Video| Detik bersejarah! Majlis Media Malaysia ditubuhkan! Jaga kepentingan media dan pengamalnya!
Published by.
Hari ini dalam sejarah bagi industri media negara! Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) diluluskan bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hasrat untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia itu mula-mula diutarakan pada 1973.
"Detik bersejarah buat industri media tanah air. Cukup 52 tahun sejak cadangan RUU Majlis Media Malaysia mula diutarakan pada 1973.
"Namun di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, hari ini (26 Februari 2025) RUU tersebut diluluskan di Dewan Rakyat.
"Ini bukti Kerajaan Madani menjamin kebebasan media dalam memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat maklumat sahih, berintegriti dan adil," tegasnya dalam satu hantaran dalam akaun Facebooknya pada 26 Februari 2025.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memberitahu, sejak 1970-an, pengamal-pengamal media mengharapkan sebuah badan bebas industri media diwujudkan.
"Kini ia direalisasikan di bawah Kerajaan Madani. Malah, sejak 2023, 26 kali sesi libat urus diadakan bersama Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebebasan media.
"RUU ini juga merupakan antara RUU yang progresif pernah dibawakan oleh sesebuah kerajaan kerana ia diwujudkan secara bersama dengan pemain industri media sendiri serta organisasi-organisasi masyarakat sivil," tambahnya.
RUU yang diluluskan itu bertujuan, antara lain, untuk menubuhkan sebuah badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.
Ia mendapat sokongan majoriti di Parlimen selepas dibahas oleh 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sementara itu, Dewan Rakyat juga meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bernama (Pindaan) 2024 yang bertujuan menjadikan industri media lebih inklusif.
Ini adalah kali pertama pindaan terhadap Akta Bernama 1967 (Akta 780) dibuat sejak digubal pada 1967.
"Dengan pindaan tersebut, kita dapat pastikan komposisi baharu yang lebih dinamik, sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa industri media.
"RUU ini bukan sekadar menawarkan reformasi kepada landskap media dan digital, malah akan menjadikan aspek komunikasi kerajaan lebih efektif dalam mendepani cabaran semasa," jelas Fahmi. - KitaReporters/Kenyataan Media