Gaza masih berdarah! Terus sokong, bantu perjuangan jihad Palestin! Baik masa perang atau masa aman!
Published by"Teruskan memberi sokongan kepada pejuang Hamas dan penduduk Palestin kerana mereka kini berjuang dengan nyawa dan air mata untuk mempertahan agama dan maruah diri daripada kekejaman aparteid Zionis Israel yang membunuh kanak-kanak dan wanita tidak berdosa setiap hari.
"Jangan putus berdoa kerana daripada munajat umat Islam di seluruh dunia, insya-Allah penderitaan yang berterusan selama 75 tahun dan perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan akan mencapai kejayaan. "Berbanggalah rakyat Malaysia kerana negara ini disebut Komander Briged al-Qassam, Abu Khalid Muhammad al-Deif pada hari pertama serangan Taufan al-Aqsa, satu kemuliaan dan penghormatan atas doa dan sokongan kita selama ini yang tidak pernah ragu-ragu bersama Palesti," kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri.Sebahagian dari pengunjung yang hadir mendengar ceramah Nadir Al-Nuri sempena Malam Cinta Gaza Putrajaya 2023.
Beliau berkata demikian pada ceramah Malam Cinta Gaza di Padang Kompleks Kejiranan, Presint 9, Putrajaya. Turut hadir beberapa selebriti, antaranya Pengacara TV3, Fitri Yahya; bekas Pengacara TV AlHijrah, Finaz Yunus; pendakwah terkenal, Ustaz Nazmi Karim; Presiden Rescue Ummah Malaysia, Kamarul Jamaluddin; Ketua Operasi Selayang Care, Ustaz Fakhrul Ariff; dan PU Mohsin. Malam Cinta Gaza Putrajaya dianjurkan oleh Rescue Ummah dengan kerjasama Persatuan Penduduk Presint 9, Yayasan Strategik Lestari, Selayang Care, Geng Surau Putrajaya (GSP), Surau An-Najah dan Usrah Medic. Selain solat hajat yang diadakan sebelum program bermula, orang ramai yang hadir pada Malam Cinta Gaza Putrajaya turut dihiburkan dengan lagu-lagu perjuangan dan kemanusiaan daripada kumpulan nasyid Mestica selain penyerahan sumbangan kepada CGM daripada Surau Khairiah Klang, Geng Surau Putrajaya dan Usrah Medic. Nadir berkata, dia sentiasa ingat pesan isterinya, Naeem Mushtaha, yang memintanya terus menetap di Malaysia dan berkongsi kisah dan sejarah rakyat Palestin dengan seramai mungkin umat Islam di negara ini supaya mereka faham perjuangan yang dilakukan bukan sekadar untuk diri sendiri tapi mempertahan bumi yang diberkati dan Masjidil Al-Aqsa.
Nadir Al-Nuri
"Seingat saya lebih 300 ceramah mengenai perjuangan rakyat Palestin yang dikongsi dengan umat Islam di seluruh negara termasuk Sabah dan perkongsian itu akan diteruskan dengan matlamat supaya rakyat negara ini bukan sekadar kasihan atau bersimpati tapi cinta dengan perjuangan rakyat Palestin terutama di Gaza.
"Jika mereka kasihan, tempoh bersimpati itu akan ada penghujungnya tapi jika umat Islam di negara ini cintakan Palestin, mereka akan terus memberi sokongan sampai bila-bila, tidak kira sama ada ketika peperangan atau masa aman. "Rakyat Palestin sudah menderita sejak 75 tahun lalu, ditekan, dibunuh, ditangkap tanpa soal siasat selain dikepung sehingga tidak boleh keluar ke mana-mana hatta penduduk di Gaza tidak berpeluang menunaikan solat di Masjidil Al-Aqsa walaupun jaraknya dekat dan terlalu rindu untuk beribadat di sana. "Saya juga teringat kisah seorang pakcik Palestin yang datang ke pejabat Cinta Gaza Malaysia untuk meminta bantuan pada 2016, ketika itu Gaza tidak berlaku peperangan selepas Nakbah 2014. Dan, kami tidak mampu memberi apa-apa kerana tiada derma daripada umat Islam termasuk di negara ini."Saya katakan kepada pakcik itu, umat Islam hanya memberi derma ketika Palestin dalam peperangan tapi ketika aman, mereka melupakan kita sedangkan Palestin menderita dan memerlukan bantuan sejak puluhan tahun, tidak kira peperangan atau tidak.
"Lantas, pakcik itu mengangkat tangan dan menadah ke langit berdoa kepada Allah agar ada lagi peperangan di Gaza supaya umat Islam di seluruh dunia terus mengingati penduduk Palestin dan memberi sumbangan kepada mereka,' kata Nadir lagi.
Persembahan nasyid dari kumpulan Mestica
Kata Nadir, Taufan Al-Aqsa yang berlaku pada 7 Oktober 2023 adalah suatu peristiwa luar biasa yang tidak pernah terfikir oleh sesiapa apatah lagi Israel tapi berbanding Nakbah 2014 yang hanya mengorbankan lebih 2,000 penduduk Palestin, peperangan kali ini sudah membunuh lebih 23,000 rakyat Palestin, kebanyakan kanak-kanak dan wanita.
"Lalu, ada mendakwa Hamas tidak pandai dalam politik dan peperangan kerana peristiwa 7 Oktober 2023 menyebabkan ribuan rakyat Palestin terkorban. Tapi, hakikatnya, Hamas sudah berjaya dalam serangan itu kerana mencapai matlamat untuk mengambil 250 tawanan Israel, menggagalkan pakatan normalisasi Israel dan Arab Saudi serta menyerang dulu sebelum mereka diserang.
"Tahun ini (2024), jangkaan pilihan raya di Israel dan biasanya taktik digunakan ialah melancarkan serangan ke Gaza untuk mendapat sokongan rakyat mereka, justeru tindakan Hamas satu langkah ke hadapan dengan melakukan serangan awal," katanya.
Nadir juga mengakui kebanyakan rakyat Palestin sudah mengalami situasi peperangan sejak mereka dilahirkan dan ia adalah ujian Allah paling besar bagi melihat keimanan dan mengangkat darjat mereka, insya-Allah rakyat Palestin reda apa yang berlaku.
Nadir (kiri) bersama tiga warga Palestin yang hadir bersamanya di Malam Cinta Gaza, Shadi Salem (kanan), Alaa' Mansour (dua dari kanan) dan Naeem.
Nadir turut memperkenal tiga rakyat Palestin yang turut hadir bersamanya termasuk anak tirinya, Naeem yang kehilangan ayah, seorang komander Briged Al-Qassam yang terbunuh di sempadan Gaza.
"Inilah darah daging rakyat Palestin yang saya bawa dari tanah Gaza, anda nampak, boleh sentuh, peluk dan bergambar dengan mereka iaitu saudara Shadi Salem, Alaa' Mansour dan anak tiri saya, Naeem. Mereka mengalami kisah menyayat hati, kehilangan orang tersayang, ayah, adik dan emak saudara.
"Shadi Salem berasal dari Utara Gaza memiliki ijazah dalam Linguistik Bahasa Inggeris dan bertanggungjawab menjaga Pusat Budaya Malaysia di Palestin masih mempunyai isteri dan anak-anak di Gaza malah kembar dan ayahnya ditangkap dan dibogelkan tentera Israel, sepupunya pula syahid ditembak di hadapan keluarganya di sekolah tempat mereka berlindung.
"Ala' Mansour pula, memiliki Ijazah Sarjana dalam Pengurusan dan Media, isteri dan dua anaknya masih berjuang untuk hidup di Gaza, ayahnya yang ada kanser meninggal dunia baru-baru ini kerana tidak mendapat kemudahan rawatan.
"Tiga hari selepas itu adiknya turut syahid dan mayatnya masih ada di bawah runtuhan apabila rumah mereka dibom. Malah rumah Ala' juga musnah dibom Israel.
"Naeem memulakan perjuangannya sejak usia lapan tahun, kehilangan ayah, seorang komander Briged Al-Qassam yang syahid dalam keadaan tubuh berkecai ketika mempertahan bumi Gaza pada 2008, dan alhamdulillah dia (Naeem) kini sudah berusia 23 tahun, lulusan Sains Politik dari Universiti Gaza meneruskan perjuangan ayahnya.
"Saya kenal Naeem 2013 dan berkahwin dengan ibunya pada 2016, justeru dia (Naeem) adalah anak tiri sulung saya," katanya sambil menepuk bahu Naeem, manakala kira-kira 1,000 pengunjung masih setia mendengar ceramahnya walaupun dalam hujan renyai, ada memasang khemah semata-mata mahu mendengar ceramah Nadir hingga ke penghujung. - KitaReporters
Ada pengunjung mendirikan khemah semata-mata mahu hadir memberi sokongan kepada perjuangan Palestin walaupun dalam hujan renyai.