Orang Patani bukan asing! Mereka pewaris kerajaan Melayu Patani! Wilayah berdaulat yang dilupakan!
Published bySETIAP kali kita menjamu selera di restoran tomyam yang dikatakan diusahakan oleh pengusaha Thailand atau sekadar menggunakan tenaga mereka, sebenarnya mereka adalah pewaris Kerajaan Melayu Patani berdaulat yang dilupakan sejarahnya.
(Nota: Pattani dieja dua "t" dalam kalangan rakyat Thailand, tapi dieja satu "t" dalam kalangan orang Melayu Patani)
Sehingga kini, dilaporkan lebih 20,000 pengusaha atau tukang masak yang menyediakan menu ala selatan wilayah Thailand di seluruh Malaysia adalah sebahagian daripada rakyat yang berasal usul daripada kerajaan Melayu Patani, yang melarikan diri selepas tewas dalam peperangan di negara gajah putih itu.
Pengerusi Pusat Pemuliharaan Budaya dan Sejarah Tempatan Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PUSTA), Ismail Ishaq Benjasmith, berkata kalau pelancong ke wilayah itu dan nampak 'rumah besar' bolehlah dikatakan mereka adalah 'juara tomyam' di Malaysia.
Beliau berkata mereka bukanlah pendatang asing di negara ini atau 'orang Siam' tetapi sebahagian warga negara Melayu Patani yang dulunya dikenali sebagai Langkasuka yang tersebar luas sehingga ke Temasik (Singapura).
Ismail Ishaq Benjasmith menyampaikan ucapannya pada Sidang Bicara Warisan Nusantara, Temu Karya dan Ikrar Seniman - Budayawan pada 28 Disember 2024.
Wilayah Melayu Patani berdaulat turut membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah yang diasingkan akibat Perjanjian Inggeris dengan Siam dan meletakkan Patani ke dalam taklukan Thailand.
Ketika siri peperangan Patani-Siam hampir 30-50 ribu rakyat wilayah itu melarikan diri dan sebahagian besar menetap di Tanah Melayu dan sampai ke hari ni, orang negara ini masih ada talian darah dengan Patani.
"Anda tidak dapat cinta dan kasih kepada sesuatu jika tidak mengenalinya. Dan jika sejarah serta seni budaya Patani jika tidak diperkenalkan, sudah tentu tidak dihormati dan dihargai," katanya.
Ismail berkata demikian pada Bicara Utamanya pada Sidang Bicara Warisan Nusantara, Temu Karya dan Ikrar Seniman - Budayawan yang berlangsung di Shah Alam pada 30 Disember 2024.
Sidang itu anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Paksi Seniman Rakyat (Paksi) serta Perbadanan Perpustakaan Selangor.
Tetamunya ialah Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Presiden Paksi, Datuk Shamsudin Othman (atau Dinsman) dan Timbalan Pengerusi Kesatuan Sekerja Malaysia-Palestin, Dr Khalil Az Zayan.
Serentak itu, MAPIM turut melancarkan program Kembara Warisan Nusantara yang mana peserta kembara akan dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di segenap pelosok Nusantara seperti PUSTA dalam beberapa peringkat.
Pengerusi Pusat Pemulihan Seni Budaya dan Sejarah Tempatan Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PUSTA), Ismail Ishaq Benjasmith.
Menurut Ismail, orang Patani dan Palestin mengalami masalah yang sama.
Penghapusan penduduk di negara, yang dulunya sangat makmur dan maju, cara terbaik ialah dengan menhilangkan tamadun, iaitu dengan menghapuskan dokumen tentang kehidupan dan sejarah mereka.
"Sebab tu kami menubuhkan PUSTA pada 24 November 1995 untuk memulihara sejarah negara Patani berdaulat itu dan menyebarkan pengetahuan tentang asal usul masa silam kepada generasi baharu sekarang," tegasnya.
Beliau berkata antara program dilaksanakan adalah pameran bergerak dan menjemput penduduk mengunjungi Patani untuk melihat sendiri kesan sejarah peninggalan yang masih utuh dijaga.
Patani yang dulunya Empayar Melayu sangat kuat sehingga disegani China, Jepun, kuasa Barat dan menjadi tempat penyebaran agama Islam di Asia Tenggara dengan bantuan Empayar Uthmaniyyah.
Ismail berkata, Selatan Thailand adalah tentang Kerajaan Melayu Islam Patani Darusalam yang telah dibuka sejak awal abad ke-15 yang menggantikan Empayar Langkasuka tua menjadi Kerajaan Melayu pertama di Nusantara.
"Sebutan Selatan Thai dan Thailand Selatan sangat berbeza. Selatan Thai mengenai kerajaan terkuat Patani dan Thai Selatan bermaksud Patani adalah wilayah jajahan." katanya.
Patani tua (Langkasuka) telah menerima peradaban dari India bermula dengan agama Bramayana sejak tahun 200 Masihi (200M), diikuti agama Hindu pada tahun 400M dan agama Buddha Mahayana yang disebarkan oleh kerajaan Sri Vijaya pada 775M.
Beliau berkata kesan tinggalan Masjid Sultan Muzzaffar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Shah Zillullah Fil Alam (juga dikenali sebagai Masjid Kerisik) yang ada di Kampung Kerisik di Pattani merupakan titik permulaan tamadun Islam di Patani (1514-1549M) walaupun bangunan telah rosak ketika berlaku perang Siam-Patani pada 1786.
Beratus-ratus tahun lamanya Patani menjadi kuasa kerajaan Melayu Nusantara yang digeruni penjajah yang gagal melawan negara tu. Ini kerana Patani satu-satunya negara yang mempunyai kekuatan meriam yang dihasilkan dengan tunjuk ajar Kerajaan Uthamniyyah.
Malah ketika era kemashyurannya, Maharaja China memberi penghargaan kepada duta Kerajaan Melayu Patani dengan menghadiahkan lukisan duta Patani.
Malah Jepun juga meminta salah seorang raja di Patani mengajar tentang teknik pembuatan meriam tu. - KitaReporters