"ADA orang Islam sendiri berkata, jika berlaku pembebasan bumi Palestin termasuk Masjid Al-Aqsa akan berlaku kiamat. Itu bukan perkiraan kita sebab kiamat adalah milik dan hak Allah.

"Bumi Palestin bukan pertama kali dibebaskan, sudah tiga kali dan ada kemungkinan akan berlaku lagi.  Jadi, perjuangan bagi membebaskan tanah yang didiami ramai Nabi itu menjadi tanggungjawab kita apatah lagi Al-Aqsa adalah masjid ketiga paling suci dalam Islam.

"Bagi saya usah memberi banyak alasan kerana hakikatnya kita tiada keberanian menghadapi musuh, kita adalah manusia-manusia penakut, kenapa nak malu untuk mengakui.

"Saya teringat kata-kata Bung Hamka, Orang macam ini tiada harga diri dan sepatutnya dikafan atau dihumban ke kuburan." kata Penasihat Kehormat MyCare, Prof Dr Hafidzi Mohd Noor ketika memberi ceramah bertajuk, Pembebasan Palestin: Apa Peranan Kita di Surau At-Kautsar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor. 

Sebahagian jemaah yang hadir untuk mendengar ceramah Dr Hafidzi Mohd Noor bertajuk, Pembebasan Palestin: Apa Peranan Kita? di Surau At-Kauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Sempena ceramah itu, MyCare turut mengadakan pameran bagi memberi maklumat terkini mengenai perkembangan di bumi Anbia itu selain menjual pelbagai cenderahati mengenai Palestin untuk mengisi dana bagi membantu umat Islam di Gaza yang menderita kesan-kesan peperangan.  

Beliau berkata, pembersihan etnik di Palestin terutama Gaza bukan baharu tapi sudah berlaku lebih 75 tahun dan episod terkini bukan bermula pada 7 Oktober 2023 tapi sejak 15 Mei 1948.

"Itulah tarikh yang kita ingati sebagai peristiwa Nakba iaitu malapetaka yang berlaku terhadap penduduk Palestin yang dirancang Yahudi sejak kurun ke-20 sehingga berdiri negara haram Israel. Akibatnya 700,000 rakyat Palestin diusir dari negara mereka.

Prof Dr Hafidzi Mohd Noor


"Sejak itu mereka tinggal di khemah-khemah pelarian di Jordan, Syria, Lubnan, Iraq dan Mesir. Walaupun ada resolusi PBB pada 1949 yang membenarkan mereka pulang ke rumah mereka tapi ia tidak pernah dihiraukan oleh Israel.

"Kini, sudah generasi ketiga yang mendiami khemah pelarian itu. Bayangkan, jika pelarian yang mendiami khemah-khemah itu dulu berusia 20-an, kini yang mendiami ialah cucu-cucu mereka. Dan, bilangan terkini sudah mencecah tujuh juta orang," katanya.

Dr Hafidzi mengakui mengikuti perkembangan di Palestin yang dikepung oleh rejim Zionis selepas kemenangan besar Hamas dalam pilihan raya di Gaza pada 2007. Begitu juga serangan Israel pada 2008, 2009, 2012  dan 2014 yang mengakibatkan banyak jiwa terkorban. 

Kanak-kanak turut tertarik melihat banting yang memaparkan mengenai perkembangan yang berlaku di Palestin terutama penderitaan umat Islam di Gaza.


"Malah, Masjid Al-Aqsa diserang pada bulan Ramadan setiap tahun dan jika menghitung kehidupan dari kecil hingga dewasa, isu-isu Palestin sentiasa menghiasai hidup kita. 

"Saya ingat tarikh ini, 10 Jun 1967, masjid ketiga paling suci dalam Islam jatuh ke tangan zionis Israel dan terus berada dalam taklukan mereka hingga hari ini.      

"Saya juga masih ingat Perang Ramadan atau disebut Perang Badar yang dilancarkan Mesir pada 1973 tapi ramai tidak tahu sebab masa itu tiada internet, cuma maklumat daripada TV, radio dan akhbar tapi semua sumber dari Barat. Jadi, umat Islam tidak dapat gambaran yang tepat.

"Percaya atau tidak masa tu, 500 kereta kebal Israel dimusnahkan. 200 jet pejuang Israel ditembak jatuh. Pada saat Israel hampir kalah, PBB buat resolusi genjatan senjata untuk tamatkan peperangan. 

"Ketika Mesir meletak senjata, Israel mencabul genjatan senjata dan melancarkan serangan mengejut, hasilnya tentera Mesir terkepung," kata Dr Hafidzi.


Benjamin Netanyahu menunjukkan peta mengenai rancangan bagi mewujudkan Asia Barat baru dengan Israel menjadi kuasa utama. 


Menurutnya, sebelum penubuhan negara haram Israel, hanya ada kira-kira 6 peratus bangsa Yahudi di Palestin tapi selepas perpindahan beramai-ramai Yahudi dari Rusia, Eropah dan Afrika, jumlahnya meningkat 30 peratus sehingga timbul konflik Arab-Yahudi.

Katanya, seorang pemimpin Palestin yang lantang berjuang menentang kemasukan pendatang Yahudi ialah Izudin Al-Qasam. Nama itu diabadaikan untuk unit komando al-Qasam, sayap ketenteraan Hamas.

"Selepas penubuhan PBB pada 1945, mereka mencadangkan Palestin di pecah dua bagi meredakan konflik Arab-Yahudi. Hasilnya, 55 peratus kawasan diberikan kepada Yahudi, dan Arab Palestin hanya memiliki 45 peratus bumi Palestin. 

Lebih 150,000 rakyat Israel meninggalkan negara itu kerana bimbang dengan keselamatan mereka kerana tiada tempat yang selamat selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.


"Tidak berpuas hati dengan agihan itu, rakyat Palestin terpaksa mengangkat senjata tapi mereka tidak dapat melawan kekuatan senjata milik Israel. Akibatnya, keluasan negara Yahudi meningkat 75 peratus dan yang menjadi milik rakyat Palestin ialah Tebing Barat dan Gaza.

"Perluasan itu turut menyebabkan Masjid Al-Aqsa jatuh ke tangan Yahudi. Hasilnya, rakyat Palestin hanya memiliki 10 peratus tanah air mereka yang disebut Jalur Gaza, panjang 40 kilometer dan lebar 13 kilometer tapi mempunyai dua penduduk dengan kepadatan 3,000 orang setiap satu kilometer.

"Justeru, peristiwa 7 Oktober 2023 bukan pencerobohan tapi ia adalah jihad berterusan sejak 75 tahun lalu. Dulu umat Islam mengusai bumi Palestin termasuk Masjid Al-Aqsa selama 1,000 tahun tapi selepas 1948 semuanya hilang. 

"Tapi pemimpin Palestin, Almarhum Syeikh Ahmad Yassin meramalkan menjelang 2027, negara Israel tidak wujud lagi di muka bumi. Dan, ramai percaya apa yang berlaku sejak 7 Oktober 2023 adalah detik-detik kehancuran negara Yahudi itu. 

"Ayuh, kita berdoa moga perkara itu menjadi kenyataan," kata Dr Hafidzi lagi.


RTG Hamas antara yang digeruni tentera Israel kerana mampu memusnahkan 2,000 kereta kebal Israel sejak peperangan 7 Oktober 2023.


Dr Hafidzi mengakui  matlamat Israel ialah mewujudkan peta Asia Barat baharu malah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengakui rancangan rejim Zionis itu membawa penduduk Palestin keluar dari negara mereka ke Sinai dan Jordan.

"Tapi, rancangan itu gagal berikutan peristiwa 7 Oktober 2023 malah ketakutan yang mencengkam pendatang haram Israel menyebabkan lebih 150,000 orang sudah meninggalkan negara itu berhijrah ke luar negara.

"Inilah kelebihan roket-roket Palestin yang hanya bernilai ratusan dolar tapi mampu menerjah jauh ke wilayah Israel dan menakutkan pendatang haram Zionis. Kini tiada tempat lagi yang selamat di wilayah Yahudi.   

"RTG Hamas juga memusnahkan 2,000 kereta kebal Israel. Difahamkan seramai 70,000 cedera atau parah malah ramai menjadi gila atau mengambil tindakan membunuh diri selepas pulang daripada berperang di Gaza," katanya.


Pelan Israel Raya yang mahu mengusir semua rakyat Palestin keluar dari Gaza dan Tebing Barat bagi membawa masuk ramai pendatang haram Yahudi dari Eropah.  


Hikmah daripada peperangan itu menyebabkan orang bukan Islam kian ramai mahu mengetahui mengenai Islam. 

Di Amerika Syarikat, berbondong-bondong memeluk Islam, begitu juga di Eropah. Dulu banyak kes bakar al-Quran tapi sekarang ramai mencari kitab suci itu kerana mereka mahu tahu wahyu Allah. 

Sementara itu, bermula Julai hingga September 2023, program MyCare Road Tour 2.0 (MRT 2.0) akan diadakan di seluruh negara yang membawa tema, Eyes On Palestine. 

Ia memberi fokus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kemanusiaan, peperangan, dan bencana di seluruh dunia, terutamanya di Palestin. - KitaReporters

17
9
0
9
0

Copy Link: