Penipuan guna Telegram! Rakyat rugi RM45j! Jan 2020 - Mei 2023! Akan bekerjasama dengan PDRM, SKMM!
Published byHari ini (19 Jun 2023), saya serta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bersama-sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk
Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan pegawai-pegawai tertinggi PDRM telah bertemu dengan wakil Telegram di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman.
Dalam mesyuarat selama satu jam itu, saya telah menegaskan bahawa terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku dalam Telegram.
Kami juga telah menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram dan mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia.
Pihak Telegram menyatakan komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerja yang lebih erat dengan SKMM dan PDRM. Saya mengalu-alukan kerjasama dengan Telegram untuk membendung jenayah yang berlaku dalam aplikasi berkenaan.
Sejak tahun Januari 2020 hingga Mei 2023, jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram mencecah RM45 juta.
Kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu.
Insya-Allah, pertemuan hari ini adalah permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram akan lebih selamat untuk digunakan.
Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Dan Digital