Agenda tingkatkan tatakelola diteruskan! Demi hapuskan ketirisan dan pembaziran! - Perdana Menteri

Published by
KitaReporters

Kenyataan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akaun Facebooknya pada 23 Ogos 2023


Saya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa yang berhubungan dengan jenayah kewangan petang tadi (23 Ogos 2023).

Ini merupakan susulan daripada pertemuan pada 17 Ogos (2023) yang lalu. Sesi dialog ini dihadiri 22 Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa.
Saya menekankan bahawa agenda untuk meningkatkan tatakelola akan diteruskan.
Perkara ini merupakan faktor penting dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran, serta menarik pelaburan dan meningkatkan persekitaran perniagaan, malah menjaga keselamatan rakyat dan sempadan negara.
Adalah dianggarkan negara mengalami kerugian hasil sebanyak RM5 bilion setahun manakala jenayah kewangan yang menyumbang kepada ekonomi bayangan menyebabkan kehilangan hasil cukai yang dianggarkan sebanyak RM70 bilion setahun.
Memandangkan trend jenayah kewangan yang semakin kompleks, saya arahkan kesepaduan dan kerjasama Agensi Kerajaan dengan lebih proaktif dan efektif. 

Amalan perundangan berkaitan pengurusan aset yang disita dan dilucut hak akan ditambah baik sejajar dengan tadbir urus terbaik antarabangsa. Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) perlu menambah baik operasi pemantauan untuk memastikan usaha ini terus dipertingkat.

Saya merakamkan penghargaan kepada semua anggota agensi yang terus bertungkus lumus untuk memerangi dan menumpaskan jenayah ini. Saya juga menyeru kerjasama dan penglibatan rakyat untuk turut serta dalam usaha ini.
Adalah menjadi harapan besar buat saya dan seluruh rakyat Malaysia agar kesemua warga dan anggota Agensi untuk meneruskan usaha murni ini dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti demi mengangkat martabat negara.

9
11
0
16
0

Copy Link: