Kredit foto: Islamic Relief Malaysia


Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies atau IFRC) sedang meningkatkan tindakan kecemasan untuk menangani banjir kilat besar yang mengorbankan nyawa di Afghanistan yang telah memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah teruk.

Hujan musim bunga lebat luar biasa dan banjir telah mengorbankan ratusan nyawa dan memusnahkan beribu-ribu rumah dan ternakan. 

Lebih separuh daripada kawasan Afghanistan, iaitu 25 daripada 34 wilayahnya, telah terjejas. 

Wilayah Baghlan sahaja telah mengalami lebih 200 kematian setakat ini. Beribu-ribu orang mengalami kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka dihanyutkan oleh banjir kilat.

Sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan adalah antara responden pertama di tempat kejadian, terlibat dalam usaha menyelamat, membawa lelaki, wanita dan kanak-kanak ke lokasi yang lebih selamat. 

Mereka juga telah menyediakan makanan panas dan barangan tidur kepada mereka yang melarikan diri daripada banjir. 

IFRC, bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan, telah menggerakkan barangan bantuan tambahan dari ibu negara.

Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan meningkatkan usahanya untuk menyediakan makanan yang dimasak dan tempat perlindungan sementara kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal, serta perkhidmatan kesihatan kecemasan, dan bentuk bantuan lain.


Pasukan dari IFRC dan Bulan Sabit Merah Afghanistan di lapangan. - Kredit foto: IFRC Afghanistan / Meer Abdullah Rasikh


Bencana terbaharu ini berlaku dalam konteks yang sudah menjadi salah satu krisis kemanusiaan paling serius di dunia, di mana komuniti tempatan sudah hampir tidak mampu untuk mengatasinya.

“Tahap penderitaan di Afghanistan sudah tidak terkata. Tindak balas kecemasan kami akan menumpukan kepada keperluan penting yang menyelamatkan nyawa, sambil turut bersiap sedia untuk menyokong isi rumah yang terjejas dalam pemulihan awal serta melengkapkan responden pertama untuk menghadapi bencana yang berlaku secara mengejut pada masa hadapan,” kata Necephor Mghendi, Ketua Delegasi IFRC di Afghanistan.

"Bencana baharu ini meningkatkan lagi tekanan ke atas Afghanistan yang sudah dilanda krisis teruk," katanya agi.

Mawlawi Mutiul Haq Khales, Pemangku Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan, menambah: “Sukarelawan kami adalah yang pertama di tempat kejadian dan mempunyai pengetahuan yang sangat baik tentang kawasan terjejas dan keperluan. 

"Tumpuan kami kini adalah untuk memastikan kami boleh bertindak secepat mungkin untuk menyokong mangsa, dengan mengambil kira skala banjir di seluruh negara dan kemungkinan krisis yang lebih buruk akan datang. 

"Ramai daripada mereka yang terjejas adalah sangat miskin dan akan menunggu untuk mendapatkan bantuan dari kami.”

Sokongan antarabangsa amat diperlukan untuk meningkatkan respons ini. 

Pada 4 Mei 2024, IFRC telah memperuntuk 750,000 Franc Swiss daripada Dana Kecemasan Respons Bencana (Disaster Response Emergency Fund atau DREF) untuk tindak balas awal. 

Walau bagaimanapun, operasi yang dibiayai DREF tersebut hanya meliputi 11 wilayah daripada 25 yang terjejas, tidak termasuk Baghlan, dan banyak lagi yang perlu dilakukan.

Dalam penyelarasan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan dan rakan kongsi dalam Pergerakan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah yang lain, IFRC telah menghantar pasukan pelbagai sektor ke kawasan yang paling terjejas untuk memberikan bantuan dan penilaian.

Pasukan-pasukan ini juga memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan kecemasan, mengagihkan makanan dan barangan bukan makanan dan menyediakan tempat perlindungan sementara.


Kredit foto:  X- @Shr_9998


Hujan lebat ini menyusuli musim sejuk yang lewat dan gelombang sejuk yang luar biasa dan telah memberi kesan ketara kepada kehidupan dan mata pencarian - terutama sektor pertanian dan penternakan.

Tindak balas IFRC terhadap banjir bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada usaha bantuan segera tetapi juga menyokong operasi pemulihan di seluruh wilayah yang terjejas. 

Ini termasuk menyediakan tempat perlindungan kecemasan, penjagaan kesihatan, air, kebersihan, dan sanitasi, serta menyokong komuniti tempatan untuk membina semula serta memulihkan mata pencarian mereka.

“Banjir kilat kali ini adalah satu lagi peringatan bahawa komuniti antarabangsa perlu memikirkan semula secara radikal tentang pendekatannya ke Afghanistan dengan menangani punca kerentanan. 

"Ini termasuk melabur dalam memperkukuh sistem amaran awal, pembinaan kapasiti, dan program yang boleh merangsang pertumbuhan semula ekonomi supaya komuniti tempatan boleh bertindak balas dengan lebih baik kepada bencana serupa pada masa hadapan dengan sumber tempatan yang tersedia,” tambah Necephor Mghendi.

IFRC telah melancarkan Rayuan Kecemasan untuk 5 juta Franc Swiss untuk membiayai operasi kritikal dan meningkatkan keupayaan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan untuk membantu komuniti yang terjejas. 

Rayuan itu juga menyokong asas bagi program untuk menangani pemulihan dan daya tahan jangka panjang, memandangkan skala dan kekerapan kejadian berkaitan iklim akan meningkat. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
13
0
16
0

Copy Link: