Oleh DR. MOHAMED ALI HANIFFA

Universiti Utara Malaysia (UUM)


Manifestasi cintakan negara dipamerkan melalui keterlibatan dan sumbangan warga masyarakat secara langsung atau sebaliknya dalam proses pembangunan negara. 

Genta laungan Hari Kebangsaan (Hari Kemerdekaan) dan Hari Malaysia negara bakal dipalu bermula 1 Ogos setiap tahun dan bakal melabuhkan tirainya menjelang 16 September 2023. 

Saban tahun agenda sempena menyambut detik bersejarah negara dipugar dan pelbagai acara akan diatur bagi membangkitkan roh Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. 

Sambutan Hari Kebangsaan negara sudahpun menginjak ke angka 66 tahun pada tahun ini (2023) dengan tema keramatnya “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”. 



Sudah pasti, Malaysia Madani yang diilhamkan pada 19 Januari 2023, dilihat akan berupaya menjadi  kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur dan dihormati. Usaha yang dilakukan signifikan dengan enam tonggak dasar membangun Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. 

Hal yang demikian juga sejajar dengan penekanan yang diberikan kepada kepentingan penyepaduan komponen insaniah dan pembangunan ekonomi selaras dengan konsep “Karamah Insaniah”. 

Begitulah harapannya agar negara yang diungkapkan sebagai “Malaysia Madani” sentiasa memenuhi harapan selamanya seperti mana asal mula pembinaan kehebatan peradaban orang Melayu melalui Kesultanan Melayu Melaka. Kesultanan Melayu Melaka yang dipugar seawal tahun 1400 Masihi menjadi asas kepada pembentukan sistem kerajaan moden pada hari ini. 

Komposisi masyarakat berbilang kaum dan agama serta pendekatan berdiplomasi menjadi daya penarik kepada kewujudan masyarakat yang harmoni. Hal yang demikian ditambah dengan galakan pemerintah terhadap kehadiran pedagang dan orang luar ke pelabuhan Melaka menyebabkan terbentuknya masyarakat majmuk.

Duarte Barbosa dalam catatannya menyatakan bahawa Melaka dikunjungi jumlah pedagang yang terbesar di dunia dan merupakan pelabuhan terkaya. Penduduk Melaka ketika itu dianggarkan berjumlah 190,000 orang, dan ini tidak termasuk kawasan luarnya. 

Penduduk berbilang bangsa di Melaka mempunyai budaya saling memahami antara satu sama lain dalam perhubungan. Setiap bangsa mempunyai sikap saling hormat-menghormati dan tidak menaruh sebarang syak wasangka terhadap anggota-anggota masyarakat yang lain. 

Penduduk Melaka yang terdiri daripada pelbagai warna kulit, rupa bentuk muka dan rambut serta menggunakan multibahasa tetap dapat hidup bersatu padu dengan penggunaan satu bahasa umum iaitu Bahasa Melayu. Kewujudan sikap toleransi antara kaum itulah, yang membantu memupuk keamanan masyarakat di Melaka. 

Melaka juga mempunyai jaringan hubungan serantau dan antarabangsa yang baik. Perhubungan perdagangan antara Melaka dengan negara China mendorong Raja Ming menubuhkan Jabatan Bahasa Melaka (Bahasa Melayu) bagi meningkatkan hubungan ekonomi.

Kesetiaan orang Melayu terhadap sultan merupakan naluri semula jadi yang tidak boleh diganggu-gugat oleh elemen lain dalam menjalin hubungan antara golongan pemerintah dan yang diperintah. 

Kesultanan Melayu Melaka ditumbangkan oleh Portugis pada 24 Ogos 1511 berikutan perpecahan, nepotisme dan kronisme dalam negara. Peristiwa ini juga menjadi petanda bermulanya era penjajahan Barat di Tanah Melayu dan hampir ke seluruh Asia Tenggara namun di atas runtuhan Kota Melaka, kita dirikan Malaysia yang berdaulat.

Gerakan nasionalisme di Tanah Melayu dicetuskan oleh orang-orang Melayu berasaskan kepada rasa cinta terhadap bangsa dan tanah air. 

Sementara kerjasama dan kompromi daripada kaum-kaum lain kemudiannya merupakan pengisian penting serta diperlukan bagi meneruskan dan memperkukuhkan cita-cita kemerdekaan yang diasaskan oleh orang-orang Melayu demi kepentingan semua pihak. 

Bantahan melalui gagasan Malayan Union pada tahun 1946 merupakan kesedaran massa orang Melayu dalam proses mencapai kemerdekaan negara. 



Kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia dicapai atas usaha dan kompromi penduduk Tanah Melayu yang menerima sistem demokrasi melalui implementasi Sistem Ahli, sistem berpilihan raya dan rundingan kemerdekaan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keunikan melalui perkongsian sejarah, sosiobudaya dan ekonomi. Keunikan dan teras kekuatan negara diterjemahkan melalui sistem pemerintahan demokrasi Raja Berperlembagaan. 

Namun berlaku perkongsian kuasa dalam menerajui jentera pentadbiran negara. 

Islam menjadi agama Persekutuan dan dominan dalam konteks hidup bermasyarakat. Kedudukan dan kepentingan raja-raja Melayu tetap terpelihara dari segi status baginda walaupun sejarah negara berubah selepas penjajahan British. 

Sehingga kini, kedudukan Raja-raja Melayu sebagai pemerintah terus dikekalkan dengan sedikit pengubahsuaian.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, Malaysia, sentiasa berdepan dengan cabaran unity in diversity. Walaupun kemerdekaan negara dicapai melalui kompromi bersama antara pelbagai kaum di Tanah Melayu, namun masih terdapat sifat prasangka yang sukar dibendung. 

Formula perpaduan kaum selepas kemerdekaan negara diuji berikutan meletusnya peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa 13 Mei 1969 meninggalkan impak yang mendalam terhadap struktur politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia khususnya di Kuala Lumpur. 

Peristiwa tersebut merupakan satu detik hitam dalam sejarah negara dan turut dikenali sebagai “Tragedi Nasional”. 

Secara umumnya kepincangan memahami dan menghormati Perlembagaan Negara membawa kepada perselisihan kaum walaupun setelah 12 tahun kemerdekaan negara dinikmati. 

Perlu dilihat bahawa pertembungan konflik perkauman ini bukanlah berlaku secara tiba-tiba tetapi duri-durinya telah wujud sejak awal lagi sewaktu proses penjajahan berlangsung. 

Hal ini disebabkan apabila kemerdekaan negara dicapai pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia, mewarisi pelbagai masalah yang ditinggalkan oleh penjajah British. Soal kependudukan merupakan salah satu masalah yang rumit. 

Oleh yang demikian, rentetan rusuhan tersebut pada 15 Mei 1969, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan mengisytiharkan darurat yang meliputi seluruh negara dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan. Parlimen telah digantung selama 20 bulan dan negara diperintah oleh MAGERAN. 

Peristiwa 13 Mei 1969 memberikan pengajaran kepada kepimpinan negara bahawa perpaduan di negara ini masih terlalu rapuh walaupun sudah mencapai kemerdekaan. Walaupun pelbagai persepsi dilontarkan namun masih terdapat kekurangan rencah perpaduan kerana negara masih terlalu baharu mencapai kemerdekaan. 



Satu Kertas Pertimbangan MAGERAN bertajuk ‘Rukunegara’, telah disediakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dengan kerjasama dan bantuan ahli-ahli kumpulan Penasihat Penyelidikan (Research Advisory Group) serta pihak-pihak lain. 

Dalam draf Rukun Negara pada tahun 1970 ditulis sebagai ‘Rukunegara’ dan merupakan satu dokumen yang menerangkan cita-cita serta tujuan negara. 

Rukun Negara juga mengandungi prinsip-prinsip yang akan menjadi panduan kepada semua pihak seperti berikut: Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Bagi membina dan mempertaut kembali keharmonian kaum, Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1970 bersempena Sambutan Kemerdekaan Ke-13. 

Prinsip ini dirangka hasil rundingan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang mengandungi lima prinsip. 

Rukun Negara menjadi satu set prinsip kebangsaan ideal yang bermatlamat memupuk perpaduan dan menyeragamkan fahaman dalam kalangan pelbagai kelompok etnik. Tujuan utamanya ialah untuk membentuk perpaduan yang mantap. 

Berlandaskan cita-cita dan aspirasi dalam Rukun Negara, rakyat Malaysia perlu bertindak sebagai satu bangsa serta berusaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan demi kejayaan serta kestabilan negara. 

Prinsip Rukun Negara perlu dipugar dan diupayakan secara konsisten. Usaha murni kerajaan ini dilaksanakan melalui penubuhan pelbagai institusi bagi menguruskan hal ehwal perpaduan. 

Pada 10 Mac 2020, kerajaan menubuhkan Kementerian Perpaduan Negara bagi menggalas tanggungjawab untuk menggerakkan agenda perpaduan negara dengan lebih bersepadu dan tersusun. 

Tahun 2023 merupakan ulang tahun ke-53 pengisytiharan Rukun Negara. Prinsip Rukun Negara, mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya dan memelihara satu cara hidup demokratik. 

Lima prinsip Rukun Negara perlu dijiwai Bangsa Malaysia bagi mencipta dan mengupayakan masyarakat agar  kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil serta saksama. 



Polemik Dalam Memperkasa Rukun Negara 

Pelbagai cabaran wujud dalam usaha mengupayakan prinsip Rukun Negara. Ketidakprihatinan tersebut diterjemahkan dalam bentuk provokasi dan ketidakpatuhan terhadap sistem pentadbiran negara. 

Kegagalan membentuk barisan pelapis negara akan menjadikan agenda pembangunan negara menjadi rencam dan tergendala. 

Mengupayakan pemahaman Rukun Negara dalam kalangan warganegara Malaysia, mampu menjadi wadah cerminan literasi, pemahaman dan penghayatan warganegara Malaysia terhadap prinsip tersebut. Hal ini juga signifikan dengan Dasar Perpaduan Negara 2021-2030. 

Nilai-nilai patriotisme dan perpaduan sangat penting dalam memastikan kesegaran pembinaan Bangsa Malaysia. Sumbangan semua warganegara dalam mengisi erti kemerdekaan negara tidak boleh dipandang rendah. 

Bangsa Malaysia yang terkandung di dalamnya masyarakat majmuk dari pelbagai ras dan keturunan menjadi tonggak pembangunan negara. Ini menyebabkan acuan pemikiran dan tindakan mereka turut berubah sejajar dengan perkembangan arus pembangunan global. 

Dalam menuju dasawarsa yang serba mencabar kini, semua lapisan masyarakat harus mengetepikan perbezaan, sebaliknya mencari titik persamaan agar dapat terus hidup bersatu padu dan harmoni dalam konteks membina keteguhan. 

Kita perlu mengakui hakikat bahawa Malaysia adalah negara yang memiliki kepelbagaian kaum, budaya dan agama, sekali gus memaksa penduduknya untuk terus menerima perbezaan berkenaan. Hal yang demikian seharusnya dipandang sebagai kekuatan dan bukannya satu ancaman.

Setiap negara mempunyai ideologi tersendiri seperti di Indonesia dengan Pancasila yang menjadi prinsip utama. Kepelbagaian etnik, agama dan sosiobudaya Malaysia sering dijadikan suri teladan sebagai sebuah negara yang bersatu-padu. 

Walaupun adakalanya wujud perbezaan, persaingan dan konflik, tetapi kesepaduan sosial yang wujud sekian lama dalam masyarakat berjaya mengekalkan perpaduan di negara kita. 

Justeru itu, satu sistem pendidikan yang seragam juga turut dinikmati semua kaum di Malaysia agar tidak terkebelakang daripada acuan pembinaan negara. Ini bertepatan dengan ungkapan Rabindranath Tagore, iaitu “bangunkan dahulu sekolah, sebelum bangunkan bangsa”. 

Tahap literasi, pemahaman dan penghayatan warganegara Malaysia terhadap lima prinsip Rukun Negara sering menjadi persoalan berikutan kemunculan isu yang berkaitan dengan kebebasan bersuara tanpa had. Hal yang demikian juga termasuk persoalan yang menyentuh isu sensitif antara etnik, tidak menghormati pemimpin negara, menjadi samseng jalanan dan sebagainya. 

Namun perlu diingat bahawa kunci kejayaan agenda mengupayakan Bangsa Malaysia terletak kepada literasi, pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara. 

Sistem pendidikan Rukun Negara berkait dengan perpaduan yang mencerminkan kepelbagaian dan perlu dipupuk agar terus sebati dalam jiwa rakyat Malaysia serta tidak mensia-siakan segala pengorbanan para pejuang terdahulu. 

Bukan itu sahaja, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia menyalahgunakan hak kebebasan. Perlu diingat bahawa sebagai warganegara Malaysia, tatasusila dan adab ketimuran perlu dijaga. 


Beberapa insiden sejak mutakhir ini memberi gambaran bahawa prinsip Rukun Negara kini seolah-olah sudah dilupakan serta tidak lagi relevan dalam konteks kehidupan masyarakat. 

Gejala rasuah juga semakin meningkat tanpa mengenal batasan dan kedudukan. Angka siasatan dan hukuman ke atas kes jenayah rasuah di Malaysia semakin meningkat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Gejala tersebut akan merencatkan keteguhan bangsa dan negara sekiranya tidak ditangani dengan benteng Rukun Negara. 

Institusi Beraja di Malaysia mempunyai kepentingan sama ada dari segi nilai kenegaraan dan sejarah. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara seperti termaktub dalam Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan. 

Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara serta kewujudannya menjadi sebahagian identiti negara dan dilindungi Perlembagaan. 

Kesinambungan sejarah dan warisan tamadun bangsa yang  memberikan kesan positif kepada kestabilan sosial, politik serta ekonomi sesebuah kerajaan yang berdaulat harus dikekalkan. 

Rukun Negara merupakan prinsip negara yang perlu dipandang tinggi dan dilindungi Perlembagaan dan undang-undang. Namun begitu, senario dewasa kini yang berlaku secara tersurat atau tersirat sedikit sebanyak menunjukkan tidak semua rakyat Malaysia menghormati prinsip Rukun Negara. 

Rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran mahupun senario politik tempatan dijadikan sebagai bahan kritikan secara kurang berhemah tanpa mengambil kira natijahnya. Malah lebih buruk lagi apabila terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang menetap di seberang laut terbawa-bawa oleh kebencian ini lalu memburukkan negara. 

Ini merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan tidak bertanggungjawab kerana kita tetap sebagai satu Bangsa Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak masyarakatnya terdiri dalam kalangan pelbagai etnik dan mempunyai sudut pandang berbeza serta diwarnai pelbagai latar belakang budaya, agama serta cara hidup. Namun mempertahan prinsip Rukun Negara adalah merupakan satu kewajipan. 

Masyarakat harus memahami aspek budaya hormat-menghormati antara satu sama lain untuk mencapai negara yang sejahtera, aman dan makmur. Ketiadaan perpaduan kaum dan bangsa akan menyebabkan matlamat “Bina Bangsa” tidak akan tercapai. 

Hal yang demikian juga pernah dinyatakan oleh mantan Perdana Menteri Kedua Malaysia iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, iaitu 'Rahsia kesempurnaan Rukun Negara adalah pada amalannya, tanpa amalan, Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna'. 

Ini bermakna, Rukun Negara bukan sekadar simbolik tetapi perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.

Mengupayakan melalui sikap hormat-menghormati dan memahami roh serta semangat Rukun Negara perlu dipugar. Saluran seperti media sosial perlu digunakan sebagai gelanggang untuk membentuk kesepaduan pemikiran dan tindakan. 

Prinsip-prinsip yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan serta kestabilan negara. 



Mengupayakan Prinsip Rukun Negara

Prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Ini bermaksud agama dijadikan sebagai tunjang dan setiap warganegara perlu memiliki  kepercayaan beragama yang positif bagi membina keharmonian antara agama serta kaum. 

Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta institusi diraja seharusnya dihormati kerana merupakan lambang dan payung kedaulatan negara. 

Keluhuran Perlembagaan bermaksud bahawa semua warganegara juga perlu akur mengenai semua yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk soal hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan raja, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Islam sebagai agama Persekutuan. 

Perlembagaan juga meletakkan tanggungjawab dan kewajipan tertentu terhadap bangsa dan negara. Ini juga merupakan satu kontrak sosial berasaskan kompromi antara kaum seperti mana yang terkandung dalam prinsip ketiga. 

Keadilan diiasaskan atas Kedaulatan Undang-undang. Perlembagaan memberikan hak kepada seseorang warganegara kebebasaan untuk mengeluarkan idea dan berhimpun selagi tidak melanggar undang-undang. Tujuannya ialah untuk membina masyarakat yang aman, stabil dan makmur. 

Kesopanan dan Kesusilaan perlu diamalkan dan disemat dalam diri setiap orang bagi membentuk individu yang berdisiplin serta berakhlak tinggi sekali gus mewujudkan sebuah masyarakat harmoni seperti mana yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara kelima. 

Rukun Negara mampu menjadi tiang seri dalam melahirkan warganegara yang bermaruah dan beretika demi memelihara keharmonian serta perpaduan kaum. 

Tindakan drastik perlu dirancang dan dilaksanakan secara konsisten. Kita mampu membawa aspirasi ini ke hadapan untuk terus menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan yang amat mencabar pada masa kini. 

Bayangan kejayaan masa hadapan sesebuah negara bergantung terhadap keupayaan dan kemantapan sistem nilai generasi muda. 

Pendedahan warganegara Malaysia terhadap prinsip ini merupakan satu dimensi dalam menyemarakkan semangat patriotik sebagai teras kesinambungan merealisasikan sebuah negara impian berpendapatan tinggi berpaksikan Rukun Negara. 

Dalam mendepani senario globalisasi masa kini, golongan muda khususnya harus kental berhadapan dengan cabaran dan bersiap siaga bertahan serta menghormati nilai-nilai sedia ada di samping bersifat dinamik mengatur derap langkah menuju kejayaan. 



Kecintaan terhadap negara bukan sekadar ungkapan yang terukir pada bibir atau dengan menghormati Rukun Negara malahan lebih daripada itu dan wajar dimanifestasikan dalam pelbagai artikulasi lestari serta harus bermula dari saat ini. 

Justeru itu, tidak semua perkara harus dipolitikkan dan rakyat Malaysia seharusnya bertanya pada diri sendiri mengenai sumbangan mereka untuk negara.  

Peningkatan kesedaran terhadap kepentingan Rukun Negara secara komprehensif adalah penting bagi mengupayakan lagi tahap penghayatan. 

Selain itu, memberikan pendedahan awal terhadap pendidikan patriotisme melalui subjek sejarah di sekolah akan melahirkan rakyat yang semakin prihatin untuk memikirkan hal ehwal negara. 

Inti pati ilmu sejarah yang ditanam sejak bangku sekolah akan memberikan impak positif kepada generasi Malaysia bagi menyatakan pandangan dan buah fikiran yang bernas dan bermakna. 

Langkah yang efektif untuk memupuk kesedaran dalam kalangan belia terhadap pemahaman dan penghayatan Rukun Negara adalah melalui institusi sosial seperti pendidikan. 

Setiap proses pembelajaran memerlukan guru dan ibu bapa yang bertindak sebagai model pembimbing serta pada masa yang sama memberi inspirasi kepada murid. Ini akan berupaya memberikan kesedaran dan matlamat pemupukan nilai patriotisme dapat dilaksanakan. 

Dimensi kewarganegaraan yang perlu diajar kepada murid ialah perkongsian sejarah, nilai, perasaan kekitaan, masa depan, kesetiaan, tanggungjawab warganegara dan keterikatan emosi kepada negara. 

Pengintegrasian elemen kewarganegaraan dan penerapan nilai sivik boleh dimantapkan lagi dengan memberi penekanan kepada amalan nilai serta menghubungkaitkan tanggungjawab dan peranan individu, masyarakat serta negara. Masyarakat juga perlu menghindari sifat mencurigai antara satu sama lain. 

Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, muhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling menghormati antara satu sama lain. Rukun Negara juga penting kerana dapat membantu negara mempertingkat dan mempergiatkan pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik serta sistem pemerintahan negara yang demokratik. 

Mengupayakan prinsip Rukun Negara kepada masyarakat merupakan satu agenda penting bagi meningkatkan lagi tahap pemahaman dan penghayatan terhadap ideologi negara ini. Ini secara tidak langsung akan dapat mengupayakan pembentukan jati diri nasional yang lebih berdaya tahan dan bersatu padu. 

Tahap literasi, pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara penting bagi agenda membina Bangsa Malaysia yang bersatu. 

Justeru, langkah proaktif untuk memupuk kesedaran dalam kalangan warganegara Malaysia perlu dilakukan secara konsisten. Agenda ini perlu diberikan keutamaan kerana kerencaman komposisi rakyat Malaysia yang berkemungkinan menimpulkan prejudis. 

Hal yang demikian boleh mencetuskan suasana panik dalam negara dan merencatkan perancangan serta pembangunan negara. 

Memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara dapat mengeratkan perpaduan rakyat serta melahirkan masyarakat yang berkongsi aspirasi bersama. 

Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara perlu terus diperkasakan kerana itulah pengikat perpaduan kaum dan wajib diamalkan bagi membina sebuah negara bangsa yang berdaulat serta disegani. 

Semua komponen Bangsa Malaysia perlu bertanggungjawab memperkasakan semula Rukun Negara yang menjadi pengikat perpaduan kaum. Hal yang demikian juga dinyatakan secara peribadi oleh Sir Gerald Templer ketika bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. 

Antara intipati penting yang disampaikan kepada Tunku Abdul Rahman ialah “… adalah menjadi tanggungjawab utamamu untuk memimpin rakyat Tanah Melayu ke arah menjadi sebuah Bangsa Tanah Melayu Bersatu”. 

Sejarah membuktikan bahawa maju mundurnya sesuatu bangsa zaman lampau boleh dibuktikan melalui bidang sejarah. Tanpa penghayatan terhadap sejarah adalah sukar untuk menilai sejauh mana kemajuan dan ketamadunan bangsa kita sendiri. 

Sejarah bukan sahaja membolehkan kita mempelajari daripada kesilapan-kesilapan yang berlaku bahkan juga mengajar dan membimbing kita untuk menjadi rakyat yang bertanggungjawab serta berkelakuan baik, taat setia dan bangga dengan budaya serta warisan negaranya. 

Dalam lain perkataan, sejarah boleh dijadikan suatu alat penting untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sesebuah negara.

Membina pasak ketaatan dan patriotisme perlu dimulai secara serius dan konsisten semenjak bulan Ogos agar impaknya dapat dirasai dalam jiwa serta pemikiran. 



Pemilihan logo sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun 2023 berteraskan kepada reka bentuk unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat untuk melafazkan ikrar Rukun Negara'. 

Logo tersebut juga mengandungi warna asas Jalur Gemilang selaras dengan jati diri dan semangat patriotik rakyat Malaysia yang berbilang bangsa serta budaya dan hidup dalam keharmonian, sehati serta sejiwa. 

Kekuatan bangsa Malaysia ialah apabila jurang perkauman yang ditinggalkan berikutan penjajahan berjaya diatasi dengan formula hubungan keharmonian kaum. Dalam konteks hari ini masyarakat di Malaysia hidup harmoni dalam ‘keunikan dalam kepelbagaian’. 

Tiada istilah akan berakhirnya Sambutan Bulan Kebangsaan Negara kerana agenda membina perpaduan adalah menjadi tanggungjawab bersama. 

Salam Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk tanah airku tercinta. 


PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA ialah Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia di Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.


8
10
0
11
0

Copy Link: