasi rantau Asia Barat. 

Dalam sidang tergempar Arab-Islam di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, ketegasan Malaysia supaya Israel dikenakan sekatan senjata, dilancar sanksi sepenuhnya serta keanggotaan Israel dilucutkan dari PBB, sangat disokong dan perlu dilaksanakan segera mungkin tanpa tangguh.

Kini kemanusiaan dan keamanan dunia terancam bila Israel melebarkan keganasan di luar Palestin, termasuk ke Lebanon, Syria, Iran dan Yemen. 

Israel kini mahu mengheret AS dan sekutunya untuk bertempur di Asia Barat dengan mengguna negara-negara Arab untuk mendukung agenda Israel Raya (Greater Israel).

AS ternyata terus mahu menjadi adikuasa dunia dengan menempatkan tenteranya di seluruh dunia. 

Terdapat sekitar 750 kem tentera AS di sekurang-kurangnya 80 negara. Angka sebenar mungkin lebih besar kerana tidak semua data kem AS diisytihar oleh Pentagon.

AS memiliki fasiliti tenteranya di sekurang-kurangnya 19 lokasi di Asia Barat - 8 daripadanya dianggap kekal — di negara termasuk Bahrain, Mesir, Iraq, Israel, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Syria, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

AS adalah negara terbesar berbelanja untuk tenteranya di dunia dengan USD$916 bilion pada 2023. Ini adalah 40% daripada bajet tentera seluruh dunia, iaitu 2.4 trilion AS dolar. 

Tahun fiskal 2024, tentera AS meminta USD$174 bilion untuk kos operasi di luar AS. 

Akibat keghairahan AS menonjolkan kekuatan tenteranya, negara-negara yang lain yang merasa terancam meningkatkan perbelanjaan ketenteraan masing-masing.

Nilai perbelanjaan tentera global meningkat beberapa tahun lalu dan mencapai USD$2.44 trilion pada 2023.

Ketegangan dan konflik di Sudan, keganasan Israel di Gaza, perang Rusia-Ukraine bermula 2022, ketegangan di Laut China Selatan, ancaman konflik Pakistan-India, ketegangan China-AS, ancaman Korea Utara, dan pergolakan di Myanmar, semua ini adalah ketidakstabilan yang menggugat keamanan dunia. 

Apatah lagi bila AS dan negara Barat memperlihat sikap hipokrit dan "double standard" terhadap isu demokrasi dan hak manusia yang paling jelek. 

Israel dipertahan sepenuhnya tanpa syarat (unconditional support) dan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB (UNSC) diguna untuk melindungi Israel, menolak seluruh prinsip demokrasi dan hak manusia seperti dicanang kepada negara lain.

Kemanusiaan dan keamanan dunia kini terancam dengan konflik dan perang yang sangat kronik sehingga undang - undang antarabangsa dilanggar sewenang-wenangnya kerana negara kuasa besar sering memperalat negara yang pro-Barat.



PBB yang sepatutnya menjadi agensi penjaga keamanan dunia ternyata dilihat bersekongkol dengan jenayah Israel, padahal Barat tidak lagi memiliki kelayakan moral untuk berbicara soal keadilan, demokrasi dan hak manusia.

Kemanusiaan telah menjadi mangsa kepada hipokrasi Barat. Barat masih terus angkuh bila berbicara soal keamanan. 

Hak dan kedaulatan negara sering ditentukan oleh kuasa Barat yang berkepentingan. Negara-negara lemah diperkuda untuk memastikan kepentingan Barat diutamakan.

Rakyat Malaysia harus menjadikan tahun 2025 sebagai tahun yang menguatkan suara kemanusiaan dan keamanan. 

Agenda mengukuhkan nilai kemanusiaan hendaklah diterapkan pada semua peringkat kerajaan dan rakyat. 

Kami menyarankan Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, agar tema keamanan dan kemanusiaan merentas sempadan perlu diangkat dan diperkukuh ke peringkat global.


Kredit foto: WAFA News Agency


Untuk menyemarakkan Hitung Detik 2025 kami melancarkan program berikut bermula 1 Disember 2024:

1. Siri TikTok mesej kemanusiaan untuk sambut tahun 2025.

2. Wacana Khas "Mangsa Genosid Gaza 2023-2024: Lenyapnya Kemanusiaan"

3. Ikrar Pertahan Hak Kemanusiaan pada 31 Disember 2024

4. Dua siri Podcast "2025: Nohtahkan Genosid Gaza"

5. Pengisytiharan Kampus: Mahasiswa Penggerak Humaniti 2025

6. Pernyataan Suara Kanak-kanak: Selamatkan Generasi Tunas Gaza 

7. Khutbah di setiap masjid bertajuk "Islam, Kemanusiaan dan Keamanan"

8. Mesej kepada semua Wakil Rakyat Parlimen dan DUN - Tekad Bersama Pertahan Kemanusiaan dan Keamanan.

9. Dialog Antara Agama - Tekad 2025 untuk Kemanusiaan dan Keamanan.

10. Wawancara Media Perdana - Iltizam Malaysia untuk Kemanusiaan dan Keamanan.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


Diperakui:

Aliansi Masjid Sedunia Pertahankan Al Aqsa

Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia

Sekretariat Palestin Malaysia

Sekretariat Solidariti Palestin

Persatuan Kebajikan Rakyat Sejagat

Angkatan Belia Islam Malaysia

Persatuan Lepasan Universiti Malaysia

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Association of Muslim Minority Reserach and Advocacy

Persatuan Teras Kebajikan dan Pendidikan Melayu

Institute For Justice and Peace 

Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia


12
16
0
13
0

Copy Link: