Lori bawa kontena berlogo ZIM Israel diarah patah balik! Cuba masuk lalu Padang Besar dari Thailand!
Published byBahagian depan lori kontena di mana pada sisi kontena yang dibawanya berlogokan "ZIM" yang dipercayai dari Israel.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis bertindak mengarahkan sebuah lori yang membawa sebuah kontena berlogo “ZIM” yang dipercayai dimiliki syarikat berpengkalan di Israel berpatah balik ke Thailand ketika cuba masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Padang Besar.
Keputusan itu dilakukan berdasarkan hasil semakan bersama dengan pihak agensi kerajaan yang terlibat memaklumkan bahawa kontena berlogo “ZIM” (Zim Integrated Shipping Services Ltd.) dipercayai adalah milik syarikat berpengkalan dari Israel dan dilarang masuk ke negara ini.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, kejadian ini dikesan pada pukul 12.03 tengah hari, 2 Jun 2024 lalu apabila sebuah lori kontena dari negara jiran telah membawa dagangan yang berisi ayam sejuk beku.
"Lori kontena berkenaan telah melalui Mesin Pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, bagi melakukan pengikraran Borang K1 bertujuan melakukan pengimportan dagangan ke Malaysia," katanya dalam kenyataan media.
Ismail berkata, semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mendapati kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo “ZIM” yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut.
Berikutan itu, katanya, kenderaan telah ditahan untuk mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut. Beliau berkata, semakan juga telah dibuat bersama dengan pihak agensi kerajaan yang terlibat.
"Keputusannya kontena berlogo “ZIM” adalah dilarang untuk memasuki Malaysia kerana dipercayai adalah milik syarikat berpengkalan dari Israel," katanya.
Ismail berkata, kenderaan berserta kontena berisi dagangan berkenaan telah diarah balik ke negara jiran pada hari yang sama.
JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan.
Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. - KitaReporters