PH-BN nak cabar 4 keputusan PRN Selangor? Majoriti di bawah 500! Khususnya Gombak Setia, Taman Medan!
Published byJika Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) berjaya mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang diadakan pada 12 Ogos 2023 lalu, geopolitik di negeri tersebut pasti menjadi lebih menarik terutama ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan kelak.
Namun ia bukan perkara mudah kerana setiap perkara harus diperhalusi sementara Perikatan Nasional (PN) yang memenangi kerusi tersebut pasti akan bersedia juga untuk mencabar bagi mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh mereka.
Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan untuk menfail petisyen dalam masa terdekat bagi membatalkan empat kerusi DUN yang dimenangi PN itu kerana majoriti di bawah 500 undi.
Antara kerusi akan dicabar adalah DUN Dengkil yang tewas 407 undi, DUN Sungai Kandis (167), DUN Gombak Setia (58) dan DUN Taman Medan (30).
Biarpun PH dan BN menawan Selangor dengan majoriti 34 kerusi namun keputusan untuk mencabar sudah pasti ingin menambah kekuatan dari segi penguasaan politik di negeri tersebut.
PN pula dilihat boleh dikatakan agak cemerlang apabila berjaya memenangi 22 kerusi dan ini akan memeriahkan sidang DUN sekaligus memberi semak seimbang kepada parti memerintah.
Dari empat kerusi, sudah pasti Gombak Setia dan Taman Medan menjadi perhatian kerana ia hanya dibezakan di bawah 50 undi sahaja.
Namun ia bukan mudah untuk mencabar begitu sahaja sebaliknya akan berbincang bersama kepimpinan parti serta peguam agar keputusan yang diambil itu satu langkah yang tepat. - KitaReporters