Akibat badan dunia, PBB dan seluruh kerajaan di dunia masih lemah menangani isu jenayah genosid Israel ke atas Gaza, warga Palestin terus menjadi mangsa paling mengerikan. 

Yang pasti dikalahkan ialah keadilan dan kemanusiaan serta seluruh institusi keadilan antarabangsa.

Dalam beberapa hari yang lalu, lebih 100 warga Gaza terbunuh dan ratusan lagi cedera. Angka yang terbunuh meningkat menghampiri 39,000 dan 90,000 cedera. 

Serangan semakin parah di luar bayangan. Genosid Israel terlalu brutal sehingga kem pelarian dan sekolah untuk perlindungan diserang tanpa sebarang perkiraan. Malah ada kem yang dibom beberapa kali. Semua atas nama memburu Hamas.

Dalam laporan Kementerian Kesihatan Gaza pada 16hb Julai sekurangnya 49 terbunuh dan 69 cedera akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam. 

Hospital dipenuhi mangsa yang cedera, melebih keupayaan hospital untuk menerima, sementara para doktor sudah kehabisan tenaga menjalankan tugas.

Bertambah parah lagi, kemasukan bantuan kemanusiaan terus disekat oleh Israel. Desakan supaya dikuatkuasakan gencatan senjata sama sekali tidak dipeduli oleh Israel.

Resolusi oleh PBB, UNSC, ICJ, UNRWA, UNCHR, WHO, WFP hanya tertera di atas kertas yang tidak ada sebarang kesan. 

Malah sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, lebih 100 orang petugas PBB, 200 petugas media dan 100 petugas kemanusiaan terbunuh, namun pembunuhan tidak dapat dihentikan sehingga saat ini.



Apa lagi yang tidak dilakukan oleh Israel ke atas Gaza: genosid, jenayah perang, jenayah ke atas kemanusiaan, peraturan aparteid, pembunuhan etnik. Semuanya berlaku di depan mata dunia sejak 1948.

Namun tidak ada tindakan untuk menghukum Israel. Israel diberi keistimewaan boleh melakukan kezaliman paling kejam, namun tiada hukuman dikenakan ke atasnya.

Kini MAPIM berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan akses bantuan kemanusiaan agar dapat dihantar ke Gaza.

Sejak awal perang, usaha untuk menghantar bantuan kecemasan digerakkan. Bantuan makanan, air minum, ubatan, pakaian, keperluan wanita dan kanak-kanak dikerah ke Rafah. 

Walaupun sukar dapat dipastikan bantuan dapat sampai namun sehingga ini lebih 100 ton bantuan telah dapat masuk ke Gaza.

MAPIM dengan kerjasama beberapa pihak, termasuk NGO MyChild International dan Nur Islam, kini melancarkan bantuan menaja keluarga Gaza. 

Projek ini sudah berjalan sejak 2 bulan yang lalu untuk 33 keluarga di Gaza yang ditaja oleh keluarga di Malaysia.

Tujuan projek ini adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia membantu keluarga di Gaza dalam beberapa keperluan termasuk perbelanjaan makanan, rawatan, air minum, pakaian dan barangan harian.



MAPIM menyeru rakyat tampil menjayakan projek ini, kerana keperluan ratusan ribu keluarga di Gaza sangat kritikal.

Dengan lebih 300,000 rumah kediaman musnah dibom oleh Israel, kini 1.7 juta warga Gaza menjadi pelarian.

MAPIM mengusahakan bantuan langsung kepada keluarga yang terjejas. Mereka hidup di khemah dan runtuhan bangunan tanpa sebarang akses kepada bantuan makanan.

Kini MAPIM telah melaksanakan inisiatif:

1. Klinik bergerak untuk kanak-kanak bagi rawatan dan pemulihan emosi kepada 5,000 orang.

2. Mengedar pakaian sejuk kepada 1000 orang.

3. Projek edar bateri kepada 500 keluarga.

4. Bantuan makanan dihantar langsung dari Malaysia ke Gaza, sehingga lebih 100 tan.

5. Penajaan bantuan asas kepada keluarga Gaza. 

6. Menyokong 300 Halaqah Quran fasa 1 untuk kanak-kanak di kem pelarian Gaza.

7. Makanan masak untuk pelarian.


Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)



16
14
0
13
0

Copy Link: