Dunia, PBB gagal bertindak! 200 hari genosid ke atas Gaza! Lebih 34k dibunuh! 75% kanak-kanak, wanita!
Published bySejak 7 Oktober 2023, 23 April 2024 adalah hari ke-200 serangan ganas dan jenayah genosid (pembunuhan beramai-ramai) Zionis Israel ke atas Gaza.
Malangnya semua agensi berkaitan di seluruh dunia gagal menyekat dan menghukum Zionis Israel kerana melakukan ibu segala jenayah, iaitu genosid yang terang-terangan terbukti dilakukan oleh Israel di Gaza.
Sehingga 22 April 2024, warga Palestin di Gaza yang terbunuh mencecah lebih 34,000. Kanak-kanak dan wanita yang terbunuh adalah 75% daripada angka tersebut.
Nampaknya selama 200 hari, pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Zionis Israel dibiar tanpa sebarang tindakan konkrit oleh Majlis Keselamatan PBB.
Segala resolusi, perundingan, persidangan demi persidangan, kertas dan dokumen perjanjian telah gagal menamatkan jenayah Israel yang disaksikan oleh seluruh dunia secara langsung.
Israel dapat sewenang-wenangnya melakukan genosid sehingga 200 hari adalah akibat sokongan penuh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
AS menyokong Israel membunuh rakyat awam di Gaza, termasuk kanak-kanak dan wanita dan memusnahkan infrastruktur.
AS menerima alasan tidak masuk akal Israel kononnya Israel berhak mempertahankan diri. AS mengguna kuasa veto di Majlis Keselamatan untuk mempertahankan tindakan Israel.
Malah AS terang-terangan membekal senjata bernilai puluhan bilion USD yang disalurkan kepada Israel tanpa syarat untuk melakukan jenayah genosid, pembunuhan ethnik, dan penghukuman kolektif oleh Israel.
Akibatnya pemusnahan berskala besar disaksikan ke atas sekolah, universiti, masjid, kediaman, hospital, prasarana awam, sistem komunikasi, kilang makanan, kedai dan bangunan kerajaan yang dibedil dengan lebih 85,000 tan bom.
Selama 200 hari serangan udara berterusan tanpa henti. Tidak ada yang tidak dijadikan sasaran. Tidak ada ruang dari 365km persegi Gaza yang tidak diserang.
Israel membedil dari utara, selatan, timur dan barat Gaza, iaitu ke atas sebuah wilayah yang memiliki populasi terpadat di dunia.
Selama 7 bulan lebih Israel cuba menjadikan kelaparan dan kebuluran sebagai senjata perang untuk melumpuhkan Gaza dengan menyekat kemasukan makanan, air serta ubatan.
Maka Gaza diisytihar oleh Setiausha Agong PBB Antonia Guterres sebagai kubur kanak-kanak. Malah 1.5 juta penduduk Gaza juga berdepan dengan fenomena kebuluran.
Paling mengejutkan Israel menembak warga Gaza yang berebut untuk mendapatkan makanan di atas trak yang masuk ke Gaza.
Kredit foto: The Star/AFP
Selama 200 hari, Israel bebas memusnahkan seluruh infrastruktur air dan tenaga Gaza. Malah kawasan pertanian juga dibom.
Malangnya seluruh jenayah perang yang dilakukan oleh Israel terlepas daripada sebarang hukuman undang-undang antarabangsa.
Israel tidak mempedulikan sedikit pun undang-undang antarabangsa. Keputusan ICJ, UNSC dan UNHRC serta UNGA tidak diendah sama sekali oleh Israel.
Kini Israel terus mengganas. Kempen militari Israel membunuh ratusan journalis, petugas kemanusiaan dan pekerja kesihatan. Israel melanggar semua undang-undang kemanusiaan dalam serangannya.
Bedilan bom secara rambang, penggunaan fosforus putih dan serangan ke atas kediaman yang membunuh lebih 9,750 keluarga sepanjang 200 hari ini membuktikan selama ini Israel tidak berniat memberi sebarang ruang survival untuk rakyat Gaza.
Israel bermatlamat menghapuskan seluruh penduduk Gaza.
AS sendiri tidak boleh memujuk Israel untuk melaksanakan gencatan senjata. Penjenayah Benjamin Netanhayu tidak peduli terhadap tebusan yang mahu dibebaskan.
Naratif yang palsu sering dipaparkan oleh Israel dalam media barat sepanjang 7 bulan jenayah genosid dilaksanakan oleh Israel di Gaza.
Pihak Israel berbohong dengan menuduh agensi kemanusiaan PBB terpenting, iaitu United Nation Relief and Work Agency (UNRWA) telah dianggotai Hamas. Ternyata sehingga hari ini tiada bukti diutarakan di atas tuduhan tersebut.
Tanpa sebarang bukti, Israel mendesak UNRWA ditutup. Malah 12 negara penyumbang terbesar kepada UNRWA telah menggantung sumbangan yang membantut bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Kredit foto: FB Alkhair Malaysia
Hari-hari selanjutnya dijangka akan semakin rumit di Gaza. Gaza akan kehilangan nyawa lebih banyak lagi tanpa sebarang tindakan komuniti antarabangsa.
Dengan itu kami mendesak:
- 1. PBB menguatkuasakan resolusi Majlis Keselamatan untuk implementasi gencatan senjata kekal.
- 2. PBB menghantar tentera pengaman pelbagai negara ke Gaza untuk melindungi warga Gaza dan membuka pintu masuk Mesir untuk bantuan kemanusiaan.
- 3. OIC melaksanakan boikot ke atas Israel dan negara ahli OIC membatalkan normalisasi dengan Israel serta memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.
- 4. Negara jiran Palestin seperti Jordan, Lebanon, Syria , Mesir dan Turkiye membantu menamatkan kepungan Gaza oleh Israel.
Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)