Kami menyambut baik dan menyokong mahkamah tertinggi PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang mengeluarkan pendirian bahawa penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin adalah tidak sah.

Akibatnya, penjajahan Israel ke atas Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur, dan Gaza harus dibongkar sekarang.

Mahkamah tertinggi PBB itu telah menyatakan penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Ini adalah pendapat penting.

Kami menyeru agar keputusan ICJ itu segera dikuatkuasakan untuk menghentikan aktiviti penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan menamatkan penjajahannya yang "tidak sah" di kawasan tersebut dan Jalur Gaza.

Kami mengecam Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang mengatakan mahkamah telah membuat "keputusan palsu". 

Adalah diketahui bahawa Israel telah memutarbelitkan sejarah Palestin sejak penaklukannya. Pembohongan oleh Israel untuk mempertahan dirinya dan menafikan hak Palestin untuk bernegara adalah pendirian yang tercatat sejak penjajahan.



Ini adalah kali pertama ICJ mengeluarkan pendirian mengenai kesahan penjajahan selama 57 tahun. ICJ telah meneliti isu ini atas permintaan Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

Keputusan mahkamah adalah bukti jelas mengenai dasar dan amalan Israel terhadap rakyat Palestin, serta status tidak sah penjajahan tersebut.

Presiden ICJ Nawaf Salam berkata ia telah mendapati bahawa "kehadiran berterusan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki adalah tidak sah."

Pengunduran Israel dari Jalur Gaza pada tahun 2005 tidak mengakhiri penjajahan Israel di kawasan tersebut kerana ia masih menjalankan kawalan efektif ke atasnya.

Pendapat yang dinyatakan adalah penting kerana ia menuntut Israel mengosongkan semua penempatannya dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dan membayar pampasan kepada rakyat Palestin atas kerosakan yang disebabkan oleh penjajahan tersebut.

Israel telah membina kira-kira 160 penempatan yang menempatkan sekitar 700,000 Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak tahun 1967.

Semua penempatan di Wilayah yang Diduduki kini diisytiharkan sebagai tidak sah. Apa yang Israel dan para penempat telah lakukan adalah aneksasi, yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Israel tidak mempunyai hak untuk menuntut kedaulatan ke atas seluruh Baitulmaqdis, bahagian timur yang ditawannya dalam perang Timur Tengah tahun 1967.

Sekatan Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki merupakan sistem pentadbiran aparteid yang tidak sah.

Israel telah secara tidak sah mengeksploitasi sumber semula jadi rakyat Palestin dan melanggar hak mereka untuk menentukan nasib sendiri.



Mahkamah juga menasihati negara-negara untuk mengelak daripada melakukan apa-apa tindakan, termasuk memberi bantuan atau sokongan, yang akan mengekalkan keadaan semasa. 

Ini adalah peringatan kepada AS bahawa apa yang telah dilakukannya adalah bersubahat dengan jenayah Israel.

Kami menolak pendirian Perdana Menteri Israel yang menafikan orang Yahudi sebagai penjajah. 

Tanah Palestin bukanlah tanah Yahudi. Orang Yahudi dibawa dari tanah asing dan mereka menjajah Palestin. Tidak ada naratif lain. Menafikannya adalah satu pembohongan keseluruhan.

Kami menolak tuntutan bahawa Baitulmaqdis sebagai ibu kota abadi Israel. Netanyahu berbohong bahawa Palestin adalah warisan nenek moyang Judea dan Samaria (Tebing Barat).

Netanyahu yang memutarbelitkan kebenaran sejarah, dan kesahan penempatan Israel di semua bahagian Palestin mesti ditolak.

Keputusan ICJ adalah pengembalian kebenaran untuk hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Ia mendedahkan projek Judaization (pengyahudian) melalui perampasan, penempatan, pengusiran, dan amalan perkauman terhadap rakyat yang dijajah.

Apa yang ICJ telah simpulkan adalah punca utama konflik. Kami telah menekankan bahawa penjajahan adalah punca utama kepada 75 tahun penderitaan rakyat Palestin.

Kami menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati pendapat keadilan antarabangsa dan memaksa Israel mengakhiri penjajahannya ke atas wilayah Palestin.



Mengguna pakai dapatan ICJ kini harus dibawa ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) untuk dibentangkan sebagai resolusi.

Dapatan mahkamah kini akan dibawa ke Perhimpunan Agung PBB. Ini akan menetapkan parameter undang-undang untuk penyelesaian yang dirundingkan pada masa hadapan.

Kami mengutuk keras serangan sewenang-wenangnya yang berterusan oleh Israel walaupun selepas ICJ mengeluarkan pendapatnya.

Puluhan rakyat Palestin telah terbunuh dalam gelombang serangan Israel di kem pelarian Nuseirat dan lokasi lain di Gaza sepanjang malam Jumaat (19 Julai 2024) dan pagi Sabtu (20 Julai 2024), manakala penempatan Israel melancarkan serangan ke atas rakyat Palestin dan harta benda mereka di bandar dan kampung Tebing Barat yang diduduki.

Negara-negara di seluruh dunia telah bertindak untuk menyambut pendapat Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Kami menuntut bahawa masyarakat antarabangsa mesti memaksa Israel untuk mengakhiri penjajahan tersebut. Penolakan Israel terhadap pendapat tersebut mesti diabaikan.

Walaupun keputusan ICJ tidak mengikat, dunia mesti mengenakan tekanan politik yang kuat ke atas Israel. Kini, sekurang-kurangnya 38,919 orang telah terbunuh dan 89,622 cedera dalam perang Israel ke atas Gaza.


Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Dato Seri Syeikh Ahmad Awang, Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Masjid Al-Aqsa

Dato Wira Syeikh Abdul Ghani Samsudin, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)


14
12
0
10
0

Copy Link: